Penulis Di Blog Tidak Jujur
Petikan dari Akhbar Berita Harian
DISKUSI ‘Blog: Percaya Biar Bertempat’ di Laman Karyawan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, mengabsahkan pendapat yang mengatakan tulisan yang disiarkan di blog tidak boleh dipercayai.
Ini kerana kebanyakan penulis blog tidak berniat mendedahkan hal sebenar dan sekadar ingin memberi gambaran mengenai luahan rasa mereka, mendapatkan timbal balas daripada pengunjung blog di samping menjaga etika tanggungjawab sosial dalam blog.
Hal ini hangat diperkatakan tiga penulis blog, Muhammad Faisal Sharbudin yang menggunakan nama pena ‘elmaaniq’, Nor Shafinaz Shamsudin (pinat) dan Salina Ibrahim (salinaibrahim), pada diskusi yang dipengerusikan Anwar Othman.
Muhammad Faisal mengakui bahawa beliau pada mulanya tidak mengetahui mengenai blog atau diari peribadi yang banyak dibangunkan di internet tetapi cerita rakan mengenai blog berjaya mempengaruhi Faisal untuk cuba berkunjung.
”Saya tidak pernah terfikir untuk mempunyai blog sendiri. Kali pertama berkunjung ke blog pun, saya tidak menetapkan blog bagaimanakah yang hendak saya kunjungi. Lebih menarik, apabila berkunjung ke blog rakan yang ada pautan ke blog lain dan saya terus mencuba,” katanya.
Mohd Faizal mengakui meskipun banyak mengunjungi blog tetapi bukan semua yang diteliti dengan alasan, ada antara blog berkenaan yang tidak diminati dan tidak sesuai untuk dibaca.
“Saya akan meluangkan masa di blog berkenaan sekiranya ia memaparkan isi yang boleh dijadikan panduan. Kelebihan blog ialah berlakunya komunikasi dua hala antara pemilik dan pembaca,” katanya.
Jika diberi pilihan, beliau akan memilih membaca berita atau bahan di blog berbanding media cetak yang dianggap sering menimbulkan tanggapan berat sebelah kerana tidak berlangsungnya komunikasi dua hala.
Berlainan dengan elmaaniq, Nur Shafinaz Shamsudin yang lebih dikenali dengan nama ‘pinat’ membina blog kerana berasa perlu bersuara dan meluahkan apa yang terpendam dalam fikiran.
Shafinaz yang bertugas di perpustakaan awam di Putrajaya berkata, situasi di tempat kerja yang sunyi, tidak banyak komunikasi dan ketiadaan rakan berbual menyebabkan beliau membina blog sendiri.
“Saya berada dalam persekitaran yang tidak membenarkan kita berbual. Ada kalanya saya teringin bercakap dan blog menjadi medan terbaik menyuarakan rasa ingin berbicara,” katanya.
Beliau berkata, memandangkan usia yang sudah melepasi tahap remaja dan berkeluarga, beliau gemar mengunjungi blog berbentuk cerita semasa serta mengelak daripada mengunjungi blog yang berisi dengan bahan bernada melankolik atau mendayu-dayu.
Shafinaz berpegang kepada pendirian bahawa penulis blog memikul tanggungjawab yang besar kerana setiap hasil tulisan dibaca ramai individu dan banyak catatan penulis blog dianggap jujur sekalipun mungkin tidak 100 peratus.
“Kita tidak boleh menerima sumber maklumat yang ditulis bulat-bulat kerana tidak semua pendapat yang ditulis bersandarkan fakta. Mereka menulis tidak berdasarkan tinjauan mahupun kajian dan bersifat pendapat peribadi,” katanya.
Shafinaz yakin bahawa kebebasan yang diperoleh penulis blog membolehkan pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan penulisan blog sebagai wadah untuk mereka menjalankan propaganda atau menyebarkan anasir negatif.
“Ada pelbagai kemungkinan boleh berlaku kerana penulis blog boleh saja mempengaruhi pembaca dengan pelbagai ideologi mereka dan kehadiran internet memudahkan lagi proses ini,” katanya.
Penulis novel, Salina Ibrahim yang masih baru dalam dunia blog mengaku mengetahui kemudahan medan penulisan peribadi berkenaan melalui ketuanya yang sering mengadakan kunjungan blog.
“Saya sering melihat editor saya mempromosikan kegiatan dan hasil karya beliau melalui blog dan lama-kelamaan saya sedar bahawa saya juga boleh mempromosikan karya saya melalui blog,” katanya.
Salina turut memanfaatkan blog untuk menghebahkan kegiatan anjuran syarikat tempat beliau bertugas dan menghebahkan diskusi umum serta memastikan blog yang dikunjungi menggunakan bahasa yang baik.
“Penulis blog adalah pemberi maklumat dan mereka boleh disamakan dengan wartawan di akhbar. Cuma yang berbeza ialah tugas wartawan lebih berat kerana mereka terikat dengan peraturan,” katanya.
...................................................................................................................................
Aku teringin gak komen pasal penulis blog nie. Aku banyak juga baca blog-blog tempatan & antarabangsa (ehem.. paham ke bang???). Bagi aku kebanyakannya hanyalah luahan hati dari pemiliknya. Ada juga yang banyak bagi info macam isu-isu semasa, teknologi maklumat dan tempat-tempat menarik kat dunia nie. Isunya bukan la jujur atau pun tidak. Tapi gaya penyampainya yang agak ringkas dan ada kalanya infonya kurang lengkap dan mungkin juga tidak tepat. Ianya bukanlah kerana pemilik cuba bersikap tidak jujur, tetapi kerana mereka sendiri mempunyai maklumat yang tidak tepat dan adakalanya pembaca sendiri yang tersalah tafsir.
Justeru itu, adalah tidak wajar kiranya webblog dijadikan sumber informasi sebaliknya anggaplah ianya sebagai bahan bacaan ringan yang berguna untuk mengisi ruang kelapangan dan kebosanan. Jika yakin maklumat yang diberikan itu tepat dan benar, manfaatkanlah ia demi kebaikan bersama.
Kepada pemilik blog, jika mahu webblog mereka bermanfaat kepada pembaca, selitkan lah maklumat berguna serba sedikit...:)
Semoga berbahagia Siti Nurhaliza .............. ehhh!!!.. salah forum daaaaaaa
0 Comments:
Post a Comment
<< Home