Thursday, November 10, 2005

Jangan Biarkan Melayu Kecundang

Wawasan 2020 kini bukan lagi satu wawasan sahaja tetapi satu kemestian dan tuntutan akhir orang Melayu satu agenda yang perlu diperjuangkan habis-habisan. Bahkan ia satu matlamat yang perlu direalisasikan oleh orang Melayu sendiri. Ini kerana ia merupakan kemuncak kepada perjuangan orang Melayu selepas Malayan Union dan perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
Namun, kecundang atau tidak Melayu dalam perjuangan sengit ini bergantung kepada sejauh mana kita mencorakkan senario politik, ekonomi dan sosial dan budaya kita menjelang 2020. Apakah senario dan permasalahan kita kini dan akan datang?
Pertamanya senario politik akan semakin matang kerana suasana sihat yang wujud akibat fahaman ideologi yang walaupun berbalah, namun saling membantu serta didorongi oleh rasa kekitaan yang kental lagi berterusan.
Ketika itu, masyarakat Melayu sepatutnya bersatu padu dan sekali gus bermoral tinggi, progresif, dinamis dan bersifat saintifik. Kita kini perlu berusaha melalui politik untuk membina negara dan nusa bangsa bukan kerana dorongan sifat mementingkan diri sendiri dan hawa nafsu yang buas.
Kita tidak ada masa untuk berpolitik cara sempit. Bahkan, politik pembangunan mendasari setiap tingkah laku dan tindak-tanduk kita. Politik memecah belah dan mencari populariti perlu dikesampingkan jika wawasan glokal hendak diutarakan.
Rakyat akan semakin berpendidikan tinggi dan harapan mereka semakin nyata untuk terus menikmati erti kekayaan negara. Mereka melihat politik bukan untuk sekumpulan pihak bahkan untuk masyarakat sejagat. Justeru, tuntutan akan bertambah dan harapan menggunung sekali.
Mereka memerlukan kedamaian yang berterusan tanpa sebarang hambatan manusia mahupun alam semula jadi. Kedamaian abadi yang akan dicari.
Keduanya ialah senario ekonomi yang menuntut keadilan ekonomi yang berterusan kerana pengagihan kekayaan negara masih tempang dan berat sebelah. Pada 2005, hanya 11.6 peratus bangunan komersial dimiliki oleh orang Melayu manakala hanya 31 peratus golongan profesional Melayu yang berdaftar.
Keusahawanan Melayu pula masih jauh untuk berkecimpung dalam bidang yang berteknologi tinggi mahupun mengguna modal intelek yang tinggi. Status k-ekonomi orang Melayu amat lemah berbanding dengan kaum lain. Sehinggakan rata-rata orang Melayu ketinggalan jauh dalam ilmu pelajaran tinggi, bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta bidang perkhidmatan dan pengeluaran.
Nyata sekali orang Melayu perlu tongkat dan semangat keusahawanan yang tinggi supaya kekayaan negara dikongsi bersama dan diagih seadil-adilnya. Keadilan ekonomi ini akan menjamin survival Melayu dan kesejahteraan negara maju menjelang Wawasan 2020.
Kita ingin pada ketika itu, orang Melayu semakin berjiwa besar kerana adanya modal insan dan modal intelek yang tinggi. Kita mahu ketika itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dipimpin oleh orang Melayu yang patriotik lagi berpijak di bumi nyata.
Wawasan 2020 akan berjaya selagi masalah sosial dapat ditangani dengan bijak. Pokok pangkalnya modal insan dan k-ekonomi yang kuat menerusi program memperkasakan masyarakat perdagangan Melayu yang hebat sambil memastikan segala peluang dan semangat juang yang positif dapat dipelihara dengan sempurna.
Orang Melayu akan kurang berkhayal dengan budaya hedonisme dan mempunyai semangat juang yang rendah jika pemimpin dan media kita dapat memainkan peranan sebagai pemangkin dan pembina nusa, akal budi dan sekali gus dapat memerdekakan jiwa mereka ke arah lonjakan yang lebih membina.
Justeru, media dan segala institusi pendidikan perlu sepakat dalam konteks berjihad untuk bersama-sama merekayasakan dan memperkasakan minda, pendidikan dan perekonomian orang Melayu.
Maka, saya harap Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada tahun hadapan akan memercukan pencapaian Melayu dan sekali gus memartabatkan Agenda Nasional Baru (ANB) agar kegemilangan, kecemerlangan kita kian terjamin. Jika tidak, kita akan pasti kecundang!

- Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff, Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home