Friday, September 30, 2005

Bajet 2006 : Sepintas Lalu

1 LEBIHAN PERUNTUKAN KERAJAAN UNTUK PERTUMBUHAN: RM136.8 bln diperuntukkan bagi Bajet 2006, naik 5 peratus.
2. Daripada jumlah ini, RM101.3 bln adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM35.5 bln bagi perbelanjaan pembangunan;
3. Ekonomi dijangka berkembang 5.5 peratus pada 2006 berbanding 5.0 peratus tahun ini; Sektor pembinaan dijangka pulih pada kadar 3.0 peratus pada 2006 daripada -1.1 peratus tahun ini;
4. Defisit fiskal kerajaan dijangka berkurang kepada 3.5 peratus pada 2006 (2005: 3.8 peratus).
5. PERBELANJAAN PEMBANGUNAN: Jumlah terbesar diperuntukkan untuk sektor ekonomi (RM14.4 bln) terdiri daripada sektor-sektor pertanian, industri dan infrastruktur)
6. Sebanyak RM9.9 bln diperuntukan bagi pendidikan, kesihatan dan perumahan. Sektor keselamatan (RM5.6 bln) dan pentadbiran (6.3 bln);
7. PEMBANGUNAN LUAR BANDAR: RM5.7 bln bagi memperbaiki lagi ekonomi dan infrastruktur di luar bandar di mana RM2.7 bln adalah untuk pelaksanaan projek pertanian;
8. MEMESATKAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR: Jambatan kecil diperlukan segera akan dibina di setiap kawasan parlimen. Projek akan dilaksanakan oleh kontraktor kecil bumiputera;
9. MENGOPTIMUMKAN PENGGUNAAN INFRASTRUKTUR SEDIA ADA: RM1 bln dikhususkan untuk kontraktor Kelas F (tahun lepas RM500 juta);
10. MEMPERBAIKI LAGI SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM: Keutamaan untuk mengurangkan kerenah birokrasi. Mempercepatkan pengeluaran sub-waran sebelum hujung Mac setiap tahun;
11. "Flying Squad" Pejabat Tanah: Anggota akan ditambah sebanyak 600 orang dengan skop tugas diperluaskan;
12. 334 jawatan akan diwujudkan untuk menjayakan kerja di semua Pusat Sehenti PBT bagi mempercepatkan urusan pemprosesan lesen dan permit;
13. Prosedur pemberian visa kepada pekerja berpengetahuan dan golongan peniaga asing dipermudahkan memandangkan Malaysia berhasrat untuk menjadi hab serantau dalam sektor perkhidmatan dan industri berasaskan pengetahuan;
14. KWSP, Tabung Haji, LTAT, Perkeso, BSN dibenar menentukan skim perkhidmatan mereka bagi merancang dan mengurus tenaga kerjanya serta menambah produktiviti organisasi;
15. Urusan e-payment menggunakan kad kredit di kaunter dan secara online akan dilaksanakan di PDRM, JPJ, Imigresen dan KWSP serta hospital;
16. MEMPERBAIKI SISTEM PEROLEHAN KERAJAAN: Sistem e-bidding sedang dalam percubaan di beberapa agensi supaya kaedah itu boleh dilaksanakan di sektor awam dan beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC);
17. MENGGALAKKAN PELANCONGAN KESIHATAN: Unit Pelancongan Kesihatan akan ditubuhkan untuk menarik orang asing mendapatkan perkhidmatan kesihatan swasta di Malaysia;
18. MENGURANGKAN KOS KENDALIAN PERNIAGAAN: Kerajaan bercadang memberi group relief kepada syarikat yang merupakan sebahagian daripada suatu kumpulan dengan milikan minimum antara mereka sebanyak 70 peratus;
19. Group relief membenarkan 50 peratus daripada kerugian tahun semasa suatu syarikat ditolak daripada keuntungan suatu syarikat lain dalam kumpulan yang sama;
20. Kerugian terkumpul dan elaun modal yang tidak diserap dalam tempoh perintis dibenar dibawa ke hadapan dan ditolak daripada pendapatan post pioneer;
21. Menarik lebih banyak pelaburan di Koridor Timur: Galakan cukai sedia ada bagi projek yang ditempatkan di koridor dilanjutkan untuk tempoh 5 tahun lagi sehingga 31 Dis, 2010;
22. Pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti pelaburan oleh syarikat pemegang pelaburan yang tersenarai di Bursa diberi layanan cukai sebagai pendapatan perniagaan;
23. yuran juruaudit dibenarkan sebagai potongan cukai;
24. Syarikat dibenar membuat anggaran cukai pada tahap tidak kurang 85 peratus daripada anggaran cukai tahun sebelumnya berbanding dengan 100 peratus pada masa ini;
25. Syarikat dibenar menuntut elaun modal sepenuhnya dalam tahun perolehan;
26. Anggaran kerugian daripada projek rumah kos rendah dibenarkan ditolak daripada anggaran keuntungan dari projek pembangunan hartanah yang lain bagi tujuan perkiraan cukai;
27. Memantapkan Pasaran Modal: Pengecualian duti setem dan cukai keuntungan hartanah diberikan ke atas pencantuman dan pengambilalihan syarikat yang tersenarai di Bursa mulai 1 Okt, 2005 31 Dis, 2007;
28. Seksyen 132G Akta Syarikat 1965 dibatalkan untuk memudah dan memberi lebih fleksibiliti bagi syarikat untuk melaksanakan pencantuman dan pengambilalihan serta penstrukturan semula perniagaan;
29. Semua prospektus yang diterima oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) bermula 3 Okt 2005 akan dikaji secara pasca penelitian;
30. Keupayaan dan keberkesanan penguatkuasaan SC akan dipertingkatkan untuk menangani dan menghindar salah laku korporat;
31. Akademi Kepimpinan Pengurusan dan Pengarah akan ditubuhkan sebagai pusat kecemerlangan kepimpinan untuk menyediakan barisan pengurus dan pengarah syarikat yang berkemahiran dan berwibawa terutamanya untuk GLC;
32. MEMODENKAN SEKTOR PERTANIAN: Jabatan Pertanian akan disusun semula dan diberi penambahan 255 jawatan baru. Pejabat Konsular Pertanian akan dibuka di luar negara untuk mempromosikan produk pertanian Malaysia;
33. Makmal keselamatan dan kualiti makanan di Kementerian Kesihatan akan disusun semula dan diperkukuhkan supaya dapat memberi khidmat ujian yang lebih berkesan kepada pengeksport;
34. Tabung Makanan (3F) akan ditambah RM300 juta lagi supaya pembiayaan yang mencukupi disediakan bagi industri pengeluaran makanan;
35. Peruntukan RM160 juta disediakan bagi program pembangunan perikanan, termasuk meningkatkan kemudahan perkhidmatan pengembangan, penyelidikan dan latihan, ternakan ikan dalam sangkar, penetasan benih ikan, ikan laut dalam dan ikan hiasan;
36. PENANAMAN SEMULA HUTAN: Kerajaan akan menubuhkan sebuah syarikat baru dengan modal permulaan RM200 juta untuk melaksanakan aktiviti perladangan hutan secara komersial;
37. Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan RM400 juta bagi membiayai projek pertanian oleh GLCs;
38. Khazanah Nasional akan menubuhkan Syarikat Pertanian dan Makanan Nasional dengan modal RM500 juta untuk menjadi pusat kecemerlangan pengurusan rantaian bekalan pertanian;
39. KOPERASI: Langkah memperkasakan lagi gerakan koperasi akan digubal dalam Rancangan Malaysia Kesembilan;
40. MEMBANGUNKAN SEKTOR BIOTEKNOLOGI: Pelbagai insentif fiskal disediakan untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam bidang bioteknologi pertanian, bioteknologi kesihatan dan bioteknologi industri;
41. Bioproducts Validation Centre bernilai RM30 juta akan dilancarkan di Johor Baharu;
42. Kerajaan akan menyumbang RM100 juta untuk melancarkan Malaysian Life Sciences Capital Fund, di bawah pengurusan Malaysian Technology Development Corporation;
