Sunday, September 25, 2005

Al-Quran Beri Ilham Cipta Telefon Video

Oleh Meor Hisham Zulkifli
Pada 1770 bermula detik menarik apabila Luigi Galvani mula mengkaji mengenai kesan dan sifat elektrofisiologi serta mula membuat ujian dengan stimulasi otot menggunakan elektrik.
Pada 1876 pula, Alexander Graham Bell, berjaya menghasilkan telefon dan pada 1979, rangkaian telefon bimbit pertama dibuka untuk komersial di Jepun. Berkat dedikasi, dunia kini dapat menyaksikan perkembangan telefon bimbit generasi terbaru yang aplikasi utamanya membolehkan panggilan video dibuat. Meskipun konsep telefon bergambar mula dikaji pada tahun 1960-an, hanya lewat tahun 1990-an ia mula terkenal di seluruh dunia lebih-lebih lagi dengan pengenalan sistem 2.75G dan 3G. 3G atau kependekan daripada teknologi telefon bimbit atau selular generasi ketiga mempunyai kemampuan memindah data suara (panggilan telefon) dan data bukan suara (seperti memindah turun maklumat, bertukar e-mail serta mesej segera). Tetapi apa yang paling penting adalah, kemudahan telefon video yang dianggap menjadi kekuatan aspek pemasaran 3G. Keadaan ini mencetuskan spektrum baru di seluruh dunia dengan banyak syarikat terutama berlumba-lumba mendapatkan lesen untuk menyediakan perkhidmatan ini. Bagaimanapun, yang lebih terkehadapan dalam teknologi ini adalah Jepun dan Korea Selatan. Jepun menjadi negara pertama yang menawarkan 3G dalam skala komersil besar. Pada tahun ini, 40 peratus pelanggan perkhidmatan mudah alih, menggunakan rangkaian 3G di Jepun dan sistem telefon bimbit 2G, kini sudah dianggap lapuk di negara itu. Dijangkakan peralihan sepenuhnya sistem 2G kepada 3G di Jepun akan disempurnakan pada tahun depan. Perkembangan pesat ini juga menyaksikan Jepun sudah meneroka ke arah pembangunan 3.5G manakala China pula mahu menghasilkan sistem yang lebih berdaya maju dan canggih yang dikenali sebagai 4G. Bagaimanapun, bagi beberapa pengendali telefon selular dunia yang masih enggan beralih ke era 3G yang dianggap mahal, mereka mempunyai pilihan lain iaitu sistem EDGE atau teknologi generasi 2.75 seperti yang digunakan pakai oleh pengendali rangkaian telefon mudah alih Malaysia, DiGi.Com. Bhd. Menerusi teknologi EDGE atau Enhance Data Rates for GSM, pengguna boleh menyaksikan televisyen menggunakan telefon selular dan panggilan video. Mengapa teknologi 2.75G atau 3G. Dengan kemudahan ini pengguna telefon kini dapat berhubung serta melihat wajah pemanggil selain memindah turun segala bentuk data dengan lebih pantas. Jika dulu suara menerusi telefon dianggap pengubat rindu dua insan yang berjauhan, kini dengan adanya teknologi berkenaan, pengguna mampu melepas rindu dengan lebih puas apabila turut dapat menatap wajah pemanggil. Masyarakat sebenarnya sudah lama ternanti-nantikan teknologi ini, hasil daripada kepintaran industri perfileman beberapa dekad lalu. Dalam banyak filem fiksyen sains sebelum ini, telefon video dipaparkan sebagai kaedah tunggal komunikasi pada masa depan. Sebagai contohnya adalah siri telefon video yang disiarkan dalam rancangan Pee-wee Playhouse. Rancangan ini adalah program televisyen kanak-kanak popular yang disiarkan CBS di Amerika Syarikat yang ke udara dari tahun 1986 hingga 1991. Rancangan itu kembali ke udara antara 1998 hingga 1999 menerusi rangkaian televisyen keluarga Fox. Bagaimanapun kini, segala khayalan zaman dulu sudah disediakan untuk kegunaan pengguna dunia dan