Friday, September 30, 2005

Bajet 2006 : Sepintas Lalu

1 LEBIHAN PERUNTUKAN KERAJAAN UNTUK PERTUMBUHAN: RM136.8 bln diperuntukkan bagi Bajet 2006, naik 5 peratus.
2. Daripada jumlah ini, RM101.3 bln adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM35.5 bln bagi perbelanjaan pembangunan;
3. Ekonomi dijangka berkembang 5.5 peratus pada 2006 berbanding 5.0 peratus tahun ini; Sektor pembinaan dijangka pulih pada kadar 3.0 peratus pada 2006 daripada -1.1 peratus tahun ini;
4. Defisit fiskal kerajaan dijangka berkurang kepada 3.5 peratus pada 2006 (2005: 3.8 peratus).
5. PERBELANJAAN PEMBANGUNAN: Jumlah terbesar diperuntukkan untuk sektor ekonomi (RM14.4 bln) terdiri daripada sektor-sektor pertanian, industri dan infrastruktur)
6. Sebanyak RM9.9 bln diperuntukan bagi pendidikan, kesihatan dan perumahan. Sektor keselamatan (RM5.6 bln) dan pentadbiran (6.3 bln);
7. PEMBANGUNAN LUAR BANDAR: RM5.7 bln bagi memperbaiki lagi ekonomi dan infrastruktur di luar bandar di mana RM2.7 bln adalah untuk pelaksanaan projek pertanian;
8. MEMESATKAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR: Jambatan kecil diperlukan segera akan dibina di setiap kawasan parlimen. Projek akan dilaksanakan oleh kontraktor kecil bumiputera;
9. MENGOPTIMUMKAN PENGGUNAAN INFRASTRUKTUR SEDIA ADA: RM1 bln dikhususkan untuk kontraktor Kelas F (tahun lepas RM500 juta);
10. MEMPERBAIKI LAGI SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM: Keutamaan untuk mengurangkan kerenah birokrasi. Mempercepatkan pengeluaran sub-waran sebelum hujung Mac setiap tahun;
11. "Flying Squad" Pejabat Tanah: Anggota akan ditambah sebanyak 600 orang dengan skop tugas diperluaskan;
12. 334 jawatan akan diwujudkan untuk menjayakan kerja di semua Pusat Sehenti PBT bagi mempercepatkan urusan pemprosesan lesen dan permit;
13. Prosedur pemberian visa kepada pekerja berpengetahuan dan golongan peniaga asing dipermudahkan memandangkan Malaysia berhasrat untuk menjadi hab serantau dalam sektor perkhidmatan dan industri berasaskan pengetahuan;
14. KWSP, Tabung Haji, LTAT, Perkeso, BSN dibenar menentukan skim perkhidmatan mereka bagi merancang dan mengurus tenaga kerjanya serta menambah produktiviti organisasi;
15. Urusan e-payment menggunakan kad kredit di kaunter dan secara online akan dilaksanakan di PDRM, JPJ, Imigresen dan KWSP serta hospital;
16. MEMPERBAIKI SISTEM PEROLEHAN KERAJAAN: Sistem e-bidding sedang dalam percubaan di beberapa agensi supaya kaedah itu boleh dilaksanakan di sektor awam dan beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC);
17. MENGGALAKKAN PELANCONGAN KESIHATAN: Unit Pelancongan Kesihatan akan ditubuhkan untuk menarik orang asing mendapatkan perkhidmatan kesihatan swasta di Malaysia;
18. MENGURANGKAN KOS KENDALIAN PERNIAGAAN: Kerajaan bercadang memberi group relief kepada syarikat yang merupakan sebahagian daripada suatu kumpulan dengan milikan minimum antara mereka sebanyak 70 peratus;
19. Group relief membenarkan 50 peratus daripada kerugian tahun semasa suatu syarikat ditolak daripada keuntungan suatu syarikat lain dalam kumpulan yang sama;
20. Kerugian terkumpul dan elaun modal yang tidak diserap dalam tempoh perintis dibenar dibawa ke hadapan dan ditolak daripada pendapatan post pioneer;
21. Menarik lebih banyak pelaburan di Koridor Timur: Galakan cukai sedia ada bagi projek yang ditempatkan di koridor dilanjutkan untuk tempoh 5 tahun lagi sehingga 31 Dis, 2010;
22. Pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti pelaburan oleh syarikat pemegang pelaburan yang tersenarai di Bursa diberi layanan cukai sebagai pendapatan perniagaan;
23. yuran juruaudit dibenarkan sebagai potongan cukai;
24. Syarikat dibenar membuat anggaran cukai pada tahap tidak kurang 85 peratus daripada anggaran cukai tahun sebelumnya berbanding dengan 100 peratus pada masa ini;
25. Syarikat dibenar menuntut elaun modal sepenuhnya dalam tahun perolehan;
26. Anggaran kerugian daripada projek rumah kos rendah dibenarkan ditolak daripada anggaran keuntungan dari projek pembangunan hartanah yang lain bagi tujuan perkiraan cukai;
27. Memantapkan Pasaran Modal: Pengecualian duti setem dan cukai keuntungan hartanah diberikan ke atas pencantuman dan pengambilalihan syarikat yang tersenarai di Bursa mulai 1 Okt, 2005 31 Dis, 2007;