43. MEMPERHEBATKAN SEKTOR ICT: Garis panduan pembangunan Cyberjaya termasuk plot ratio akan dipinda untuk memudahkan pembinaan lebih banyak rumah yang mampu dimiliki;
44. Kemudahan pengangkutan awam di Cyberjaya akan dipertingkatkan terutamanya perkhidmatan bas bagi memenuhi keperluan syarikat shared services dan outsourcing yang beroperasi 24 jam;
45. Elaun Bangunan Industri (IBA) bagi tempoh 10 tahun diberikan kepada pemilik bangunan baru yang diduduki oleh syarikat bertaraf MSC di Cyberjaya;
46. Institut Pembangunan ICT akan ditubuhkan untuk menambah lagi bekalan pekerja berpengetahuan dengan menyediakan kemahiran yang diperlukan oleh industri ICT, terutamanya syarikat shared services dan outsourcing;
47. Taraf perintis dengan pengecualian 50 peratus selama lima tahun atau elaun cukai pelaburan sebanyak 50 peratus diberikan kepada syarikat terpilih yang menempatkan aktivitinya di luar Cybercities tertakluk kepada perakuan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC);
48. MDC akan bekerjasama dengan Permodalan Nasional Berhad dan Khazanah untuk mengenal pasti dan memadankan syarikat bertaraf MSC yang berwibawa dengan yang bersesuaian bagi menguji produk mereka;
49. MENGGALAKKAN R&D DAN MEMPERKUKUHKAN PKS: Sebanyak RM9 bln akan diperolehi daripada pasaran modal untuk membiayai perkembangan aktiviti kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad termasuk Bank SME;
50. Bank SME akan menubuhkan dana modal teroka berjumlah RM1 bln untuk membiayai PKS;
51. EXIM Bank akan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dan dana sebanyak RM1 bln diwujudkan untuk pembiayaan projek luar negara, perdagangan dan jaminan kredit insurans;
52. PKS diberi pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ke atas suratcara pinjaman yang bernilai tidak lebih RM1 juta;
53. PROSPER: Skop PROSPER diperluaskan untuk merangkumi kegiatan secara pukal. Pembangunan usahawan Bumiputera dalam perniagaan pukal akan memudahkan kontraktor kecil Bumiputera mendapat bekalan dengan kos yang rendah terutamanya dalam industri binaan;
54. MENINGKATKAN PENYERTAAN BUMIPUTERA DALAM SEKTOR HARTANAH: Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan ditubuhkan dengan modal RM2 bilion sebagai dana untuk membeli hartanah komersial di kawasan bandar utama;
55. MEMBANGUNKAN MODAL INSAN: Peruntukan sebanyak RM493 juta bagi menampung enrolmen pelajar sekolah teknikal, vokasional dan latihan kemahiran yang akan ditingkatkan kepada 98,000 pelajar tahun 2006 daripada 72,000 pelajar tahun ini;
56. Pelepasan cukai secara automatik sehingga RM4,000 bagi setiap anak yang belajar di institusi pengajian tempatan berdasarkan perbelanjaan sebenar;
57. Anak kurang upaya yang belajar di IPT: Dengan mengambil kira pelepasan sedia ada sebanyak RM5,000 untuk anak kurang upaya ibu bapa layak mendapat pelepasan cukai berjumlah RM9,000;
58. GALAKAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT: Pelepasan diperluaskan kepada pengajian profesional dan dalam bidang perakaunan dan undang-undang;
59. Kerajaan mencadangkan IPTS yang membuat pengkhususan dalam bidang sains diberi insentif elaun cukai pelaburan 100 peratus selama 10 tahun;
60. Sebanyak 400 perpustakaan desa akan dibina;
61. MERINGANKAN BEBAN KEWANGAN RAKYAT: Cukai jalan ke atas kenderaan disel persendirian melebihi 1600cc dikurangkan sebanyak 40 peratus kecuali bagi Sarawak, berkuat kuasa 5 Okt, 2005.
