Monday, June 06, 2005

Terjemahan Suara Ahli Pas

Oleh: Zulkiflee Bakar (Wartawan Utusan)

Pada hari kedua Muktamar Tahunan Pas Ke-51 yang merupakan hari pengundian, siaran televisyen litar tertutup memaparkan gambar Setiausaha Agung Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agak lama ketika Pengerusi Tetap, Abu Kassim Abdullah bercakap mengenai proses pengundian.

Ternyata ia bagaikan isyarat awal bahawa itulah gandingan baru Pas, apabila Nasharuddin dipilih menjadi Timbalan Presiden Pas yang baru bagi menggantikan penyandang jawatan, Senator Hassan Shukri.

Keputusan yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilih, Yahya Othman kira-kira pukul 4.30 petang menamatkan segala debaran sejak hari pertama muktamar, apakah pemilihan yang berlaku akan memenuhi impian ahli-ahli Pas untuk melihat perubahan terjadi dalam parti itu?

Kejayaan Nasharuddin, 43 sememangnya sudah diduga sejak awal lagi, apabila kekalahan teruk dalam pilihan raya umum lalu telah memaksa Pas memastikan kepimpinannya berubah biarpun Abdul Hadi mengekalkan jawatannya.

Sebagai pemimpin muda yang dilihat berwibawa dan mampu membantu Pas menyusun strategi, ahli-ahli Pas tidak mahu melepaskan peluang untuk meletakkan Nasharuddin di tempat sewajarnya.

Justeru mereka membuat keputusan menyahut seruan pucuk pimpinan supaya Hassan disingkirkan bersama-sama seorang lagi pencabar iaitu, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Penyertaan Hassan dan Abdul Halim kali ini dilihat lebih kepada prinsip, ``biar kalah dalam perjuangan, jangan kalah sebelum berjuang,'' itulah prinsip kedua-dua ulama ini yang dilihat oleh ahli-ahli Pas tidak akan berupaya membawa cabaran yang bakal dihadapi oleh Pas.

``Bagi saya kekalahan Hassan dan Abdul Halim tidak mengejutkan, sebaliknya sudah dijangka kerana ahli-ahli Pas memahami bahawa kalau mereka hendak melihat parti berubah, orang nombor dua perlu disandang oleh tokoh muda yang berwibawa seperti Nasharuddin,'' kata seorang pemimpin Pas Kelantan.

Keputusan itu juga sekali gus menunjukkan ketegasan ahli-ahli Pas untuk memastikan perubahan berlaku dan mereka tidak mahu lagi melihat ia sebagai satu retorik, justeru mereka menterjemah kemahuan mereka melalui pengundian dengan menyuntik darah muda.

``Ini barulah perubahan, kita telah buktikan bahawa kita bukannya beretorik dalam soal ini. Kami bersyukur kerana para perwakilan menerima isyarat yang diberikan oleh pucuk pimpinan bahawa kita perlu mewujudkan kepimpinan yang berwibawa,'' kata seorang wakil rakyat Pas.

Walaupun Nasharuddin juga dari kelompok ulama namun berbanding Hassan, beliau dilihat lebih berfikiran terbuka dan mampu mengimbang imej Pas supaya tidak begitu `ulama'.

Sebenarnya, kemenangan Nasharuddin sudah menjadi sebutan sebaik-baik sahaja beliau mengumumkan keputusan untuk bertanding. Ini kerana pucuk pimpinan termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak awal-awal lagi memberi isyarat bahawa Hassan Shukri perlu disingkirkan dari kerusi timbalan presiden berikutan prestasinya.

Walaupun pada mulanya harapan diletakkan ke atas Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din untuk melaksanakan misi itu, namun beliau menarik diri dan ini meresahkan kepimpinan Pas untuk mencari pengganti beliau bagi mencabar Hassan.

Berikutan itu dengan `restu kepimpinan kanan' Nasharuddin menawarkan diri dan ia diikuti oleh Abdul Halim. Bagaimanapun kehadiran Abdul Halim masih belum mencukupi untuk menggugat Nasharuddin biarpun dari segi pengalaman Abdul Halim mempunyai kelebihan.

``Pas tidak akan berubah kalau muka lama terus dikekalkan, sebab itulah dalam memutuskan siapa yang paling layak, kami tidak melihat Hassan dan Abdul Halim perlu diberi tempat, begitu juga dengan Azizan bagi naib presiden.

``Kami yakin Nasharuddin mampu melunaskan tanggungjawab sebagai timbalan presiden dan mampu mewujudkan gandingan mantap dengan Abdul Hadi,'' katanya.

Kekalahan Hassan dilihat isyarat kepada Dewan Ulama bahawa suara mereka sudah tidak lagi dominan dan tidak ada restu mereka kepada ulama itu secara terbuka menyebabkan beliau gagal mencatatkan kejayaan.

Begitu juga sokongan yang dikatakan diberikan oleh Dewan Pemuda, ia juga tidak mencukupi untuk membantu Hassan, biarpun banyak isu yang dibangkitkan oleh Pemuda termasuk mengenai kelemahan Pas dianggap suara Hassan.

