Friday, June 17, 2005

Meniti Arus: Amanat Haji Hadi halangan penjenamaan semula Pas

Bersama Abd Rahman Sulaiman
KEPEMIMPINAN baru Pas yang diketuai Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa, nampaknya begitu komited untuk mengubah imej parti itu bagi membolehkannya lebih diterima orang Melayu, pengundi muda dan golongan bukan Islam.
Mereka berpendapat hanya inilah cara yang masih ada jika parti itu mahu terus relevan dan bercita-cita untuk memerintah Malaysia pada suatu hari nanti.
Komitmen ini jelas terbayang dalam ucapan pemimpin kanan Pas ketika Muktamar Tahunan ke-51 parti berkenaan di Kota Bharu baru-baru ini. Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan yang mereka keluarkan dan perlantikan beberapa tokoh muda ke jawatan penting parti selepas persidangan itu.
Perlantikan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar, sebagai Setiausaha Agung baru tentu mempunyai tujuan tersirat, di samping pengiktirafan terhadap kemampuan beliau.
Kamarudin di kalangan rakan rapat dikenali KJ, bukan saja seorang intelektual, tetapi juga mudah mesra dengan setiap orang tanpa membezakan kedudukan dan mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan organisasi.
Rakan karib bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini pernah menjadi Setiausaha Politik bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba, Ketua Bahagian Umno dan Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Dalam reaksi awal pelantikannya, Kamarudin mengaku akan memanfaatkan segala pengalamannya, termasuk ketika berada dalam Umno untuk membentuk imej Pas sebagai parti yang layak untuk memerintah negara.
Beliau menyebut mengenai betapa Pas perlu ‘mempunyai dasar dan imej yang sesuai untuk melayakkannya memerintah negara ini.’
Soal pembentukan imej baru ini begitu banyak ditekankan dalam Pas akhir-akhir ini. Ia diulang-ulang bukan saja ketika muktamar, tetapi juga selepas muktamar.
Nasharuddin pada satu temu bual selepas memenangi jawatan timbalan presiden, menyifatkan pemilihan kepemimpinan baru Pas sebagai ‘turning point’ untuk merawat kelesuan parti itu selepas pilihan raya umum lalu.
“Kita akan melonjak dari sini menuju ke depan bersama rakan barisan alternatif. Dalam konteks dalamannya, kita memperkasakan jemaah manakala luarannya ialah untuk pakej semula Pas,” katanya.
Nasharuddin berkata, di kalangan ahli Pas ada semacam satu lonjakan semangat baru dan ramai menelefon beliau untuk menyatakan rasa gembira dan hasrat mahu menyumbang untuk perjuangan parti.
Begitulah ghairahnya ahli dan pemimpin baru Pas dalam usaha mereka mahu mencorakkan semula imej parti yang sudah banyak terjejas akibat kesilapan sendiri itu.
Pemimpin Pas seolah-olah baru menyedari kelemahan ini pada hal seperti dijelaskan dalam ruangan ini minggu lalu, orang luar dan sesetengah ahli Pas sendiri sudah lama menyedarinya.
Tetapi bak kata pepatah Inggeris, It's better late than never. (Lebih baik terlambat daripada langsung tidak berbuat apa-apa).
Soalnya sekarang ialah mampukah kepemimpinan baru Pas menonjolkan imej lebih positif, khususnya kepada orang bukan Islam dan orang Islam yang bukan ahli parti itu tanpa meminda dasar dan perlembagaannya?
Jawabnya mungkin boleh dan mungkin tidak, terpulang kepada cara dan pendekatan diambil selepas ini. Tetapi menurut pandangan Tun Dr Mahathir Mohammad, Pas tidak akan berubah kerana walau pun pemimpinnya bertukar, mereka mempunyai pemikiran yang beku.
Pemimpin Pas tentu sekali marah dengan pandangan ini, tetapi untuk berlaku adil kepada Dr Mahathir dan untuk kebaikan Pas sendiri, pandangan yang disuarakan bekas Perdana Menteri itu sebenarnya mewakili persepsi kebanyakan orang luar parti itu, khususnya orang bukan Islam.
Bagi kebanyakan orang di luar Pas juga, parti itu dilihat sebagai tidak mempunyai dasar tertentu untuk membangunkan negara, tidak konsistan dan tidak berpijak di bumi nyata.
Pemimpin pentingnya pula dilihat sebagai tidak ikhlas, sombong, jumud, kasar, tidak bijak, tidak mesra dan sentiasa mencari kesalahan orang lain tanpa menyedari kelemahan diri sendiri.
Ada pengulas pernah menulis bahawa dalam keadaannya sekarang atau sekurang-kurangnya sebelum pertukaran pimpinan baru-baru ini: “Pas is not selling a dream; it's selling a nightmare.” (Pas bukan menjual mimpi, ia menjual sebuah mimpi ngeri).
Tidak pula diketahui sama ada pemimpin Pas menyedari persepsi buruk orang luar itu. Tetapi bagi kebanyakan orang Melayu di negara ini, mereka tidak boleh mengampunkan Pas berhubung peristiwa solat dua imam, perbuatan mengkafirkan orang Islam lain dan keengganan penyokong Pas makan sembelihan orang lain yang pernah melanda beberapa tempat di Terengganu dan tempat lain di negara ini satu masa dulu.
Keengganan pucuk pimpinan Pas menarik balik Amanat Haji Hadi - satu dokumen yang dicetak dan diedarkan di seluruh negara secara meluas pada 1980-an – memburukkan lagi keadaan.
Dokumen itu memetik ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dibuat di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April, 1981.
