Sunday, February 05, 2006

Berita Dari Kampungku : Kerajaan Negeri Salur 20 Juta Setahun Kepada SRA

JASIN, 4 Feb : Ibu bapa disaran supaya memainkan peranan penting dalam mendidik dan membentuk akhlak anak-anak mereka supaya menjadi insan yang berguna pada masa hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dengan anak-anak dan justeru itu mereka lebih mudah untuk menerima teguran daripada ibu bapa masing-masing.
Katanya, guru-guru juga tidak ketinggalan dalam membantu membentuk sahsiah pelajar supaya mereka juga akan menjadi insan yang berguna kelak.
"Ibu bapa dan guru-guru perlu sentiasa berganding bahu membentuk sahsiah pelajar dan diharap pendekatan yang diambil dapat diterima kerana tanpa kerelaan daripada pelajar terbabit maka mereka sukar untuk dibentuk," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam (JAIM) Sempang Kerayong, di sini petang tadi (semalam).
Tambahnya, sekolah merupakan tempat untuk pelajar menyemai perilaku yang mulia sebagai persiapan menempuh pelbagai cabaran dan onak duri di kemudian hari.
Mohd Ali berkata, kewujudan Sekolah Rendah Agama (SRA) terutamanya di negeri ini dilihat sebagai satu usaha menyemai perilaku pelajar berlandaskan ajaran Islam yang menjadi asas kepada kehidupan, selaras dengan usaha kerajaan untuk menerapkan Islam Hadhari dalam kehidupan.
"Kewujudan SRA adalah untuk membantu para pelajar mendalami pengajaran Islam dengan lebih jelas biarpun pembelajaran agama Islam turut diadakan di sekolah biasa dan ini merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk mengembangkan Islam di negeri ini khususnya di kalangan pelajar sekolah," ujarnya.
Menurut beliau lagi, tugas guru turut akan turut bertambah untuk melahirkan generasi yang mempunyai pendidikan bukan sekadar di peringkat duniawi sahaja malahan menjagkaui ilmu akhirat.
Selain itu katanya, kerajaan negeri turut menyokong sepenuhnya usaha yang dimainkan oleh JAIM di mana kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada SRA sebanyak RM20 juta setahun bagi perkembangan dan kemajuan SRA ini dan akan sentiasa menyalurkan bantuan dari semasa ke semasa sekiranya diperlukan.
Pada majlis ini juga, seramai 14 orang pelajar cemerlang bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim pada tahun lalu telah menerima cenderahati yang telah disampaikan oleh Mohd Ali.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Perpaduan negeri, Datuk Ramlah Abas, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Wira Ahmad Hamzah, Ahli Parlimen Jasin, Mohd Said Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Merlimau, Mohamad Hidhir Abu Hassan, ADUN kawasan Sungai Rambai, Datuk Abu Pit, Pengarah JAIM, Md. Yasir Mastakim dan Penasihat LEKAS SRA JAIM Simpang Kerayong, Hasnor Abdul Wahab.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home