28. Seksyen 132G Akta Syarikat 1965 dibatalkan untuk memudah dan memberi lebih fleksibiliti bagi syarikat untuk melaksanakan pencantuman dan pengambilalihan serta penstrukturan semula perniagaan;
29. Semua prospektus yang diterima oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) bermula 3 Okt 2005 akan dikaji secara pasca penelitian;
30. Keupayaan dan keberkesanan penguatkuasaan SC akan dipertingkatkan untuk menangani dan menghindar salah laku korporat;
31. Akademi Kepimpinan Pengurusan dan Pengarah akan ditubuhkan sebagai pusat kecemerlangan kepimpinan untuk menyediakan barisan pengurus dan pengarah syarikat yang berkemahiran dan berwibawa terutamanya untuk GLC;
32. MEMODENKAN SEKTOR PERTANIAN: Jabatan Pertanian akan disusun semula dan diberi penambahan 255 jawatan baru. Pejabat Konsular Pertanian akan dibuka di luar negara untuk mempromosikan produk pertanian Malaysia;
33. Makmal keselamatan dan kualiti makanan di Kementerian Kesihatan akan disusun semula dan diperkukuhkan supaya dapat memberi khidmat ujian yang lebih berkesan kepada pengeksport;
34. Tabung Makanan (3F) akan ditambah RM300 juta lagi supaya pembiayaan yang mencukupi disediakan bagi industri pengeluaran makanan;
35. Peruntukan RM160 juta disediakan bagi program pembangunan perikanan, termasuk meningkatkan kemudahan perkhidmatan pengembangan, penyelidikan dan latihan, ternakan ikan dalam sangkar, penetasan benih ikan, ikan laut dalam dan ikan hiasan;
36. PENANAMAN SEMULA HUTAN: Kerajaan akan menubuhkan sebuah syarikat baru dengan modal permulaan RM200 juta untuk melaksanakan aktiviti perladangan hutan secara komersial;
37. Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan RM400 juta bagi membiayai projek pertanian oleh GLCs;
38. Khazanah Nasional akan menubuhkan Syarikat Pertanian dan Makanan Nasional dengan modal RM500 juta untuk menjadi pusat kecemerlangan pengurusan rantaian bekalan pertanian;
39. KOPERASI: Langkah memperkasakan lagi gerakan koperasi akan digubal dalam Rancangan Malaysia Kesembilan;
40. MEMBANGUNKAN SEKTOR BIOTEKNOLOGI: Pelbagai insentif fiskal disediakan untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam bidang bioteknologi pertanian, bioteknologi kesihatan dan bioteknologi industri;
41. Bioproducts Validation Centre bernilai RM30 juta akan dilancarkan di Johor Baharu;
42. Kerajaan akan menyumbang RM100 juta untuk melancarkan Malaysian Life Sciences Capital Fund, di bawah pengurusan Malaysian Technology Development Corporation;
43. MEMPERHEBATKAN SEKTOR ICT: Garis panduan pembangunan Cyberjaya termasuk plot ratio akan dipinda untuk memudahkan pembinaan lebih banyak rumah yang mampu dimiliki;
44. Kemudahan pengangkutan awam di Cyberjaya akan dipertingkatkan terutamanya perkhidmatan bas bagi memenuhi keperluan syarikat shared services dan outsourcing yang beroperasi 24 jam;
45. Elaun Bangunan Industri (IBA) bagi tempoh 10 tahun diberikan kepada pemilik bangunan baru yang diduduki oleh syarikat bertaraf MSC di Cyberjaya;
46. Institut Pembangunan ICT akan ditubuhkan untuk menambah lagi bekalan pekerja berpengetahuan dengan menyediakan kemahiran yang diperlukan oleh industri ICT, terutamanya syarikat shared services dan outsourcing;
47. Taraf perintis dengan pengecualian 50 peratus selama lima tahun atau elaun cukai pelaburan sebanyak 50 peratus diberikan kepada syarikat terpilih yang menempatkan aktivitinya di luar Cybercities tertakluk kepada perakuan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC);
48. MDC akan bekerjasama dengan Permodalan Nasional Berhad dan Khazanah untuk mengenal pasti dan memadankan syarikat bertaraf MSC yang berwibawa dengan yang bersesuaian bagi menguji produk mereka;
49. MENGGALAKKAN R&D DAN MEMPERKUKUHKAN PKS: Sebanyak RM9 bln akan diperolehi daripada pasaran modal untuk membiayai perkembangan aktiviti kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad termasuk Bank SME;
50. Bank SME akan menubuhkan dana modal teroka berjumlah RM1 bln untuk membiayai PKS;
51. EXIM Bank akan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dan dana sebanyak RM1 bln diwujudkan untuk pembiayaan projek luar negara, perdagangan dan jaminan kredit insurans;
52. PKS diberi pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ke atas suratcara pinjaman yang bernilai tidak lebih RM1 juta;