62. Kadar bantuan untuk warga tua daif akan dinaikkan kepada RM200 sebulan daripada RM135 sebulan. Kadar bantuan anak-anak yatim dan miskin ditingkatkan kepada RM100 sebulan daripada RM80 sebulan. Bantuan maksimum sekeluarga dinaikkan kepada RM450 sebulan daripada RM350 sebulan;
63. Bantuan kepada Tabika di bawah Kemas akan dinaikkan kepada RM1.50 sehari daripada 60 sen bagi setiap murid;
64. Sebanyak RM1.1 bln diperuntukan bagi penyediaan 26,000 kuarters dalam tahun 2006 untuk guru, tentera, polis, bomba dan kastam;
65. Kos komponen binaan seperti tiang, rasuk, dinding dan lantai akan dikurangkan dengan memberi elaun modal ke atas perbelanjaan modal pembelian acuan untuk mengeluarkan komponen IBS;
66. MENERAPKAN NILAI MURNI KEKELUARGAAN: Suami isteri kini boleh menuntut pengecualian cukai keuntungan harta tanah sekali dalam seumur hidup (kini hanya diberi kepada suami);
67. MEMARTABATKAN KEBUDAYAAN WARISAN BANGSA: Pengecualian cukai ke atas royalti atau bayaran daripada penerbitan hasil karya seni atau rakaman disk dan pita dinaikkan kepada RM10,000 setahun daripada RM6,000 setahun;
68. Pengecualian duti import dan cukai jualan diperluaskan kepada peralatan yang digunakan dalam industri persembahan;
69. Pendapatan yang diterima oleh tenaga pakar bukan pemastautin yang melatih rakyat Malaysia dalam seni persembahan dan penghasilan kraf serta bidang teknikal yang berkaitan dengannya dikecualikan daripada cukai pegangan;
70. MENGGALAKKAN GAYA HIDUP SIHAT: Cukai ke atas minuman keras dinaikkan purata 9 peratus manakala rokok 13 peratus;
71. Dadah: Pemadam akan mengkaji semula kaedah pemulihan penagih. Kempen yang lebih agresif akan dijalankan oleh kerajaan-kerajaan negeri, badan bukan kerajaan dan individu bagi memerangi penyalahgunaan dadah;
72. Sebanyak RM207 juta diperuntukkan bagi Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (ADK) bagi meneruskan program pencegahan, rawatan dan pemulihan serta pengurusan 29 pusat serenti;
73. AIDS: Kementerian Kesihatan akan menubuhkan Panel Penasihat untuk menggubal pelan tindakan bersepadu bagi menangani HIV/Aids. Jumlah kes positif HIV/Aids meningkat kepada 65,000 tahun ini;
74. Projek Rukun Tetangga akan dihidupkan semula bagi membendung jenayah, peruntukan sebanyak RM101 juta disediakan untuk program Rakan Muda dan RM600 juta untuk program Latihan Khidmat Negara, 95,000 remaja pelbagai kaum akan dilatih tahun depan berbanding 65,000 tahun ini;
75. MEMPERBAIKI PENGANGKUTAN AWAM DI LEMBAH KLANG: bas-bas baru akan diperkenalkan;
76. Touch n' Go yang kini boleh digunakan di semua pengangkutan rel akan diperluaskan kepada perkhidmatan bas. Kerajaan akan melaksanakan sistem satu tiket bersepadu yang boleh digunakan di semua jenis pengangkutan awam di Lembah Klang;
77. Kajian sedang dijalankan untuk mengenal pasti laluan rel baru di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi di mana sebanyak 10 laluan baru bagi perjalanan bas telah dilaksanakan;
78. Jumlah stesen gas runcit yang kini berjumlah 51 buah akan ditambah dua kali ganda menjelang 2007 untuk menggalakkan penggunaan gas;
79. Geran sebanyak RM50,000 akan diberi bagi setiap bas monogas yang diperolehi bagi tempoh sehingga akhir 2008. Galakan cukai akan diberi untuk pembangunan rangkaian retikulasi gas;
80. MENINGKATKAN KECEKAPAN PENGGUNAAN TENAGA: Semua agensi kerajaan diberi sasaran untuk mencapai 10 peratus penjimatan penggunaan tenaga pada tahun 2006;
81. Kerajaan bercadang insentif yang diberikan kepada syarikat yang menawarkan perkhidmatan penjimatan tenaga dilanjutkan tempohnya untuk lima tahun lagi sehingga 2010;
