Tuesday, January 17, 2006

Pemilihan JKKK Dijangka Diketahui Rabu Ini

(petikan akhbar Melaka Hari ini)
SEMPANG KERAYONG,16 Jan : Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sempang Kerayong bersedia menerima sebarang keputusan mengenai perlantikan Jawatankuasa JKKK baru yang dijangka akan diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Rabu ini.
Jaafar Abdul Rahman, 43, yang memegang jawatan Setiausaha JKKK Sempang Kerayong sejak 2003 berkata, beliau bersedia menerima sebarang keputusan daripada Pengerusi JKKK baru yang akan dilantik itu nanti sama ada mengekalkan beliau atau sebaliknya.
Menurut Jaafar, beliau akan menerima sebarang keputusan dengan hati yang terbuka dan bersedia untuk melepaskan jawatan tersebut sekiranya diminta oleh Pengerusi JKKK yang baru kelak.
“Saya bersedia untuk menerima sebarang keputusan yang akan diumumkan oleh Pengerusi JKKK yang baru nanti sama ada mengekalkan atau memilih setiausaha yang baru selepas pengumuman pengerusi baru dibuat oleh Mohd Ali pada Rabu ini,” katanya.
Menurut Jaafar yang juga Setiausaha Umno Cawangan Kampung Sempang Kerayong dan Pengerusi SRA Jaim kampung itu, beliau juga bersedia untuk terus memberikan kerjasama sekiranya diperlukan oleh JKKK.
“Sekiranya saya tidak menduduki sebarang jawatan dalam barisan jawatankuasa JKKK ini, saya tetap bersedia untuk memberi sumbangan sekiranya khidmat saya masih diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Rim, Datuk Ramlah Abas berkata beliau berharap Pengerusi JKKK baru yang akan dilantik nanti akan dapat memilih senarai jawatankuasa yang mantap dan bersedia untuk membantu kerajaan membangunkan taraf kehidupan masyarakat kampung.
Menurutnya, beliau amat menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh Jaafar serta Pengerusi dan Setiausaha JKKK yang lain kerana mereka telah terbukti mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cemerlang.
“Saya berharap Pengerusi JKKK di DUN Rim yang akan dilantik nanti akan dapat memilih barisan jawatankuasa yang benar-benar boleh memberikan khidmat kepada masyarakat demi meningkatkan taraf kehidupan rakyat khususnya di DUN Rim ini,” katanya.
Pemecatan 12 Pengerusi JKKK di negeri ini oleh Mohd Ali baru-baru ini berikutan mereka gagal menyerahkan profil kawasan JKKK masing-masing membuatkan beberapa setiausaha dari kalangan JKKK terbabit turut bersedia untuk menerima sebarang keputusan yang akan diumumkan kelak.
*** Sebelum dapat jadi pemimpin macam-macam janji yang dibuat. Namun setelah dilantik, lain pula jadinya. Orang seperti ini tidak sewajarnya menjadi pemimpin.***

0 Comments:

Post a Comment

<< Home