53. PROSPER: Skop PROSPER diperluaskan untuk merangkumi kegiatan secara pukal. Pembangunan usahawan Bumiputera dalam perniagaan pukal akan memudahkan kontraktor kecil Bumiputera mendapat bekalan dengan kos yang rendah terutamanya dalam industri binaan;
54. MENINGKATKAN PENYERTAAN BUMIPUTERA DALAM SEKTOR HARTANAH: Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan ditubuhkan dengan modal RM2 bilion sebagai dana untuk membeli hartanah komersial di kawasan bandar utama;
55. MEMBANGUNKAN MODAL INSAN: Peruntukan sebanyak RM493 juta bagi menampung enrolmen pelajar sekolah teknikal, vokasional dan latihan kemahiran yang akan ditingkatkan kepada 98,000 pelajar tahun 2006 daripada 72,000 pelajar tahun ini;
56. Pelepasan cukai secara automatik sehingga RM4,000 bagi setiap anak yang belajar di institusi pengajian tempatan berdasarkan perbelanjaan sebenar;
57. Anak kurang upaya yang belajar di IPT: Dengan mengambil kira pelepasan sedia ada sebanyak RM5,000 untuk anak kurang upaya ibu bapa layak mendapat pelepasan cukai berjumlah RM9,000;
58. GALAKAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT: Pelepasan diperluaskan kepada pengajian profesional dan dalam bidang perakaunan dan undang-undang;
59. Kerajaan mencadangkan IPTS yang membuat pengkhususan dalam bidang sains diberi insentif elaun cukai pelaburan 100 peratus selama 10 tahun;
60. Sebanyak 400 perpustakaan desa akan dibina;
61. MERINGANKAN BEBAN KEWANGAN RAKYAT: Cukai jalan ke atas kenderaan disel persendirian melebihi 1600cc dikurangkan sebanyak 40 peratus kecuali bagi Sarawak, berkuat kuasa 5 Okt, 2005.
62. Kadar bantuan untuk warga tua daif akan dinaikkan kepada RM200 sebulan daripada RM135 sebulan. Kadar bantuan anak-anak yatim dan miskin ditingkatkan kepada RM100 sebulan daripada RM80 sebulan. Bantuan maksimum sekeluarga dinaikkan kepada RM450 sebulan daripada RM350 sebulan;
63. Bantuan kepada Tabika di bawah Kemas akan dinaikkan kepada RM1.50 sehari daripada 60 sen bagi setiap murid;
64. Sebanyak RM1.1 bln diperuntukan bagi penyediaan 26,000 kuarters dalam tahun 2006 untuk guru, tentera, polis, bomba dan kastam;
65. Kos komponen binaan seperti tiang, rasuk, dinding dan lantai akan dikurangkan dengan memberi elaun modal ke atas perbelanjaan modal pembelian acuan untuk mengeluarkan komponen IBS;
66. MENERAPKAN NILAI MURNI KEKELUARGAAN: Suami isteri kini boleh menuntut pengecualian cukai keuntungan harta tanah sekali dalam seumur hidup (kini hanya diberi kepada suami);
67. MEMARTABATKAN KEBUDAYAAN WARISAN BANGSA: Pengecualian cukai ke atas royalti atau bayaran daripada penerbitan hasil karya seni atau rakaman disk dan pita dinaikkan kepada RM10,000 setahun daripada RM6,000 setahun;
68. Pengecualian duti import dan cukai jualan diperluaskan kepada peralatan yang digunakan dalam industri persembahan;
69. Pendapatan yang diterima oleh tenaga pakar bukan pemastautin yang melatih rakyat Malaysia dalam seni persembahan dan penghasilan kraf serta bidang teknikal yang berkaitan dengannya dikecualikan daripada cukai pegangan;
70. MENGGALAKKAN GAYA HIDUP SIHAT: Cukai ke atas minuman keras dinaikkan purata 9 peratus manakala rokok 13 peratus;
71. Dadah: Pemadam akan mengkaji semula kaedah pemulihan penagih. Kempen yang lebih agresif akan dijalankan oleh kerajaan-kerajaan negeri, badan bukan kerajaan dan individu bagi memerangi penyalahgunaan dadah;
72. Sebanyak RM207 juta diperuntukkan bagi Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (ADK) bagi meneruskan program pencegahan, rawatan dan pemulihan serta pengurusan 29 pusat serenti;
73. AIDS: Kementerian Kesihatan akan menubuhkan Panel Penasihat untuk menggubal pelan tindakan bersepadu bagi menangani HIV/Aids. Jumlah kes positif HIV/Aids meningkat kepada 65,000 tahun ini;
74. Projek Rukun Tetangga akan dihidupkan semula bagi membendung jenayah, peruntukan sebanyak RM101 juta disediakan untuk program Rakan Muda dan RM600 juta untuk program Latihan Khidmat Negara, 95,000 remaja pelbagai kaum akan dilatih tahun depan berbanding 65,000 tahun ini;
75. MEMPERBAIKI PENGANGKUTAN AWAM DI LEMBAH KLANG: bas-bas baru akan diperkenalkan;
76. Touch n' Go yang kini boleh digunakan di semua pengangkutan rel akan diperluaskan kepada perkhidmatan bas. Kerajaan akan melaksanakan sistem satu tiket bersepadu yang boleh digunakan di semua jenis pengangkutan awam di Lembah Klang;