``Kita menghargai kesetiaan Hassan tetapi perubahan yang kita lakukan ini adalah demi untuk kebaikan Pas dan bukannya hendak menyingkirkan sesiapa. Bagi kita apa gunanya setia kepada parti kalau kita terus kalah dalam pilihan raya. Biarlah kesetiaan itu diterjemahkan melalui usaha kita memenangkan parti,'' kata seorang pemimpin Pemuda Pas.

Hasrat Abdul Hadi dan Nik Aziz untuk melihat perubahan berlaku dalam jawatan naib presiden juga turut menjadi kenyataan walaupun calon idaman Nik Aziz, Dr. Siti Mariah Mahmud gagal mencatatkan sejarah sebagai wanita pertama dalam Pas menjadi naib presiden.

Kekalahan Dr. Siti Mariah sekali lagi membuktikan kata-kata pemimpin sebelum ini bahawa masih belum masanya untuk wanita menduduki jawatan tinggi itu dan pencalonan Dr. Siti Mariah hanyalah satu gimik politik.

Ia sekali gus membuktikan walaupun Abdul Hadi dan Nik Aziz ingin memberi ruang yang lebih besar kepada kaum wanita namun seperti mana kata Dr. Siti Mariah beberapa jam sebelum keputusan diumumkan, ``ahli bawah mungkin merasakan belum masanya untuk memberi ruang kepada Muslimat menjadi naib presiden.''

Abdul Hadi memberi sokongan kepada Dr. Siti Mariah kerana mereka memahami realiti politik Malaysia bahawa parti itu memerlukan sokongan golongan berkenaan untuk mencapai kejayaan.

Apa pun, kemunculan semula Mohamad Sabu memenangi jawatan Naib Presiden bersama Husam Musa dan Datuk Dr. Hassan Ali - dianggap satu kejutan memandangkan sebelum ini beliau tidak begitu dilihat sebagai `pentadbir' sebaliknya penceramah.

``Saya sendiri tidak faham kenapa perwakilan memilih Mohamad Sabu tetapi apa yang saya tahu, beliau sentiasa bekerja kuat untuk parti,'' kata seorang pemimpin Pas Kelantan sebaik sahaja keputusan diumumkan.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Pas berpendapat, kemenangan Mohamad Sabu kerana perwakilan tidak banyak pilihan dan beliau dilihat sebagai pengganti penyandang jawatan, Azizan Abdul Razak juga dari utara.

``Mereka tidak mahu Azizan dan mereka tidak bersedia mengundi Dr. Siti Mariah, oleh itu mereka mempunyai pilihan sama ada Mohamad Sabu atau Mahfuz. Dan ternyata pilihan mereka Mohamad Sabu kerana beliau dilihat agak popular dalam Pas. Tambahan pula, ini adalah percubaan ketiga beliau bertanding jawatan tersebut,'' kata seorang lagi pemimpin Pas.

Kegagalan Azizan mempertahankan kedudukannya sebagai naib presiden sudah dijangka memandangkan beliau dilihat `sekapal' dengan Hassan Shukri. Maknanya jika Hassan ditolak oleh perwakilan maka Azizan pun akan turut sama.

Dan ia menjadi kenyataan, Azizan tewas manakala seorang lagi penyandang Dr. Hassan Ali `diberi peluang terakhir' untuk membuktikan kewibawaan apabila dikekalkan untuk jawatan itu.

Tindakan Azizan yang merestui Badan Perhubungan Pas Kedah untuk mengemukakan usul menghalang wartawan daripada membuat liputan muktamar dilihat oleh perwakilan sebagai tindakan yang melambangkan `pemikiran yang tidak terbuka'.

Kemasukan Husam Musa pula dianggap keputusan tepat perwakilan yang melihat bahawa Husam dan Nasharuddin bakal menjadi gandingan kepimpinan masa depan Pas. Kedua-dua mereka masih muda, berpelajaran tinggi, berfikiran strategis dan berwibawa.

``Mereka berdua adalah pemimpin masa depan Pas sebab itulah perwakilan seolah-olah meletakkan Nasharuddin dan Husam dalam `satu pakej'. Kalau mereka mengundi Nasharuddin mereka akan memilih Husam,'' kata seorang perwakilan dari utara.

Apa pun keputusan yang dibuat telah membuktikan bahawa ahli-ahli Pas kini benar-benar bertekad untuk berubah dan mereka ingin memastikan kata-kata seorang pemimpin Pas bahawa sekarang adalah masa untuk `anak memanjat kelapa, setelah ibu bapa mereka menanamnya.

Begitulah juga Pas, mereka selama-lama tidak boleh bergantung kepada golongan tua untuk meneruskan perjuangan parti tersebut, justeru barisan pelapis yang terdiri daripada golongan muda diketengahkan dan mereka ini disambut dengan `permaidani merah' dalam pemilihan kali ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home