Thursday, December 14, 2006

Daulat Tuanku II


Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-13 bermula penuh adat istiadat

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dalam upacara penuh istiadat dan tradisi Melayu di Istana Negara, semalam.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Baginda berdua dipilih mengisi jawatan untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa semalam itu, atas perkenan Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-208 (Khas) pada 3 November lalu. Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong di kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Istiadat semalam bermula pada jam 11.50 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja (Khas) ke-209 sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh kedua-dua Seri Paduka. Mesyuarat khas yang dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Balairong Seri itu dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Pemangku Imam Besar Masjid Negara, Abdul Rahman Yusof, diikuti Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Engku Ibrahim Engku Ngah menyembah surat sumpah jawatan kepada Sultan Mizan. Selepas melafaz sumpah jawatan, Sultan Mizan, 44, menandatangani surat sumpah jawatan itu dengan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra dan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah sebagai saksi.
Majlis disusuli istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Sultan Abdul Halim, juga dengan bersaksikan Sultan Ismail Petra dan Sultan Selangor. Selepas mesyuarat Majlis Raja-raja ditangguhkan, istiadat menandatangani surat perisytiharan memegang jawatan menyusul, diikuti persembahan surat itu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru dan timbalannya untuk ditandatangani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kemudian membaca perisytiharan bahawa Sultan Mizan sudah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dan Sultan Abdul Halim sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Upacara penuh istiadat itu yang disiarkan secara langsung oleh RTM, diakhiri bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh. Semua sembilan Raja Melayu atau wakil baginda serta empat Yang Dipertua Negeri hadir.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri, menteri-menteri kabinet, anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta pegawai tinggi kerajaan.
Selepas selesai upacara, Abdullah mengetuai upacara menghadap.
Terdahulu, Perdana Menteri mengetuai jemaah menteri Kabinet menyambut keberangkatan tiba Sultan Mizan di Parlimen, yang menjadi sebahagian istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan baginda. Sultan Mizan bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang tiba pada jam 10.30 pagi kemudian diberikan sambutan penuh istiadat diiringi tiupan nafiri oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Baginda berdua kemudian diiringi ke peterana melalui pasukan kawalan tombak, diikuti tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormatan yang menyembahkan `Hormat Diraja', diikuti lagu Negaraku.
Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti tembakan meriam 21 das sebelum baginda berkenan memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota 1 RAMD diketuai Mejar Mohd Fuad Md Ghazali. Seri Paduka berdua kemudian berangkat untuk menerima menghadap menteri Kabinet, ketua jabatan serta diplomat asing dengan diiringi Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin sebagai menteri pengiring.
Sebelum itu, pada sebelah pagi, istiadat keberangkatan baginda berdua ke ibu negara berlangsung dengan penuh tradisi dan adat Raja-raja Melayu di Istana Maziah, Kuala Terengganu.
Sebelum berlepas menaiki pesawat khas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), kira-kira jam 8.30 pagi, baginda berkenan menghadiri istiadat perbarisan kawalan kehormat utama. Ketibaan Seri Paduka berdua ke Istana Maziah diiringi tiupan nafiri sebelum berangkat ke Pentas Diraja dan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama Kor Armor Diraja mempersembahkan `Hormat Diraja' dan lagu `Selamat Sultan'.
Turut berangkat, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail; Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dan ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Keberangkatan baginda berdua ke LTSM diiringi tiupan nafiri dan kumpulan nobat serta 32 anggota pasukan Jejawat diketuai Sarjan Zulhamli Salleh, masing-masing 16 pembawa payung dan tombak, hingga ke pintu gerbang utama istana.
Dianggarkan lebih 1,000 rakyat pelbagai lapisan berdiri di sepanjang laluan dan di LTSM sejak jam 7 pagi lagi untuk mengucapkan selamat berangkat kepada baginda tuanku berdua.
PROFIL
Sultan Mizan Zainal Abidin
- Diputerakan pada 2 Januari 1962
- Menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman diikuti Sultan Menengah Sultan Sulaiman
- Melanjutkan pelajaran di Geelongs Grammar School di Melbourne, Australia
- Mengikuti kursus tentera selama tiga bulan di Kem Karah, Port Dickson pada 1981
- Mengikuti kursus Pegawai Kadet Pre SMC (E) di Army School of Languages dan menyambung kursus SMC 33 di Royal Military Academy, Sandhurst, sehingga 9 Disember 1983
- Melanjutkan pelajaran di US International University-Europe di London dan menerima ijazah Sarjana Muda dalam jurusan hubungan antarabangsa pada 1988
- Sepanjang kerjayanya, baginda pernah berkhidmat sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah, Pegawai Tadbir Tanah Daerah di Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu dan Unit Perancangan Ekonomi negeri
- Mendirikan rumah tangga dengan Permaisuri Nur Zahirah pada 28 Mac 1996
- Dikurniakan empat cahaya mata, Tengku Nadhirah Zahrah 10; Tengku Muhammad Ismail, 8; Tengku Muhammad Mua’az, 6 dan Tengku Fatimatuz Zahra', 4.
- Menaiki takhta sebagai Sultan Terengganu ketika usia 36 tahun pada 1998
- Aktif dalam sukan berkuda lasak dan pernah menjuarai acara Wilga 80 km Endurance Ride, dan pertandingan berkuda di Harris River Ride, di Australia pada 2004
- Kesungguhan dan inisiatif baginda juga menyaksikan Malaysia terpilih sebagai tuan rumah sukan lumba kuda lasak `World Endurance Championship’ di Lembah Bidong, Terengganu, tahun depan
- Menubuhkan Yayasan Diraja Sultan Mizan pada 19 Julai 2005 bersempena hari ulang tahun ke-43 keputeraan baginda bagi menganjur dan membiayai pelbagai penyelidikan, perhutanan, sains teknologi dan inovasi, pertanian, perikanan serta kemasyarakatan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home