77. Kajian sedang dijalankan untuk mengenal pasti laluan rel baru di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi di mana sebanyak 10 laluan baru bagi perjalanan bas telah dilaksanakan;
78. Jumlah stesen gas runcit yang kini berjumlah 51 buah akan ditambah dua kali ganda menjelang 2007 untuk menggalakkan penggunaan gas;
79. Geran sebanyak RM50,000 akan diberi bagi setiap bas monogas yang diperolehi bagi tempoh sehingga akhir 2008. Galakan cukai akan diberi untuk pembangunan rangkaian retikulasi gas;
80. MENINGKATKAN KECEKAPAN PENGGUNAAN TENAGA: Semua agensi kerajaan diberi sasaran untuk mencapai 10 peratus penjimatan penggunaan tenaga pada tahun 2006;
81. Kerajaan bercadang insentif yang diberikan kepada syarikat yang menawarkan perkhidmatan penjimatan tenaga dilanjutkan tempohnya untuk lima tahun lagi sehingga 2010;
82. Kerajaan juga bercadang memberi elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus kepada modal yang dibelanjakan bagi tujuan meningkatkan penjimatan tenaga kepada pemilik bangunan;
83. Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM2.3 bilion tahun depan bagi pembinaan jalan, penyediaan bekalan elektrik dan air serta projek pendidikan dan kesihatan;
84. Sarawak diperuntukan RM2 bilion pada 2006 untuk jalan, lapangan terbang dan pendidikan. Selain itu, RM112 juta disediakan bagi projek air dan elektrik serta pembinaan jalan di kawasan luar bandar;
85. Jumlah peruntukan RM2 bln bagi Sarawak tidak termasuk projek pembangunan hidro-elektrik Bakun yang akan melibatkan kos sebanyak RM6.1 bln antara 2006 dan 2009;
86. MEMPERKUKUHKAN PASUKAN POLIS: Sebanyak RM3.5 bln disediakan untuk perbelanjaan mengurus PDRM dan RM493 juta untuk perbelanjaan pembangunan;
87. Membayar balik upah jahit pakaian seragam bagi anggota polis pangkat rendah sehingga RM100 sepasang untuk tiga pasang setahun;
88. Menaikkan bayaran insentif bagi anggota pemusnah bom daripada RM50 satu operasi kepada RM100 satu operasi;
89. Memanjangkan bayaran insentif menyelam yang kini dinikmati oleh anggota ATM, Jabatan Perikanan dan Pusat Sains Negara kepada anggota PDRM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat. Kadar bayaran insentif akan dinaikkan dari RM50 sebulan kepada RM100 sebulan bagi penyelam dan dari RM150 kepada RM250 sebulan bagi penyelam ranjau;
90. BANTUAN KOS SARA HIDUP KAKITANGAN PERKHIDMATAN AWAM: RM150 sebulan bagi mereka yang berada pada Gred 1 hingga 54 di KL, Putrajaya, Ampang Jaya, Kajang, Klang, Selayang, Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya, Johor Baharu, Georgetown dan Butterworth. Ia bermula 1 Jan 2006;
91. RM100 sebulan bagi mereka yang berkhidmat di 26 bandar lain dan RM50 sebulan bagi mereka yang bertugas di kawasan lain;
92. Imbuhan tetap khidmat awam (ITKA) diselaraskan untuk pegawai Gred 41 dan 42 serta pensyarah Gred 45 ditetapkan pada RM300 sebulan;
93. Elaun penyelia Kelas Al-Quran dan fardu ain (KAFA) dinaikkan daripada RM500 sebulan kepada RM750 sebulan;
94. Elaun guru KAFA ditetapkan sebanyak RM500 sebulan (Sebelum ini elaun maksimum bagi semenanjung Malaysia ialah RM288 sebulan dan bagi Sabah dan Sarawak RM336 sebulan);
95. Bayaran insentif merawat pesakit tibi dan kusta sebanyak RM60 sebulan akan dipanjangkan kepada juruteknologi makmal dan perubatan, pembantu makmal perubatan dan atenden kesihatan yang bertugas di makmal di Pusat Tibi Negara dan Makmal Pusat Kusta Negara;
96. BONUS: Pegawai kerajaan yang berpendapatan sehingga RM1,000 sebulan akan diberi bonus bersamaan satu setengah bulan gaji. Mereka yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan, bonus bersamaan satu bulan gaji akan dibayar tertakluk kepada bonus minimum RM1,500. Ia akan dibayar dalam dua bayaran iaitu pada Oktober dan November 2005;
97. Pesara kerajaan akan diberi bayaran khas sebanyak RM200 dalam bulan Oktober 2005;
98. LANGKAH MENGAWAL KENAIKAN HARGA: Kerajaan mengambil langkah tambahan untuk mengawal kenaikan harga barangan keperluan semasa musim perayaan iaitu dari bulan Oktober 2005 hingga Februari 2006. Keupayaan penguatkuasaan pemantauan harga akan dipertingkatkan dengan penambahan seramai 745 anggota;
99. Penyeludupan: Kerajaan akan memperketatkan langkah penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas penyeludup. Pemberian disel bersubsidi akan dikawal dengan lebih teliti dan ditumpukan kepada kumpulan sasaran.

