Thursday, November 24, 2005

Hikayat Melaka...Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia


Bandaraya Melaka, 23 Nov : SEKIAN lama negeri ini kehilangan takhta DiRaja, kini bumi Melaka kembali bermandi cahaya melampias bangga rakyatnya menerima tetamu-tetamu terhormat menyemarak kasih di bumi bertuah ini.
Sekian lama juga tidak terdengar teriak “Daulat Tuanku” bergema di bumi kelahiran Hang Tuah, negeri kecil di anjung negara, pastinya semarak itu juga tergambar teriak bangga rakyatnya menyambut kedatangan rombongan berdaulat membawa berita gembira, Melaka terus gah namanya di persada negara.
Meski kecil dalam palitan peta Malaysia, meski lebih 447 tahun hidup tanpa takhta, negeri kijang ini masih mampu melafazkan sembah keramat sebagai tanda merai dan meluah rasa bangga sempena kedatangan anggota rombongan DiRaja.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-204 membawa erti yang bukan sedikit dalam melakar sebuah lagi kisah negeri 'Di Mana Segalanya Bermula' ini. Sejarah besar yang pastinya turut merubah panorama sekitar bandaraya bersejarah, negeri kebanggaan kita.
Sesungguhnya, kehadiran anggota rombongan DiRaja memang telah dinanti sekian lama. Umpama menanti rezeki melimpah dari muara Sungai Melaka, demikian juga harapan rakyat melihat kalungan budi menjunjung kasih terpasak di mana-mana tanah di bumi kecil ini.
Sekecil-kecil tanah bertuah ini masih mampu menampung kibaran bendera pelbagai negeri. Sepanjang-panjang jalan menyaksikan bendera semua negeri yang terdapat di negara ini menyampaikan maksud acara gemilang akan berlangsung, dengan terkumpulnya semua pucuk pimpinan negeri di sebuah negeri kecil, Melaka.
Seakan takjub melihat warna kuning berkibar merata-rata, rakyat Melaka tertanya-tanya tuah apakah yang bakal mengunjungi mereka. Dan segalanya semakin jelas apabila papan-papan tanda dengan catatan tertera “Daulat Tuanku” kelihatan di merata-rata, menjadi tanda Melaka bakal dikunjungi kerabat berdaulat.
Alangkah bertuah apabila yang datang bukan seorang, tetapi sembilan Sultan daripada sembilan negeri beserta Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, menzahir impian rakyat melihat payung negara turun melawat negeri Parameswara ini.
Sesungguhnya kehadiran Duli-Duli Yang Maha Mulia ini bukan membawa tuah yang sedikit kepada rakyat negeri ini. Panorama yang sekian lama dilihat ulang-berulang tiba-tiba bertukar pandang.
Betapa damainya Sungai Melaka menyaksikan airnya yang selama ini keruh kini berkemilau dipancar cahaya lampu dan warna kuning yang menghiasi dari tebing ke tebing. Betapa makmur juga halaman yang selama ini kemarau indah bunga berkembangan pabila semerta lahir pelbagai bunga menghiasi halaman tercinta, menggamit rasa cinta yang bertambah kepada Datuk Seri, peneraju ke arah perubahan warna kusam kepada keindahan yang terjelma dalam sekelip mata.
Melaka seakan-akan berubah wajah. Rakyat Melaka sememangnya bertuah, punyai pemimpin yang dapat menjana perubahan demi perubahan dalam sekelip mata. Biar sekejap mahupun lama kerja yang dilakukan, yang utama, setiap usaha perlu dihargai kerana lahirnya merupakan terjemahan suara hati yang inginkan kemakmuran dan kedamaian yang berkekalan.
Melihat perubahan Melaka umpama melihat sebuah dunia baru yang tiba-tiba muncul di depan mata. Seakan-akan mimpi, kita berada dalam sebuah bahtera, melayari, menyusuri jejak Hang Tuah hingga ke muara Sungai Duyung.
Sekilas, ungkapan Datuk Hang Tuah seakan melaung bangga, “Takkan Melayu Hilang Di Dunia”. Terpancar rasa kasih yang menyerlah, Datuk Seri warisan Hang Tuah, bakal memastikan kita terus hidup bersama kegemilangan dan maruah yang tidak mudah teruja.
Segar memandang pesisir tebing dihiasi bunga pelbagai warna. Tiada lagi serpihan-serpihan papan buruk menyakitkan mata, tiada juga simpang-perenang di tambatan yang mencacatkan indahnya minda yang inginkan kedamaian. Semuanya tersusun rapi, memungkinkan setiap kehadiran membawa pulang sebuah kenangan indah untuk dikenang zaman berzaman.
Dalam hati tertanya-tanya, indahnya bumiku sampai bila? Mungkinkah berangkat pulang rombongan DiRaja membawa bersama indah dan permainya bumi kecil tinggalan Parameswara ini? Mungkinkah sedap mata memandang tenang dan lembut air sungai Melaka, hanya setakat di bibir mata?
Semoga, Sungai Melaka terus jernih airnya, sejernih hati Datuk Seri ingin melihat rakyat negeri ini hidup dalam keadaan yang indah dan selesa. Begitu jugalah semaraknya harapan hati seluruh rakyat ingin melihat keindahan ini terus terjelma di seluruh kampung dan daerah dalam negeri kecintaan kita ini.
Dan sebelum terlena, harapan secerah mentari pagi. Dalam tidurku bernobat mimpi, MELAKAku, teruslah berseri.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home