telefon 3G atau 2.75 G dianggap sebagai alat keperluan masyarakat zaman moden. Apa yang lebih menarik lagi mengenai aplikasi telefon video ini adalah kerana gambaran ini sudah pun dinyatakan oleh al-Quran lebih 1,400 tahun lalu ketika dunia pada zaman itu dianggap mundur dari aspek teknologi moden. Menerusi surah As-Shaaffaat ayat 51 hingga 57, al-Quran menjelaskan bagaimana konsep perbualan telefon sambil menonton atau apa yang dikenali sebagai panggilan video pada masa kini berfungsi. “Berkatalah salah seorang di antara mereka (penghuni syurga) `Sesungguhnya aku dulu (di dunia) mempunyai seorang teman, yang berkata ‘apakah kamu sungguh-sungguh termasuk dalam orang yang membenarkan (hari berbangkit)?. Apakah bila kita sudah mati dan kita menjadi tanah dan tulang belulang, apakah sesungguhnya kita benar-benar akan dibangkitkan untuk diberi pembalasan. Berkatalah pula dia, `mahukah kamu meninjau temanku itu?’. Maka dia meninjaunya lalu dia melihat teman-temannya itu di tengah-tengah neraka menyala-nyala. Dia berkata (kepada temannya yang ada di neraka), `Demi Allah, sesungguhnya kamu benar-benar hampir mencelakakanku’. Jikalau tidaklah kerana nikmat Tuhanku , pastilah aku termasuk orang-orang yang diseret (ke neraka).” Menerusi ayat ini, diperihalkan betapa orang yang berada di satu tempat, bukan saja dapat bercakap dengan rakannya di tempat jauh, tetapi melihat apa yang berlaku ke atas rakannya itu. Ayat ini ditampilkan bukanlah bermakna insan di akhirat mempunyai telefon seperti yang ada pada masa kini tetapi, seperti ayat al-Quran yang lain, ia memberikan idea kepada manusia yang berfikir bahawa dengan kepandaian akal, sesuatu yang dianggap ajaib sebelum ini, dapat direalisasikan. Ayat ini juga turut menerangkan mengenai konsep teknologi televisyen yang hanya diperoleh pada kurun ke-20. Melalui alat ini, manusia dapat mendengar suara dan objek atau istilahnya audiovisual walaupun objek itu terletak terlalu jauh. Dengan teknologi ini juga manusia dapat memantau sesuatu seperti teknologi CCTV yang banyak digunakan dalam sistem keselamatan. Selain itu, terdapat banyak lagi kisah dalam al-Quran yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad diperlihatkan serta berbual dengan orang yang sedang diazab di dalam neraka selain melihat gambaran syurga ketika isra’ dan mikraj. Kisah yang paling menarik adalah ketika Nabi Muhammad hampir wafat iaitu apabila beliau menarik anak perempuannya, Saidatina Fatimah rapat kepadanya. Riwayat itu menyatakan, Fatimah yang sedang berduka dengan keadaan kesihatan bapanya, kelihatan ceria selepas berbual dengan Rasulullah dan apabila ditanya oleh sahabat, Fatimah menceritakan bagaimana Rasulullah menunjukkan kepada beliau tempatnya di syurga selepas Fatimah wafat kelak. Dan juga, kisah Saidina Omar al-Khattab yang diriwayatkan melihat anggota tenteranya yang sedang dikepung musuh di medan pertempuran sedangkan baginda ketika itu sedang memberi khutbah di Madinah yang jarak antara kedua-dua tempat beribu-ribu batu jauhnya. Jika ketika itu ia dianggap sebagai satu keajaiban, kini dengan adanya teknologi 2.75G, 3G atau siaran langsung televisyen, keajaiban ini dapat difahami dengan mudah. Dan inilah yang diperkatakan bahawa al-Quran dan Sunnah Nabi sentiasa memberi gambaran dan petunjuk kepada manusia terutama golongan yang mahu menjadikannya sebagai panduan untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home