Monday, September 26, 2005

Usahawan Melayu Kena Ubah Imej Bangsa

KEMAMPUAN Melayu menjadi usahawan dan peniaga berjaya sering dipersoalkan. Anehnya, mereka yang mempersoalkan kebolehan orang Melayu dalam bidang perniagaan dan keusahawanan ini termasuk orang Melayu sendiri.
Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan 35 tahun lalu, ramai Bumiputera khususnya Melayu cuba mencebur diri dalam bidang perniagaan. DEB memberi peluang kepada Melayu menerokai pelbagai bidang perniagaan, termasuk sektor yang tradisinya tidak ada usahawan Melayu.Melalui DEB, lahirlah segolongan usahawan Melayu hebat dan berjaya sebagai tambahan kepada kejayaan beberapa kerat usahawan Melayu sebelumnya. DEB memberi kita harapan menyaksikan kelahiran lebih ramai Melayu hebat dalam perniagaan dan keusahawanan. Malangnya, melalui DEB juga kita menyaksikan kegagalan sekian ramai usahawan Melayu. Lebih menyedihkan apabila ada di kalangan yang hebat dan berjaya juga tidak dapat bertahan dan hilang kegemilangannya.Apa yang berlaku sepanjang 30 tahun ini menyebabkan kita kerap mendengar cerita kegagalan Melayu dalam perniagaan berbanding kisah kejayaan. Ekonomi negara terus berkembang pesat, tetapi kita masih sukar menyenaraikan usahawan Melayu berjaya.Usahawan Melayu terpaksa berdepan keadaan yang mana mereka tidak boleh menang. Jika berjaya dalam perniagaan, tidak dihormati kerana dikatakan diberi bantuan dan sokongan kerajaan sepanjang masa. Apabila gagal, pasti dicemuh kerana masih tidak mampu berjaya walaupun sudah diberi sokongan dan bantuan.Pada peringkat awal DEB, mungkin orang Melayu kurang persediaan dan kefahaman bagaimana hendak berjaya sebagai usahawan. Mungkin juga ada kelemahan dalam pelaksanaan dasar kerajaan ketika membantu usahawan Bumiputera.Tahap kejayaan terbatas dalam pembangunan usahawan Bumiputera, khususnya Melayu menyebabkan kerajaan sentiasa memperbaiki kaedah bantuan dan sokongan supaya usahawan lebih berdaya tahan, berdaya maju dan berdaya saing. Kesilapan dan kegagalan masa lalu dijadikan panduan untuk mengurangkan kegagalan. Malangnya, manusia mempunyai ingatan panjang bagi perkara negatif. Orang lebih mudah dan gemar mengingati kisah kelemahan dan kegagalan usahawan Melayu. Ini menyebabkan timbul tanggapan Melayu umumnya memang tidak pandai berniaga.Kata orang, sesuatu yang diulang berkali-kali akan dipercayai orang, walaupun tidak benar. Mungkin inilah yang berlaku kepada orang Melayu. Sejak 20 hingga 30 tahun ini kita asyik mengulangi cerita kelemahan dan kegagalan usahawan Melayu, kita mula percaya usahawan Melayu lebih mudah gagal daripada berjaya.Tanggapan bahawa Melayu bukan bangsa berniaga menjadi lebih sukar dikikis apabila ada segelintir Melayu, apabila diberi peluang menyalahgunakannya. Masih ada yang tidak ikhlas dan jujur dalam menggunakan kemudahan dan bantuan diberikan.Memang benar kadar kegagalan usahawan Melayu tinggi. Mungkin juga benar ramai Melayu mempunyai masalah sikap sebagai penghalang kejayaan. Tidak mustahil pula kelemahan serta kekurangan pihak pelaksana dasar kerajaan menyebabkan kadar kejayaan rendah.Semua yang berlaku selama ini mengakibatkan orang Melayu diberi imej negatif apabila dikaitkan dengan perniagaan, keusahawanan dan ekonomi. Apabila masalah imej ini tidak ditangani dan dibiarkan saja, apa juga kehebatan dan kemampuan Melayu sebagai usahawan akan tenggelam.Usahawan gagal bukan daripada kalangan Melayu saja. Tidak kurang juga bukan Melayu gagal dalam perniagaan. Kita boleh saksikan sendiri bagaimana kedai Cina juga silih berganti di kompleks perniagaan atau rumah kedai. Tetapi, keseluruhannya mereka mempunyai imej sebagai bangsa yang bijak berniaga. Masalah imej ini menyebabkan masyarakat secara keseluruhan berasa kurang yakin apabila berurusan dengan usahawan Melayu. Imej negatif pada nama Melayu menyebabkan mereka yang tulen dan berkemampuan juga menerima akibatnya. Untuk mengubah imej negatif ini, Melayu sebagai satu bangsa perlu melakukan perubahan besar. Kita perlu bermuhasabah dan mengkaji semula amalan dan tingkah-laku seharian. Amalan yang mendorong kepada sikap merugikan hendaklah dibendung supaya tidak diterima sebagai norma dan nilai pegangan hidup.Masalahnya kita sendiri menerima sikap tidak baik sebagai perkara biasa. Contohnya, apabila kita dengar kisah usahawan Melayu kurang berdisiplin dalam pengurusan wang dan mencampur aduk wang peribadi dan wang perniagaan, kita kata biasalah. Bila diceritakan ramai peniaga Melayu tidak pandai melayan pelanggan, kita juga kata biasalah.Golongan usahawan Melayu yang masih belum berubah perlu segera sedar bahawa sikap dan amalan negatif mereka merosakkan diri sendiri dan mengancam kemajuan bangsa keseluruhannya. Mereka yang bersikap negatif ini merosakkan imej Melayu dalam perniagaan dan mengurangkan peluang usahawan tulen untuk lebih berjaya.Jika dikaji secara teliti, tiada sebab sebenarnya kenapa Melayu tidak boleh berjaya sebagai peniaga dan usahawan. Sebagai umat Islam, usahawan Melayu seharusnya sudah jauh ke depan kerana nilai dan peradaban Islam menyediakan asas kukuh untuk berjaya.Ada kajian ahli akademik tempatan mengenai faktor kejayaan usahawan mendapati memang ramai usahawan bukan Islam lebih berjaya. Tetapi anehnya, mereka ini berjaya kerana mengamalkan nilai dan etika Islam seperti rajin, berdisiplin, mesra pelanggan dan sebagainya, walaupun mereka bukan Islam. Pada masa sama, ramai usahawan Melayu gagal kerana kurang menghayati nilai dan etika perniagaan Islam sebagai panduan. Ini tidak boleh dibiar berterusan kerana sudah terbukti kejayaan datang dengan amalan, sikap dan pegangan nilai tertentu. Selagi mereka enggan mengubah cara berniaga, selama itu mereka akan bermasalah.Usahawan Melayu perlu bina keyakinan diri bahawa mereka boleh lakukan apa yang dilakukan orang berjaya. Cara terbaik membina keyakinan diri ialah menambah ilmu dan pengalaman. Ilmu digandingkan dengan sikap dan nilai yang betul akan meletakkan mereka di landasan kejayaan.Sudah sampai masanya umat Melayu bertindak mengikis imej negatif bahawa Melayu tidak pandai berniaga. Bukan semua Melayu tidak pandai berniaga. Jadi jangan kita biarkan segelintir yang tidak beretika dan tidak bersungguh-sungguh menjadi penghalang kepada kejayaan Melayu keseluruhannya dalam perniagaan.

