Saturday, May 07, 2005

Kenapa Susah Hargai Jasa Ibu?

Oleh: AZLINARIAH ABDULLAH(Wartawan Utusan)

Ada memanggilnya ibu, mama, emak dan sebagainya. Walaupun nama panggilan itu berbeza, mereka tetap individu sama - ratu di hati kita.
Sebagai ratu, kita perlu memberikan layanan yang terbaik kepadanya setiap masa.
Rahim seorang ibu menampung sekurang-kurangnya satu nyawa, mungkin lebih, paling banyak barangkali 16 amanah Allah.
Begitu berat beban yang harus dipikul insan ini, tetapi kebanyakannya berjaya mengatasi halangan dengan tabah tanpa bersungut soal kepayahan.
Ibu tidak kisah tentang empat potong kek yang harus disuap kepada lima nyawa, dengan alasan si ibu tidak memerlukannya.
Pengorbanan dan jasa ibu kepada kita sewaktu kecil cukup besar, sepatutnya kita perlu menghargainya.
Hari Ibu akan disambut 8 Mei (esok) pada setiap tahun. Di Amerika Syarikat (AS), tempat di mana idea Hari Ibu tercetus, ia diraikan pada 11 Mei bermula 1908.
Dalam kalendar Mei, Hari Ibu ialah hari yang kedua kita menyambut beberapa hari penghargaan.
Sebelum ini, kita menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei, manakala Hari Belia 15 Mei dan menyusul Hari Guru pada 16 Mei ini.
Seperti Hari Kekasih dan Hari Setiausaha misalnya, Hari Ibu juga disambut meriah.
Pelbagai persediaan dibuat oleh anak-anak, ada yang berkira-kira menghantar bunga, mengajak sekeluarga makan malam bersama ibu dan tidak kurang juga menempah hadiah mahal untuk si bonda.
Sebelum tahun 2000, boleh dikatakan generasi hari ini kurang mengingati Hari Ibu, barangkali kerana ia jatuh bersama hari cuti umum lain.
Menurut sejarah, Hari Ibu berasal usul ekoran daripada rasa bersalah wanita bernama Anna Jarvis pada 1907. Ibu Anna meninggal sebelum dia sempat meminta maaf akibat satu pertengkaran.
Anna memasang niat untuk melakukan sesuatu bagi mengenang jasa ibunya itu dengan mula menghadiahkan 500 jambak bunga teluki putih untuk diagihkan kepada setiap ibu yang datang ke gereja St. Andrew's Methodist Episcopal di Grafton, West Virginia.
Itu cerita di AS. Kita di sini menyambutnya pada 8 Mei. Kalau ada yang skeptikal dengan cara kita menyambut Hari Ibu itu seolah-olah meniru cara AS atau negara Barat lain, anggap sahaja ia sama seperti hari lain - Hari Guru dan Hari Pekerja.
Walaupun pengorbanan ibu perlu dihargai sepanjang masa dan setiap tahun, jika ada hari khas diwujudkan ia adalah lebih baik.
Pada hari itu, jika tiada hadiah mahal, pemberian seadanya cukup memadai untuk mengenang jasa mereka. Kalau tiada juga, ingatan dan ucapan sayang pasti dihargai mereka.
Lalu, kepada mereka yang tidak berkesempatan membelikan hadiah atau menawarkan jambangan bunga ros, masih mempunyai 24 jam, 1,440 minit dan 86,400 saat untuk mengucapkannya esok.
Kita bersikap aneh kerana lebih senang mengucapkan penghargaan dan sayang kepada orang yang kurang dikenali hati budinya berbanding individu yang menanggung sakit berjam-jam lamanya untuk melahirkan kita.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home