Tip berbelanja elak tertipu muslihat peniaga
HARGA minyak naik lagi. Ini tidak dapat dielakkan kecuali kerajaan meneruskan pemberian subsidi yang tinggi, sesuatu yang tidak boleh kita terus harapkan dalam keadaan kadar subsidi yang sememangnya sudah tinggi sekarang.
Peniaga juga mula menaikkan harga bagi menampung kenaikan kos pengeluaran masing-masing akibat peningkatan harga bahan bakar, selain menanggung kos hidup yang turut bertambah.
Ada sesetengahnya cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dan yang teruk menanggung beban ialah mereka bergaji tetap, terutama yang tidak bekerja, berpendapatan rendah dan pesara.
Kedai runcit menelan sebahagian besar pendapatan kebanyakan keluarga. Semakin rendah pendapatan semakin besar wang mereka dari segi peratusan diperuntukkan untuk tujuan itu. Orang miskin membelanjakan kebanyakan pendapatan mereka untuk bahan makanan.
Mungkin mudah untuk menghabiskan wang di kasino kerana memang itulah tujuan ia dicipta. Kedai runcit juga mempunyai matlamat sama. Setiap barang yang ada di dalam kedai itu disediakan untuk memisahkan pengguna daripada wangnya.
Katakan anda ingin membeli beberapa biji telur dan susu di sebuah kedai runcit, tetapi ketika melintasi rak barang dalam kedai itu, anda tentunya melihat pelbagai barang ‘harga istimewa’ yang menarik minat anda.
Kemungkinan apa yang berlaku ialah anda akhirnya tiba di kaunter pembayaran dengan pelbagai jenis barang lain di samping telur dan susu, terutama jika anak anda ada bersama.
Berikut adalah beberapa cara berbelanja yang dapat menghindarkan kita daripada keadaan seperti disebut tadi, diperoleh daripada internet dan makalah terbitan persatuan pengguna:
- Rintangan nilai – Di depan kedai biasanya terpampang iklan ‘tawaran istimewa’. Iklan ini mungkin suatu tawaran terbaik atau sebaliknya. Satu cara untuk memastikannya ialah dengan membuat perbandingan harga. Selalunya ada barang sama yang lebih murah, tetapi tersorok di dalam kedai.
- Masalah tanda harga – Sering kali barang mahal dicampur-adukkan dengan barang murah dan mungkin yang tiada tanda harga. Malah, ada yang diletakkan tidak jauh antara satu sama lain. Kerja memilih menjadi seperti bermain judi! Semak harga di kaunter bayaran. Jika harga itu lebih mahal daripada yang anda jangkakan, beritahu pekerja di kaunter bahawa anda tidak mahukannya. Jangan mudah terpedaya dengan pekerja berkenaan dan jangan bimbang dengan pembeli di barisan belakang anda. Itu adalah hak anda.
- Saiz besar tidak semestinya belian terbaik – Jika barang yang ingin dibeli tidak ada penetapan harga mengikut unit, anda memerlukan kalkulator. Oleh itu, jangan lupa bawa kalkulator setiap kali pergi membeli-belah. Perlu diingat bahawa bahan makanan dalam bungkusan besar atau saiz keluarga mungkin bukan suatu belian terbaik walaupun lebih murah, jika anda tidak boleh menyimpannya dengan sempurna. Akhirnya, mungkin berlaku pembaziran dan barang yang dibeli terpaksa dibuang kerana rosak.
- Menipu saiz – Harga sama, tetapi isinya kurang sudah menjadi lumrah sekarang. Barang yang dipamerkan secara besar-besaran juga belum tentu pembelian terbaik. Ia dibuat sedemikian disebabkan pekedai membeli banyak barang. Ia mungkin suatu tawaran yang baik atau sebaliknya. Satu cara untuk mengetahui penipuan ini ialah dengan membandingkan harga.
- Muslihat jenama - Syarikat besar membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk meyakinkan anda bahawa jenama mereka adalah yang terbaik. Barang itu tidaklah selalunya lebih baik daripada jenama lain yang lebih murah. Selalunya, barang berjenama itu datang dari kilang sama, cuma labelnya berbeza ketika keluar dari kilang.
- Cari barang di atas rak – Barang berharga mahal biasanya diletakkan separas mata di atas rak, manakala barang murah ditempatkan sama ada di tempat tinggi atau paling rendah.
- Harga ayam turun, barang dalam tin naik – Jika harga barang itu diturunkan di suatu kawasan, ia mungkin dinaikkan di tempat lain. Jika boleh, beli barang yang murah pada masa itu dan elakkan barang yang dinaikkan harganya.
- Muslihat makanan ringan – Anda mungkin membayar harga mahal bagi kentang dan garam yang bernilai 50 sen atau ubi kayu yang dijual dengan harga 30 sen, tetapi ia lebih murah, lazat, berkhasiat dan lebih menyeronokkan jika dibuat sendiri.
- Bersikap adil kepada diri dan keluarga – Tawaran yang tulen boleh dicari, tetapi anda perlu mencarinya bersungguh-sungguh, memerhati dengan penuh teliti bersama kalkulator di tangan. Pekedai mempunyai hak meletakkan harga yang mereka mahu pada barang jualan, kecuali bagi barang harga terkawal. Anda juga mempunyai hak mendapatkan tawaran lebih baik dan berjimat-cermat.
Dengan membeli-belah secara pintar, anda menggalakkan peruncit mengamalkan tawaran berhemat, bukan tawaran berhelah. Jika anda berjaya mengalahkan muslihat jual beli seperti ini, bermakna anda memenangi kualiti hidup yang lebih baik dan masa depan yang lebih terjamin untuk diri dan keluarga.
Diharap panduan yang dinyatakan tadi dapat membantu anda sedikit sebanyak ketika berbelanja dalam kemelut kenaikan harga barang yang anda hadapi kini.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home