Sunday, September 25, 2005

Al-Quran Beri Ilham Cipta Telefon Video

Oleh Meor Hisham Zulkifli
Pada 1770 bermula detik menarik apabila Luigi Galvani mula mengkaji mengenai kesan dan sifat elektrofisiologi serta mula membuat ujian dengan stimulasi otot menggunakan elektrik.
Pada 1876 pula, Alexander Graham Bell, berjaya menghasilkan telefon dan pada 1979, rangkaian telefon bimbit pertama dibuka untuk komersial di Jepun. Berkat dedikasi, dunia kini dapat menyaksikan perkembangan telefon bimbit generasi terbaru yang aplikasi utamanya membolehkan panggilan video dibuat. Meskipun konsep telefon bergambar mula dikaji pada tahun 1960-an, hanya lewat tahun 1990-an ia mula terkenal di seluruh dunia lebih-lebih lagi dengan pengenalan sistem 2.75G dan 3G. 3G atau kependekan daripada teknologi telefon bimbit atau selular generasi ketiga mempunyai kemampuan memindah data suara (panggilan telefon) dan data bukan suara (seperti memindah turun maklumat, bertukar e-mail serta mesej segera). Tetapi apa yang paling penting adalah, kemudahan telefon video yang dianggap menjadi kekuatan aspek pemasaran 3G. Keadaan ini mencetuskan spektrum baru di seluruh dunia dengan banyak syarikat terutama berlumba-lumba mendapatkan lesen untuk menyediakan perkhidmatan ini. Bagaimanapun, yang lebih terkehadapan dalam teknologi ini adalah Jepun dan Korea Selatan. Jepun menjadi negara pertama yang menawarkan 3G dalam skala komersil besar. Pada tahun ini, 40 peratus pelanggan perkhidmatan mudah alih, menggunakan rangkaian 3G di Jepun dan sistem telefon bimbit 2G, kini sudah dianggap lapuk di negara itu. Dijangkakan peralihan sepenuhnya sistem 2G kepada 3G di Jepun akan disempurnakan pada tahun depan. Perkembangan pesat ini juga menyaksikan Jepun sudah meneroka ke arah pembangunan 3.5G manakala China pula mahu menghasilkan sistem yang lebih berdaya maju dan canggih yang dikenali sebagai 4G. Bagaimanapun, bagi beberapa pengendali telefon selular dunia yang masih enggan beralih ke era 3G yang dianggap mahal, mereka mempunyai pilihan lain iaitu sistem EDGE atau teknologi generasi 2.75 seperti yang digunakan pakai oleh pengendali rangkaian telefon mudah alih Malaysia, DiGi.Com. Bhd. Menerusi teknologi EDGE atau Enhance Data Rates for GSM, pengguna boleh menyaksikan televisyen menggunakan telefon selular dan panggilan video. Mengapa teknologi 2.75G atau 3G. Dengan kemudahan ini pengguna telefon kini dapat berhubung serta melihat wajah pemanggil selain memindah turun segala bentuk data dengan lebih pantas. Jika dulu suara menerusi telefon dianggap pengubat rindu dua insan yang berjauhan, kini dengan adanya teknologi berkenaan, pengguna mampu melepas rindu dengan lebih puas apabila turut dapat menatap wajah pemanggil. Masyarakat sebenarnya sudah lama ternanti-nantikan teknologi ini, hasil daripada kepintaran industri perfileman beberapa dekad lalu. Dalam banyak filem fiksyen sains sebelum ini, telefon video dipaparkan sebagai kaedah tunggal komunikasi pada masa depan. Sebagai contohnya adalah siri telefon video yang disiarkan dalam rancangan Pee-wee Playhouse. Rancangan ini adalah program televisyen kanak-kanak popular yang disiarkan CBS di Amerika Syarikat yang ke udara dari tahun 1986 hingga 1991. Rancangan itu kembali ke udara antara 1998 hingga 1999 menerusi rangkaian televisyen keluarga Fox. Bagaimanapun kini, segala khayalan zaman dulu sudah disediakan untuk kegunaan pengguna dunia dan telefon 3G atau 2.75 G dianggap sebagai alat keperluan masyarakat zaman moden. Apa yang lebih menarik lagi mengenai aplikasi telefon video ini adalah kerana gambaran ini sudah pun dinyatakan oleh al-Quran lebih 1,400 tahun lalu ketika dunia pada zaman itu dianggap mundur dari aspek teknologi moden. Menerusi surah As-Shaaffaat ayat 51 hingga 57, al-Quran menjelaskan bagaimana konsep perbualan telefon sambil menonton atau apa yang dikenali sebagai panggilan video pada masa kini berfungsi. “Berkatalah salah seorang di antara mereka (penghuni syurga) `Sesungguhnya aku dulu (di dunia) mempunyai seorang teman, yang berkata ‘apakah kamu sungguh-sungguh termasuk dalam orang yang membenarkan (hari berbangkit)?. Apakah bila kita sudah mati dan kita menjadi tanah dan tulang belulang, apakah sesungguhnya kita benar-benar akan dibangkitkan untuk diberi pembalasan. Berkatalah pula dia, `mahukah kamu meninjau temanku itu?’. Maka dia meninjaunya lalu dia melihat teman-temannya itu di tengah-tengah neraka menyala-nyala. Dia berkata (kepada temannya yang ada di neraka), `Demi Allah, sesungguhnya kamu benar-benar hampir mencelakakanku’. Jikalau tidaklah kerana nikmat Tuhanku , pastilah aku termasuk orang-orang yang diseret (ke neraka).” Menerusi ayat ini, diperihalkan betapa orang yang berada di satu tempat, bukan saja dapat bercakap dengan rakannya di tempat jauh, tetapi melihat apa yang berlaku ke atas rakannya itu. Ayat ini ditampilkan bukanlah bermakna insan di akhirat mempunyai telefon seperti yang ada pada masa kini tetapi, seperti ayat al-Quran yang lain, ia memberikan idea kepada manusia yang berfikir bahawa dengan kepandaian akal, sesuatu yang dianggap ajaib sebelum ini, dapat direalisasikan. Ayat ini juga turut menerangkan mengenai konsep teknologi televisyen yang hanya diperoleh pada kurun ke-20. Melalui alat ini, manusia dapat mendengar suara dan objek atau istilahnya audiovisual walaupun objek itu terletak terlalu jauh. Dengan teknologi ini juga manusia dapat memantau sesuatu seperti teknologi CCTV yang banyak digunakan dalam sistem keselamatan. Selain itu, terdapat banyak lagi kisah dalam al-Quran yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad diperlihatkan serta berbual dengan orang yang sedang diazab di dalam neraka selain melihat gambaran syurga ketika isra’ dan mikraj. Kisah yang paling menarik adalah ketika Nabi Muhammad hampir wafat iaitu apabila beliau menarik anak perempuannya, Saidatina Fatimah rapat kepadanya. Riwayat itu menyatakan, Fatimah yang sedang berduka dengan keadaan kesihatan bapanya, kelihatan ceria selepas berbual dengan Rasulullah dan apabila ditanya oleh sahabat, Fatimah menceritakan bagaimana Rasulullah menunjukkan kepada beliau tempatnya di syurga selepas Fatimah wafat kelak. Dan juga, kisah Saidina Omar al-Khattab yang diriwayatkan melihat anggota tenteranya yang sedang dikepung musuh di medan pertempuran sedangkan baginda ketika itu sedang memberi khutbah di Madinah yang jarak antara kedua-dua tempat beribu-ribu batu jauhnya. Jika ketika itu ia dianggap sebagai satu keajaiban, kini dengan adanya teknologi 2.75G, 3G atau siaran langsung televisyen, keajaiban ini dapat difahami dengan mudah. Dan inilah yang diperkatakan bahawa al-Quran dan Sunnah Nabi sentiasa memberi gambaran dan petunjuk kepada manusia terutama golongan yang mahu menjadikannya sebagai panduan untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.

