Thursday, December 01, 2005

Kehebatan Manusia

Khutbah Jumaat....

SETINGGI - tinggi syukur "Alhamdulilah" kita lafazkan ke hadrat Allah S.W.T yang telah mengurniakan kepada kita dengan kelapangan, kesihatan yang sempurna,rezeki yang mewah, iman dan takwa serta hidup yang berkekalan.
Oleh kerana itu,marilah kita terus berbakti kepada Allah dengan melipat gandakan lagi taat setia kita kepadaNya, serta menjauhkan segala perkara yang dilarangNya, demi kebesaran dan keagunganNya yang tidak boleh dinafikan.
Kita semua wajib bersyukur kepada Allah, kerana kita telah diciptakan sebagai seorang manusia.
Keturunan Nabi Adam Alaihi Salam yang berasal dari tanah. Dimuliakan oleh Allah daripada makhluk-makhluk yang lain sehingga para malaikat diperintahkan supaya sujud kepada Adam Alaihi Salam kerana memuliakannya.
Allah berfirman di dalam surah Al-Israk ayat 70 yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kami telah muliakan anak-anak Adam, dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan kami memberikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik-baik serta kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah kami ciptakan".
Allah telah kurniakan kelebihan kepada anak Adam itu dengan berbagai kelebihan, diantaranya yang nyata ialah:
1. Bentuk badannya yang elok dan tersusun rapi.
2. Pandai berkata-kata dan berfikir serta mereka cipta dan membangun diri dan masyarakatnya.
3. Boleh menguasai makhluk Allah dari sekecil-kecil kuman sehingga sebesar-besar gunung
4. Boleh menguasai alam dengan ilmu dan kepakarannya.
5. Boleh mencipta kenderaan sebagai pengangkutan mereka di lautan dan di daratan juga di udara.
6. Boleh bergerak kemana-mana sahaja yang mereka suka di muka bumi ini.
7. Diberikan rezeki di lautan dan di daratan dengan mewahnya.
8. Ditinggikan darjah kedudukanya di dunia dan di akhirat lebih daripada makhluk-makhluk yang lain.
Kelapan-lapan kelebihan yang di sebut tadi wajib kita jaga dan kita syukuri dengan terus mengabdikan diri kepada Allah S.W.T dan menggunakanya untuk kebahagian kita di dunia dan di akhirat. Jangan sekali-kali kita derhaka kepada Allah, dengan melupakan dan mengabaikan segala kebaikan Allah yang telah di kurniakan kepada kita selama ini.
Pernahkah kita berfikir? Pernahkah Kita selidik diri kita selama ini? Bahawa Allah telah berikan kepada kita 7 keistimewaan itu ialah:
1. Kita diberikan roh dan didalam roh itu ada keindahanya.
2. Kita diberikan lidah dan didalam lidah ada kemanisan.
3. Kita di berikan wajah dan didalam wajah ada kejelitaan dan pengenalan.
4. Kita di berikan mata dan di dalam mata ada cahaya yang terang.
5. Kita diberikan kepala dan di dalam kepala itu ada akal yang bernas.
6. Kita diberikan hati dan didalam hati ada kelembutan.
7. Kita diberikan nafsu dan didalam nafsu itu ada dorongan yang boleh jadi daya penggerak.
Sesungguh amat hebat kejadian manusia itu,tetapi kadang-kadang manusia itu tidak tahu menilai kehebatan dirinya sendiri. Sehingga hidupnya tidak berfungsi dan hambar begitu sahaja.
Oleh kerana hebatnya kejadian manusia itu maka layaklah dia dipilih oleh Allah menjadi khalifah atau penguasa dialam yang luas ini. Walaupun para malaikat pada mulanya tidak setuju dengan cadangan Allah S.W.T kerana mereka tidak tahu hati budi manusia yang sebenar.
Yang kenal ialah Allah S.W.T yang telah menciptakanya,Allah telah menegur sikap para malaikat itu dengan firman yang bermaksud: "Sesungguhnya Aku lebih tahu daripada apa yang kamu tidak tahu"
Mengapa manusia di beri tugas menguasai alam sebagai Khalifah? Jawapannya sudah terang iaitu manusia adalah makhluk yang hebat.Kehebatanya berdasarkan dirinya yang mempunyai kelebihan-kelebihan yang telah disediakan oleh Allah sebagai Khalifah selain 8 perkara yang di sebutkan awal-awal tadi.
Kelebihan-kelebihan yang baru sebagai persedian menjadi khalifah dialam ini ialah:
1. Manusia diberikan peluang menguasai ilmu dengan seluas-luasnya dan secukup-cukupnya.
2. Manusia diberikan kesanggupan untuk memikul tanggungjawab dan menghadapi apa jua cabaran untuk menjalankan perintah Allah dan beribadah kepadaNya.
3. Manusia diberikan kebebasan boleh bergerak didalam dunia dimana mereka berada seolah-olah muka bumi itu berada dibawah tapak kakinya.
Untuk merealisasikan kehebatan manusia dalam dirinya maka mereka perlu berbuat 3 perkara:
1. Penuhkan dada dengan ilmu dan kepakaran dalam berbagai bidang yang termoden.
2. Sanggup terima segala cabaran yang mendatang dengan waspada dan berdisiplin.
3. Berusaha untuk mengubah nasib diri demi kejayaan dan kecemerlangan.
Tidak ada erti kemerdekaan sesebuah negara yang merdeka jika manusia yang hidup dalam negara itu tidak hebat dan tidak berfungsi. Tidak ada siapa yang yang boleh menjadikan diri kita hebat dan berfungsi melainkan kita sendiri yang berusaha mengukir dan merintis jalannya.
Kepada Allah kita berdoa semoga kehebatan kita sebagai seorang manusia tidak akan tergugat disebabkan oleh kejahilan dan kelalaian kita sendiri. Sehingga kehebatan itu, hilang dan status sebagai manusia yang mulia, berani dan hebat jatuh tersungkur menjadi manusia yang paling hina menjadi manusia penagih dadah, menjadi pembawa virus aids, menjadi manusia yang muflis dan menjadi hamba dalam negara sendiri yang merdeka dan yang lebih hina lagi ialah menjadi manusia yang sudah tidak ada lagi harga diri.
Kembalilah dan hayatilah firman Allah S.W.T surah At-Tin ayat 4 hingga 6 bermaksud: "Sesungguhnya kami telah jadikan manusia itu sebagai satu kejadian yang paling indah dan rapi.
Tetapi kami boleh ubah dan jatuhkan kedudukan itu keparas yang paling rendah sekali, kecuali mereka yang beriman kepada Allah dan melakukan amal, yang baik dan membina.
Bagi mereka yang berbuat demikian itu dijanjikan dengan balasan pahala yang tidak terkira"

0 Comments:

Post a Comment

<< Home