Thursday, September 07, 2006

Ansuran Hutang Mara serendah RM20 memalukan Melayu

Ansuran hutang Mara serendah RM20 malukan Melayu
Oleh Sadatul Mahiran Rosli

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Kesediaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerima bayaran balik hutang serendah RM20 bukan sahaja memalukan orang Melayu, bahkan menggambarkan seolah-olah golongan profesional Melayu begitu ‘miskin’ untuk membayar hutang.

Malah, jumlah bayaran balik yang disyorkan itu juga dianggap ‘tidak masuk akal’ dan tidak akan memberi keinsafan atau kesedaran kepada pemiutang supaya menjelaskan hutang dengan lebih cepat.

Pengerusi Biro Pengaduan Awam dan Hal Ehwal Pengguna UMNO, Datuk Subahan Kamal berkata, walaupun tindakan Mara itu boleh memberi manfaat kepada peminjam, tetapi ia bukan cara terbaik untuk mendapatkan hutang yang berjumlah RM556 juta itu.

Katanya, tindakan Mara itu dilihat lebih kepada usaha untuk mengelakkan anak-anak Melayu profesional diheret ke mahkamah yang boleh menjatuhkan reputasi dan kedudukan mereka.

“Pembayaran ansuran serendah RM20 memang memalukan, seolah-olah peminjam pinjaman pelajaran Mara tidak berduit sedangkan rata-ratanya berjaya dalam kerjaya masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kesediaan Mara membenarkan peminjamnya membayar hutang secara ansuran serendah RM20 sebulan jika mempunyai masalah.

Sehingga 30 Julai lalu, tunggakan hutang Mara berjumlah RM556 juta membabitkan 121,486 peminjam.

Subahan berkata, Mara sebenarnya sudah tidak boleh berlembut lagi dengan peminjam yang degil dan telah beberapa kali diberikan peringatan serta amaran.

“Wang yang dipinjam adalah hak Mara dan sudah tentu Mara berhak mendapatkannya kembali, carilah cara lain yang lebih tegas dan yang boleh menyedarkan peminjam untuk membayar hutang mereka,’’ katanya.

Menurut Subahan, jika peminjam itu mampu membayar pinjaman rumah serta kenderaan, mereka juga sepatutnya mampu membayar balik pinjaman pelajaran dalam jumlah yang besar.

“Kedegilan dan tiada tindakan tegas seperti yang diamalkan oleh institusi kewangan adalah punca Mara tidak dapat mengutip hutangnya dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu, tokoh ekonomi, Prof. Diraja Ungku Aziz berpendapat, Mara perlu menyediakan satu kaedah yang drastik tetapi munasabah dan tegas bagi menyedarkan peminjam tentang tanggungjawab membayar hutang.

Menurutnya, isu itu tidak timbul jika semua pelajar yang membuat pinjaman menyedari tanggungjawab untuk membayar balik pinjaman mereka.

Beliau berkata, orang Melayu perlu mempunyai tanggungjawab dan insaf bahawa bantuan yang diterima telah membolehkan mereka mendapat pekerjaan yang baik.

Beliau turut mengingatkan bahawa tidak membayar hutang itu adalah berdosa walaupun kepada kerajaan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mara itu adalah sindiran kepada peminjam Mara yang terdiri daripada orang Melayu.

“Sepatutnya, mereka (orang Melayu) malu dengan kenyataan itu, seolah-olah graduan Melayu tidak mampu untuk membayar pinjaman pelajaran dan mudah lupa dengan bantuan yang diberi oleh Mara dalam membiayai pelajaran mereka.

“Janganlah sampai kaum lain mengiakan kata-kata Melayu Mudah Lupa ekoran daripada tindakan itu,’’ katanya.

Tambahnya, tindakan Mara yang masih berlembut dan tidak tegas adalah penyebab kepada kedegilan anak Melayu untuk membayar hutang.

Katanya, banyak cara lain yang boleh gunakan oleh Mara untuk mendapatkan semula wangnya tetapi bukan dengan cara ansuran serendah RM20.

‘‘Mara boleh mengarahkan majikan membuat potongan gaji sehingga pinjaman selesai, tindakan mahkamah ke atas mereka yang degil atau melantik satu badan sebagai pengutip hutang,’’ jelasnya


Nota Tapak Kakiku

Sungguh!! Melayu sememangnya bangsa yang tak reti tanggungjawabnya. Bukan sahaja kepada ribuan penagih dadah ditepi-tepi longkang, belia-belia yang berpeleseran di kompleks milik cina dan gadis-gadis yang suka tayang pusat dan seluar dalam (bila kena rogol menangis la pulak). Tak perlu cakap la pasal ahli politik yang masuk dewan rakyat hanya semata-mata nak bangkitkan hal-hal peribadi dan berebut jawatan itu dan ini. Dan 1 lagi golongan, para eksekutif/profesional yang liat nak bayar hutang. RM20 UNTUK LANGSAI HUTANG. Sampai ke liang lahat la jawabnya mereka kendung hutang-hutang tu.
Semua peringkat, Melayu menunjukkan reputasi cemerlang sebagai bangsa yang tak reti tanggungjawab. Dulu kata-kata sindiran Melayu yang layu, ditelan jua, tapi hari ini, Melayu serupa kayu, mampukah engkau menelannnya jua??. Aku semakin tak sanggup untuk jadi Melayu. Sungguh, aku makin tak berdaya......Kecewaku makin tak terbendung... Tatkala bangsa lain mengejar kemajuan, Melayu makin hilang pegangan, baik yang tua, atau yang muda, pemimpin atau yang dipimpin, yang berjaya dan yang gagal.............tertera bebal didahi Melayu

1 Comments:

Blogger black rose said...

assalamualaikum...
dgn kenaikan harga barangan..yg menekan rakyat, lepasan u pun ada byk bebanan, mrk mungkin masih ada ibubapa, adik2 yg perlu dibela. Biarlah MARA bermurah hati nak trima RM20 sebulan sbagai bayaran. ap yg nak dimalukan? bknnya mencuri dan mkn rasuah mcm sesetengah pihak yg hanya pandai bercakap..!

12:01 AM  

Post a Comment

<< Home