Tuesday, September 20, 2005

20 September 2005... Genap Setahun

Assalamualaikum

Hari ini, genap setahun aku menjadi keluarga KFC. Masih ada beberapa kelemahan pada diri aku dalam melaksanakan tugas. Paling ketara adalah masalah packing. Aku masih gagal mengira dengan tepat carton & polyfoam. Lebih-lebih lagi item untuk katil. pehh.. pening kepala abang nih.
Kini aku masih dalam dilema. Tawaran untuk jadik CEO akan tamat Khamis ini... Perlukah aku ke sana??
Ya Allah.. berilah aku petunjuk......
Amin

Monday, September 19, 2005

Pas Anjur Konsert, UMNO Anjur Ceramah

Oleh Zulkiflee Bakar (WARTAWAN UTUSAN)
Isu jemputan kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas ke atas penyanyi Akademi Fantasia (AF3) Asmawi Ani@ Mawi telah membuktikan bahawa dalam politik bukan sahaja tidak ada kawan dan musuh yang kekal tetapi juga belum pasti sesuatu dasar itu mampu dipertahankan selama-lamanya.
Segalanya kerana realiti dan iklim politik negara ini tidak mengizinkan sesuatu parti itu terlalu ortodoks atau esktrim memegang sesuatu dasar sehingga memungkinkan ia tidak mendapat sokongan rakyat.
Itulah juga yang dilakukan kerajaan Pas Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sanggup `mencairkan' ketaksuban pemimpin-pemimpin parti itu menolak hiburan apabila menjemput Mawi bagi mengadakan konsert Tautan Kasih pada 30 September dan 1 Oktober di Kota Bharu.
Walaupun jemputan berkenaan mendapat tentangan keras daripada Dewan Ulama Pas yang menganggap Mawi bukan penyanyi hiburan sebenar sebaliknya dia adalah hasil produk sebuah rancangan realiti televisyen yang jelas menyimpang daripada ajaran agama namun ia tidak mengubah pendirian Nik Abdul Aziz.
Ini kerana bagi Nik Abdul Aziz ia bukanlah soal menjemput Mawi menyanyi sahaja tetapi lebih daripada itu sebagai isyarat bahawa Pas kini semakin bersedia untuk berubah dalam usaha untuk memecahkan kepompong bagi mendapatkan sokongan golongan muda.
Pas pada pandangan Nik Abdul Aziz tidak boleh selamanya melihat semua bentuk hiburan adalah melalaikan dan artis yang ada tidak boleh dijadikan idola golongan muda untuk menuju ke arah kebaikan.
Justeru kemunculan Mawi melalui program AF - satu program yang sering mendapat kritikan keras pemimpin-pemimpin Pas dilihat sebagai satu rahmat dalam usaha mereka mendekati golongan muda.
Bagi Nik Abdul Aziz, golongan muda akan terus menjauhi Pas jika idola-idola mereka dipinggirkan kerana Pas menganggap semua bentuk hiburan yang dibawa oleh artis-artis pop hanya melalaikan.

