Friday, January 20, 2006

Sembilan Pengerusi JKKK Muka Baru Dilantik

BANDARAYA MELAKA, 19 Jan : Kerajaan Negeri Melaka hari ini telah menampilkan seramai 9 daripada 12 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang baru dilantik untuk menggantikan Pengerusi yang terdahulu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Md Yunos Husin berkata, perlantikkan ini adalah keputusan sebulat suara semasa Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan di kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka di Seri Bendahara, malam tadi.
Beliau berkata, antara muka baru Pengerusi yang dilantik adalah JKKK RIM, Hamzah Jalaini , JKKK Sempang Kerayong, Abd Wahab Sahid, JKKK Felda Kemendor, Lip Aman, JKKK Parit Keliling, Tan Chen Yia Fei @ Tan Ah Kau, JKKK Kemuning Alor Gajah, Mat Tob Awaluddin, JKKK Pondok Kempas Hilir Jasin, Borhan Hasan, JKKK Jasin Hilir, Rahim Mohd Yasin, JKKK Bukit Senggeh Barat, Abu Amin Mamat dan JKKK Kubu, Abd Rahim Alimat.
"Perlantikkan ini dibuat berdasarkan kegagalan JKKK mengemukakan profil kampung kepada kerajaan negeri dan terpaksa melakukan rombakan besar-besaran bagi menyahut hasrat kerajaan negeri sekaligus memastikan segala yang dirancang tercapai menjelang Melaka Maju 2010," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan nama-nama muka baru Pengerusi JKKK di sini, hari ini.
Sementara itu, Md Yunos berkata, hasil siasatan yang dilakukan terhadap tiga lagi Pengerusi lama mendapati mereka telah menghantar profil JKKK kepada Pejabat Daerah mengikut daerah serta Unit Pembangunan Desa (UPD) sebelum 31 Disember yang lalu adalah JKKK Baroh, Mohammad Jantan, JKKK Kampung Pengkalan Rama Tengah, Zaini Ismail dan JKKK Kampung Kelubi, Muhamad Wahab.
Menurutnya, berikutan daripada siasatan yang dijalankan kerajaan negeri melalui Mesyuarat Exco telah sebulat suara menangguhkan pemecatan mereka malah boleh meneruskan usaha mereka untuk membantu kerajaan negeri memajukan negeri selaras usaha dan dasar kerajaan. Md Yunos berkata, Pengerusi JKKK yang dipecat bukan tidak menjalankan tugas tetapi kerajaan negeri ingin memantapkan lagi usaha ke arah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa akan datang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home