Kaedah Berlembut Mengakibatkan 289 Maut
Bismillah
Berakhir sudah Ops Sikap ke24. Apa hasilnya? 289 nyawa lagi melayang dalam tempoh 2 minggu. Dikatakan kali ini PDRM menggunakan kaedah berlembut iaitu dengan cara memberi nasihat dan kaedah ini dilihat gagal mendisiplinkan para pemandu di Malaysia.
Dengan kematian seramai itu, Ops Sikap kali mencatatkan kematian paling ramai sejak ianya dilancarkan 11 tahun lalu.
Di mana silapnya?
Pernah seorang teman memberitahu bahawa rakyat Malaysia merupakan masyarakat yang sangat bersopan santun dan berbudi bahasa, tetapi apabila memegang stereng mereka menjadi sebaliknya. Kesopanan dan budi bahasa hilang entah ke mana.
Pelbagai kempen, operasi dan program dijalankan, namun ianya masih gagal mengubah senario ini.
Blog ini pernah menyatakan bahawa setiap kemalangan itu adalah berpunca dari sikap pemandu itu sendiri.
Sekali lagi blog ini menyarankan agar pemandu yang menyebabkan kemalangan maut dan cedera parah dikenakan tindakan yang keras.Tindakan utamanya adalah menggantung/batalkan lesen mereka. Mereka harus 'dinyahkan' dari menggunakan jalanraya.
Di samping itu, pihak PDRM/JPJ juga seharusnya perlu kerap mengadakan sekatan jalanraya dan memeriksa setiap lesen/cukai jalan pemandu. Tidak seharusnya memberi tumpuan kepada satu-satu kawasan sahaja sebaliknya harus dibuat sekatan secara menyeluruh. Buat sekatan dipelbagai lokasi dan bukannya seperti sekarang, hanya kawasan tertentu sahaja - pemandu sudah dapat menjangka mereka buat sekatan disitu!
Kekerapan mengadakan sekatan jalanraya juga wajar dilakukan agar menimbulkan rasa gerun kepada pemandu amnya dan pesalah trafik khasnya. Ini adalah tindakan susulan kepada penggantungan/pembatalan lesen pesalah trafik. Jika kerap diadakan sekatan jalanraya, sudah semestinya mereka dapat mengesan pemandu yang tiada lesen. Dan sewajarnya mereka yang memandu tetapi lesennya telah digantung, sewajarnya dikenakan denda yang lebih berat. Sekat dan Lihat! Sekat setiap kenderaan dan lihat setiap lesen mereka. Dan jangan bicara lebih banyak apabila mereka merupakan pesah trafik. Harus diingatkna juga, sekatan jalanraya tidak seharusnya bermusim. Lakukan sepanjang masa, tanpa kira masa dan tempat.
Memenjara dan mendenda lalu menggantung lesen adalah satu tindakan yang sangat kelakar (Ada juga penggubal undang-undang buat undang-undang sebegini - kasihannya). Seorang banduan dipenjara tidak memerlukan lesen memandu. Jadi nak gantung, gantung lah - apa ada hal?? Mereka yang perlu digantung lesennya adalah mereka yang berada diluar sana. Biar mereka rasa betapa tanpa lesen, amat sukar untuk mereka bergerak. Ditambah dengan kekerapan pihak berkuasa mengadakan operasi sekatan jalan raya, sudah pasti mereka menyesal. Sekali lagi disarankan, apabila mereka dikesan memandu, hukuman lebih berat sedia menanti.
Apa lagi? Tidak kira berapa banyak peraturan yang hendak dibuat, asasnya adalah pesalah trafik seharusnya tidak dibenarkan menggunakan jalanraya sebagai pengajaran kepada mereka dan pemandu lain. Jangan jadi seperti sekarang, pelbagai peraturan dibuat tetapi perlaksanaannya tidak menyeluruh. Pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap pun masih boleh menggunakan jalan raya.
Semoga jalanraya Malaysia lebih selamat dengan ketiadaan pemandu yang tidak berdisiplin.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home