Antara lain, Hadi dipetik sebagai berkata, Pas menentang Umno bukan kerana namanya Umno, tetapi kerana Umno mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir dan mengekalkan peraturan jahiliah.
Disebabkan itu, perjuangan menentang Umno adalah jihad dan jika mereka mati dalam perjuangan itu, mati mereka adalah mati syahid.
Kesan daripada apa yang dikatakan amanat ini di kalangan orang Islam di negara ini cukup menggerunkan sehingga pada 1986, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terpaksa bersidang untuk membincangkannya.
Jawatankuasa itu memutuskan bahawa apa yang dikatakan Amanat Haji Hadi itu bercanggah dengan Islam.
Laporan risikan mendapati apa yang dikatakan amanat itu ada hubung kaitnya dengan peristiwa Memali di Kedah pada 19 November 1985 dan penangkapan kumpulan ajaran sesat al-Maunah di Bukit Jenalik, Sauk, Perak pada Julai 2000 dalam erti kata penjenayah terbabit benar-benar yakin perbuatan mereka menentang kerajaan dengan menggunakan senjata adalah jihad dan jika mereka mati, mereka mati sebagai suhada.
Oleh itu soal ini soal prinsip yang boleh menjejaskan akidah orang Islam, Pas tidak boleh mendiamkan diri begitu saja mengenai apa dikatakan amanat itu. Pemimpin baru Pas harus memikirkan cara terbaik untuk memisahkan diri mereka daripada amanat itu sebelum mengambil langkah lain untuk memulihkan imej parti mereka.
Dari satu segi, ini prasyarat terpenting untuk membersihkan imej dan menjenamakan semula Pas, di samping perkara berkaitan dengan dasar dan perlembagaan yang disebutkan di atas tadi.
Pemimpin parti itu juga perlu menghapuskan tabiat gemar membuat kenyataan bercanggah dan mengelirukan yang bukan saja tidak membantu memperbaiki, malah merosakkan lagi imej parti mereka.
Untuk memberi keselesaan kepada orang bukan Islam, Pas tidak perlu menekankan soal bentuk seperti cara pemimpin dan anggota mereka berpakaian. Sebaliknya, perkara yang lebih mustahak ialah isinya.
Pas juga perlu mengajar anggotanya di kampung supaya senyum dan jangan menganggap orang lain yang di luar kalangan mereka sebagai kotor.
Adalah penting persepsi buruk terhadap Pas ini dikikis dulu sebelum parti itu memikirkan imej baru yang hendak ditonjolkan. Apa pula imej baru yang hendak ditonjolkan belum juga diketahui.
Setakat ini, belum ada tanda-tanda apa mereka hendak lakukan selain pelawaan untuk berdialog dengan Umno mengenai Islam Hadhari yang dibuat secara terbuka.
Bagi kebanyakan pemerhati politik, ini satu kesilapan strategi pertama dilakukan pemimpin baru Pas. Jika mereka benar-benar ikhlas, mereka tidak sepatutnya membuat pelawaan itu secara terbuka, lebih-lebih lagi mereka menolak secara terbuka juga pendekatan Islam Hadhari yang diambil kerajaan.
Tidak hairanlah kenapa sehingga kini Umno masih membisu terhadap pelawaan itu. Sebagai sebuah parti orang Islam terbesar di Malaysia sekarang, tentulah tidak bijak bagi Umno menyahut pelawaan itu, sekurang-kurangnya tidak secara terbuka kerana ia datang dari sebuah parti yang sedang kelesuan dan mencari-cari kekuatan baru.
Dalam istilah politik orang kampung, perbuatan ini samalah dengan menagih hayat. Tiada sebab kenapa sebuah parti yang menjadi saingan harus menyambung hayat sebuah parti lawan.
Apa juga penjenamaan dan imej baru yang hendak dibentuk tokoh muda Pas sekarang, mereka perlu memikirkan sedalam-dalamnya sama ada ia akan menguntungkan Pas atau sebaliknya dalam tempoh jangka panjang, bukan setakat pilihan raya umum akan datang saja.
Jika imej yang mahu diketengahkan itu sebuah parti Islam liberal, moden dan toleran seperti Umno, ia tidak akan memberi apa-apa kelebihan kepada Pas. Pas harus ingat bahawa saingan utamanya sekarang ialah Umno. Jika parti itu sama juga dengan Umno, maka kewujudan Pas akan menjadi tidak relevan untuk kepentingan orang Melayu.
Dalam keadaan demikian tentulah orang Melayu akan menuntut Pas dibubarkan saja dan semua anggota Pas dipujuk masuk Umno kerana Umno lebih kuat, punya trek rekod baik dan sudah banyak pengalaman dari segi politik sama ada dalam negara atau pada peringkat antarabangsa.
Kewujudan hanya sebuah parti politik Melayu di negara ini tentulah akan memperkuatkan lagi perpaduan Melayu dan sekali gus menyumbang ke arah peningkatan kedudukan ekonomi mereka.
Sebaliknya, Pas yang berwajah baru boleh juga mengambil risiko dan terus wujud sebagai parti pilihan untuk orang Melayu seiring dengan Umno dengan harapan orang Melayu akan beralih selera satu hari nanti.
Dalam keadaan demikian, Pas akan hanya berjaya jika orang Melayu bosan dan meluat dengan Umno dan parti bukan Melayu yang kini menjadi rakan Umno dalam Barisan Nasional (BN) hilang kepercayaan kepada Umno.
Sesungguhnya, ini cabaran masa depan yang hebat bukan saja kepada Pas, tetapi juga kepada Umno.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home