Pandangan
Pas amat sedar pilihan raya umum akan datang, golongan muda akan menjadi penentu kepada nasib sesebuah parti, oleh itu kalau Pas terus ekstrem dengan pandangan sempit mengenai hiburan dan artis sampai ke bila pun mereka tidak akan meraih sokongan golongan berkenaan.
Soal sokongan golongan muda inilah yang menjadi salah satu perdebatan hangat ketika muktamar Pas yang lalu, apabila ahli-ahli parti itu mahu Pas mengubah corak pendekatan mereka dalam meraih golongan berkenaan. Pas kata mereka tidak boleh memusuhi golongan itu sebaliknya cuba mendekati mereka melalui pendekatan-pendekatan yang tidak bercanggah dengan prinsip dan lunas-lunas Islam hatta dalam hiburan sekalipun. Ketika Pas di Kelantan ingin menunjukkan mereka semakin bersikap terbuka, UMNO pula ingin memaparkan mereka cenderung ke arah aktiviti keagamaan. Akibatnya tercetusnya dua majlis yang agak `janggal' pada 30 September ini.
Pada tarikh itu UMNO Kelantan akan menganjurkan Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Ketereh manakala di Padang Perdana Kota Bharu, Pas menganjurkan Konsert Tautan Kasih.
Kata Pas, konsert itu bertujuan untuk mengajak golongan muda ke arah kebaikan dengan kehadiran Mawi manakala UMNO pula berhujah di forum perdana itu mereka mahukan johan qari peringkat kebangsaan, Pisol Yusob menjadi idola sebenar golongan muda supaya mereka mencintai al- Quran.
Ternyata sekali, dalam keghairahan kedua-dua parti itu cuba menarik perhatian golongan muda mereka melakukan perkara yang agak `asing' dalam pendekatan perjuangan mereka.
Pas yang dilihat lebih layak menganjurkan forum perdana itu lebih selesa mengadakan konsert manakala UMNO pula secara tiba-tiba mahukan qari menjadi idola biarpun sebelum ini parti itu sudah banyak kali mengadakan konsert hiburan di Kelantan.
Semua kekalutan ini membuktikan bahawa dalam politik segala kemungkinan, bak kata orang Pas boleh menjadi `artis', UMNO boleh menjadi `imam' - maknanya tiada perkara yang kekal asalkan ia tidak melanggar prinsip perjuangan parti masing-masing.
Begitulah juga dengan tindakan Pas dan UMNO ini, mereka melihat tidak salah dalam tindakan mereka kerana ia bukannya menyentuh soal prinsip tetapi pendekatan yang boleh diubah mengikut keadaan semasa.
Apa yang penting bagi mereka, strategi siapakah yang lebih berkesan bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang terutamanya untuk menunjukkan kepada golongan muda parti mana yang paling layak mereka sokong.
Namun begitu sama ada UMNO menganjurkan forum perdana dan Pas pula mengadakan konsert, kedua-duanya tidak salah kerana kedua-duanya mempunyai unsur mengajak ummah terutamanya generasi muda ke arah kebaikan.

Keikhlasan
Mungkin forum perdana anjuran UMNO akan dihadiri oleh golongan tua sahaja manakala konsert Mawi akan dihadiri oleh golongan muda tetapi kita tidak berhak mempertikaikan keikhlasan kedua-dua parti itu.
Apa yang pasti kedua-dua peristiwa ini menunjukkan, kedua-dua parti itu kini mengakui pendekatan yang diamalkan oleh parti lawan masing-masing sebelum ini tidak salah.
Jika sebelum ini, Pas melihat konsert hiburan yang dianjurkan oleh UMNO biarpun melibatkan artis nasyid adalah salah dan melalaikan tetapi mereka kini terpaksa mengakui ia adalah alat terbaik untuk meraih sokongan.
Begitu juga UMNO, jika sebelum ini mereka melihat ceramah-ceramah agama tidak banyak mampu meraih sokongan rakyat kepada parti itu tetapi mereka kini semakin menyedari bahawa perkara yang berkaitan Islam semakin digemari oleh rakyat.
Apa pun, segalanya terserah kepada rakyat untuk menentukannya, hanya mereka yang berhak menilai siapakah sebenarnya yang ikhlas memartabatkan agama Islam. apa yang pasti kehadiran Mawi bukan sahaja telah menggegarkan seni hiburan tanah air tetapi juga `berjaya' mengubah pendekatan politik sesebuah parti.

Friday, September 09, 2005

Bersua Kembali

Assalamualaikum..

Agak lama juga aku tak taip sesuatu kat web blog aku nie. Badan letih, 1 hal dan yang lebih penting. Aku tak der idea. Ye la, bdan dah letih, macam mana nak berfikir.


Road-Tax
Beberapa hari nie, banyak berita yang agak menarik perhatian aku. Berita dalam negara, of couse lah, kadar cukai jalan diturunkan. Dan yang pasti, bulan Februari nanti, road tax yang aku kena banyar ialah RM30.00. ehehee.. sungguh mengagumkan. Walaupun harga minyak naik, tapi setidak-tidaknya penurunan cukai jalan tu telah mengurangkan kesesakan poket aku yang telah sesak nie. ahaks....

Ex-PM
Berita selanjutnya, tadi aku dengar beberapa pertubuhan NGO keluar dari dewan majlis apabila mentor aku berucap pasal ketidakadilan barat terutamanya US & UK. Memang patut pun ex-PM tu cakap macam tu. Dah memang betul. Banyak kes yang menunjukkan kebangangan & ketololan mereka tu.

Katrina
Aku dah jatuh cinta kat awek sorang nie. Awek mat-saleh kauu.. jangan jeles. Harap-harap dia datang lagi. Sesungguhnya aku sangat-sangat rindukan dia. Mungkin kah dia datang lagi di tempat yang sama?? Aku doakan.......

Kuok, Kris, Lim & Quek..... Shamsudin? Tajudin? Naza?
Apalah aku ni kan, tadi nama awek. Ni dah nama jantan lak. Tapi siapa dia orang nie? Aku percaya, kau orang pun tau kan? Tak payah la aku jelaskan. Kadang2 aku terfikir gak. Bila la yang 3 terakhir tu nak jadi macam yang 4 kat depan tu. Bagaimanakah caranya. Kalau diteliti mereka itu mempunyai empayar tersendiri. Tapi yang empat tu lebih berjaya. Yang 3 tu..... entah, ibarat kata pepatah hidup segan mati tak mau. Apa dah jadi?? Tolong lah bangkit... Buktikan anda juga boleh!!!

MyVii

Ohhh......... bila lagi daaaaaaaaaaaaaa



chow...zzzz