Negara memerlukan masyarakat usahawan Melayu
SELAMAT Tahun Baru 2006. Setiap kali menyambut tahun baru, sudah menjadi kelaziman kita menilai semula pencapaian mereka setahun lalu. Pada masa sama, kebanyakan kita juga membuat pelbagai azam dan rancangan untuk dicapai sepanjang tahun baru nanti.
Peredaran masa memperlihatkan perubahan demi perubahan berlaku dalam banyak perkara. Naluri manusia sentiasa inginkan pembaharuan dan kemajuan dengan matlamat memperbaiki kehidupan diri dan masyarakat. Ini mendorong daya kreatif menghasilkan perkara baru.
Manusia wujud sejak ribuan tahun dan melalui pelbagai zaman. Cara hidup berubah dari semasa ke semasa. Pastinya, cara hidup hari ini berbeza dengan cara hidup terdahulu. Manusia akan terus berusaha mempermudahkan cara hidup mereka.
Melalui peredaran masa, kita saksikan bagaimana bangsa dan negara tertentu menjadi maju dan mempengaruhi dunia. Kita juga dapat melihat betapa ada bangsa dan negara yang pernah kuat dan berpengaruh sudah hilang kekuatan dan pengaruh mereka.
Kemajuan dan kegemilangan sesuatu bangsa atau negara sebenarnya bergantung kuat kepada usaha bangsa dan rakyat negara itu sendiri. Sesuatu bangsa menjadi kuat dan maju apabila mampu membina budaya dan nilai baik di kalangan mereka.
Negara kita masih dalam usaha mencari kecemerlangan dan kegemilangan supaya dapat menjadi bangsa dan negara terbilang. Untuk mencapai wawasan menjadi negara maju, kita sebagai rakyat perlu melipatgandakan usaha menjadi modal insan yang cekap dan berkesan.
Kita perlu membina kekuatan dan kemampuan untuk berjaya dan maju supaya tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dunia. Lawan kepada kemajuan ialah kemunduran. Kita perlu maju supaya tidak tergolong sebagai negara mundur yang miskin dan penuh masalah.
Negara sudah banyak mengalami perubahan, terutamanya sejak dua dekad lalu. Banyak kemajuan membanggakan berkaitan ekonomi dicapai. Statistik menunjukkan ekonomi negara terus tumbuh dan berkembang. Laporan ekonomi terbaru untuk suku tahun ketiga 2005 mengesahkan ekonomi negara berkembang lebih baik daripada jangkaan.
Di kalangan anggota Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), kita dianggap antara negara maju dan berjaya. Banyak negara membangun dalam NAM ingin mencontohi cara kita mengurus ekonomi. Di kalangan negara Islam pula, kita dibanggakan sebagai negara Islam progresif yang boleh menunjuk jalan kepada negara Islam lain.
Kemajuan negara sehingga kini dengan kedudukan dihormati di kalangan negara membangun tentu membanggakan. Tetapi, kita tidak boleh berpuashati dan berpeluk tubuh. Dunia sedang melalui proses globalisasi yang mana sempadan negara bukan lagi halangan kepada semua urus niaga. Persaingan semakin hebat menjadikan kecekapan dan produktiviti amat penting.
Dalam kegembiraan melihat pencapaian ekonomi negara, masyarakat Bumiputera, khususnya orang Melayu perlu juga menganalisis sejauh mana pembabitan dan sumbangan mereka dalam setiap kemajuan, pencapaian dan statistik yang diumumkan.
Kita tidak mahu keadaan yang mana orang Melayu turut bersorak tanpa menyedari kampung sudah tergadai. Apabila negara jadi cemerlang, gemilang dan terbilang, biarlah orang Melayu dan Bumiputera lain juga sebahagian besar daripada kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan itu.
Usahawan Melayu khususnya, perlu sedar bahawa secara keseluruhan mereka masih dalam keadaan lemah. Bilangan usahawan Melayu yang cemerlang dan terbilang masih terlalu kecil. Pegangan usahawan Melayu dalam kemewahan ekonomi negara masih sedikit dan tidak setanding dengan jumlah mereka sebagai majoriti penduduk.
Sama ada usahawan Melayu dapat bertahan dalam senario ekonomi negara dan dunia sangat bergantung kepada bagaimana mereka menangani suasana kemajuan dunia hari ini. Masih banyak sektor perniagaan dalam negara sendiri sukar ditembusi orang Melayu. Jadi bagaimana hendak menembusi kegiatan ekonomi antarabangsa?
Usahawan Melayu perlu sedar bahawa dunia perniagaan banyak berubah dan akan terus berubah. Proses globalisasi tidak dapat dibendung. Kita tiada pilihan melainkan ikut sama beroperasi dengan kaedah menepati suasana dunia tanpa sempadan.
Ciri penting dalam era globalisasi ialah kemampuan berhubung dengan pantas hasil kemajuan pesat industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kemajuan ICT pula membantu memajukan pelbagai teknologi lain, sekali gus meningkatkan kecekapan mengurus maklumat, menjimat masa operasi dan kos serta menambah produktiviti.
Hampir semua negara kini mengutamakan isu ekonomi dan sedia bekerjasama untuk tujuan ekonomi walaupun berbeza fahaman politik. Ini mempercepatkan serta meluaskan proses globalisasi dan meningkatkan persaingan dalam dunia perniagaan.
Kewujudan berterusan usahawan Melayu dalam senario ekonomi negara sangat penting untuk kesejahteraan negara. Tetapi kewujudan ini tidak dapat dijamin jika usahawan Melayu gagal mempertingkatkan kemampuan menyesuaikan diri dengan perubahan bagi membina kelebihan bersaing.
Kunci kepada semua kemajuan ialah ilmu pengetahuan yang diamalkan. Kita tidak dapat bersaing tanpa ilmu pengetahuan. Apabila sudah ada ilmu, kita dapat mencuba sesuatu dan ini memberi kita pengalaman yang diperlukan untuk menambah daya saing dan daya maju.
Usaha mencari ilmu adalah berterusan. Usahawan Melayu mesti berusaha menguasai semua cabang ilmu supaya dapat kekal bersaing. Orang Melayu juga perlu bersedia berkongsi ilmu dan pengalaman untuk kebaikan bersama.
Langkah pertama untuk memajukan diri dan masyarakat ialah kesediaan mengakui kelemahan sendiri. Usahawan Melayu perlu ikhlas mengakui setiap kelemahan dan berusaha memperbaikinya. Ramai orang mampu mengatasi kelemahan peribadi tetapi tidak berusaha mengatasi kelemahan sebagai satu masyarakat.
Ketahanan masyarakat Melayu dalam kegiatan ekonomi akan terjejas jika tiada kesediaan untuk bekerjasama dan bergerak sebagai satu masyarakat. Semua bangsa maju dan kuat mampu berbuat demikian kerana mereka saling membantu dan sedar pentingnya kejayaan sebagai satu bangsa dan bukan secara individu.
Segelintir usahawan Melayu yang sudah cemerlang, gemilang dan terbilang wajib membantu usahawan sebangsa untuk melahirkan masyarakat perdagangan Melayu berkesan dan berjaya. Kita perlukan kewujudan usahawan Melayu sebagai satu masyarakat, bukan sekadar beberapa kerat individu.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home