82. Kerajaan juga bercadang memberi elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus kepada modal yang dibelanjakan bagi tujuan meningkatkan penjimatan tenaga kepada pemilik bangunan;
83. Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM2.3 bilion tahun depan bagi pembinaan jalan, penyediaan bekalan elektrik dan air serta projek pendidikan dan kesihatan;
84. Sarawak diperuntukan RM2 bilion pada 2006 untuk jalan, lapangan terbang dan pendidikan. Selain itu, RM112 juta disediakan bagi projek air dan elektrik serta pembinaan jalan di kawasan luar bandar;
85. Jumlah peruntukan RM2 bln bagi Sarawak tidak termasuk projek pembangunan hidro-elektrik Bakun yang akan melibatkan kos sebanyak RM6.1 bln antara 2006 dan 2009;
86. MEMPERKUKUHKAN PASUKAN POLIS: Sebanyak RM3.5 bln disediakan untuk perbelanjaan mengurus PDRM dan RM493 juta untuk perbelanjaan pembangunan;
87. Membayar balik upah jahit pakaian seragam bagi anggota polis pangkat rendah sehingga RM100 sepasang untuk tiga pasang setahun;
88. Menaikkan bayaran insentif bagi anggota pemusnah bom daripada RM50 satu operasi kepada RM100 satu operasi;
89. Memanjangkan bayaran insentif menyelam yang kini dinikmati oleh anggota ATM, Jabatan Perikanan dan Pusat Sains Negara kepada anggota PDRM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat. Kadar bayaran insentif akan dinaikkan dari RM50 sebulan kepada RM100 sebulan bagi penyelam dan dari RM150 kepada RM250 sebulan bagi penyelam ranjau;
90. BANTUAN KOS SARA HIDUP KAKITANGAN PERKHIDMATAN AWAM: RM150 sebulan bagi mereka yang berada pada Gred 1 hingga 54 di KL, Putrajaya, Ampang Jaya, Kajang, Klang, Selayang, Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya, Johor Baharu, Georgetown dan Butterworth. Ia bermula 1 Jan 2006;
91. RM100 sebulan bagi mereka yang berkhidmat di 26 bandar lain dan RM50 sebulan bagi mereka yang bertugas di kawasan lain;
92. Imbuhan tetap khidmat awam (ITKA) diselaraskan untuk pegawai Gred 41 dan 42 serta pensyarah Gred 45 ditetapkan pada RM300 sebulan;
93. Elaun penyelia Kelas Al-Quran dan fardu ain (KAFA) dinaikkan daripada RM500 sebulan kepada RM750 sebulan;
94. Elaun guru KAFA ditetapkan sebanyak RM500 sebulan (Sebelum ini elaun maksimum bagi semenanjung Malaysia ialah RM288 sebulan dan bagi Sabah dan Sarawak RM336 sebulan);
95. Bayaran insentif merawat pesakit tibi dan kusta sebanyak RM60 sebulan akan dipanjangkan kepada juruteknologi makmal dan perubatan, pembantu makmal perubatan dan atenden kesihatan yang bertugas di makmal di Pusat Tibi Negara dan Makmal Pusat Kusta Negara;
96. BONUS: Pegawai kerajaan yang berpendapatan sehingga RM1,000 sebulan akan diberi bonus bersamaan satu setengah bulan gaji. Mereka yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan, bonus bersamaan satu bulan gaji akan dibayar tertakluk kepada bonus minimum RM1,500. Ia akan dibayar dalam dua bayaran iaitu pada Oktober dan November 2005;
97. Pesara kerajaan akan diberi bayaran khas sebanyak RM200 dalam bulan Oktober 2005;
98. LANGKAH MENGAWAL KENAIKAN HARGA: Kerajaan mengambil langkah tambahan untuk mengawal kenaikan harga barangan keperluan semasa musim perayaan iaitu dari bulan Oktober 2005 hingga Februari 2006. Keupayaan penguatkuasaan pemantauan harga akan dipertingkatkan dengan penambahan seramai 745 anggota;
99. Penyeludupan: Kerajaan akan memperketatkan langkah penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas penyeludup. Pemberian disel bersubsidi akan dikawal dengan lebih teliti dan ditumpukan kepada kumpulan sasaran.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home