Friday, March 17, 2006

Syarat Memaksimumkan Keuntungan Perniagaan

Berniaga merupakan suatu pekerjaan yang mulia. Hampir keseluruhan kegiatan ekonomi digerakkan oleh sektor perniagaan. Maka, tidak hairanlah bila mana Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda bahawa sembilan per sepuluh rezeki itu datang daripada perniagaan.

Islam memandang tinggi akan kedudukan para peniaga. Para peniaga yang jujur tempatnya ialah di syurga Allah. Ini dinyatakan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya yang berbunyi:
Peniaga yang jujur akan bersama-sama para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid (Hadis riwayat Tarmizi dan Hakim).

Dewasa ini, pelbagai isu berkaitan dengan amalan perniagaan yang songsang dan korup seperti pecah amanah, rasuah, penipuan, eksploitasi, penindasan pekerja, pencemaran alam dan sebagainya telah timbul berikutan sikap dan amalan korporat yang tidak beretika.

Berikutan keadaan yang semakin genting, kesedaran dan penerapan tentang amalan perniagaan beretika yang lebih telus, jujur dan berhemah semakin menjadi trend perniagaan global.

Sebenarnya, amalan perniagaan yang baik akan menghasilkan kestabilan hidup yang harmoni. Ini kerana, para peniaga merupakan mereka yang sentiasa berinteraksi dengan manusia lain seperti para pembeli; menggembleng keringat usaha para pekerja/buruh; dan para peniaga turut berinteraksi dengan alam kerana mereka menggunakan bahan mentah dari hasil alam. Dengan modal yang ada, semua ini disatukan dalam proses pengeluaran bagi mendapatkan keuntungan.

Amalan perniagaan dalam sistem ekonomi konvensional meletakkan objektif memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan kos sebagai matlamat utama sesebuah entiti perniagaan. Objektif material ini kerap kali dilihat kontra de-ngan kedudukan dan keutamaan sistem nilai.
Untuk memaksimumkan untung, keupayaan bagi menjana perolehan yang tinggi dan meminimumkan kos adalah dua perkara asas yang mesti dititikberatkan. Ini biasanya dicapai dengan meletakkan sistem nilai sebagai keutamaan kedua dan tidak kurang juga yang terus mengabaikannya.

Islam, sebaliknya telah meletakkan panduan yang jelas dalam menjawab persoalan ini. Islam membenarkan pengambilan untung dan objektif untuk memaksimumkan keuntungan hanya dibenarkan setelah beberapa perkara asas dipenuhi.
Dalam erti kata lain, konteks memaksimumkan keuntungan hanya dibenarkan setelah beberapa perkara dipertimbang dan dilaksanakan.

Perkara yang pertama, Islam melihat perniagaan sebagai suatu bentuk ibadah di mana ia dilaksanakan untuk mendapat keredaan Ilahi. Sehubungan itu, segala bentuk perniagaan yang bercanggah dengan hukum syarak adalah salah di sisi Islam dan tidak boleh dijalankan.

Ini juga mencakupi amalan perniagaan yang baik di mana dalam usaha mencapai keredaan Allah, amalan perniagaan yang tidak sihat seperti menipu, rasuah, riba, menyorok barang dan sebagainya mestilah dijauhi. Jelas bahawa bentuk perniagaan dan amalan perniagaan yang selaras dengan kehendak ajaran Islam mesti dititikberatkan.

Perkara kedua, dalam menjalankan perniagaan, seseorang peniaga perlu menjalankan perniagaannya selaras dengan konsep adil dari kaca mata Islam. Adil bermaksud tidak ada penindasan dan eksploitasi dilakukan ke atas mana-mana pihak. Antara lain, konteks adil di sini melibatkan keadilan dari segi penggunaan sumber ekonomi, penetapan harga, kontrak, penyampaian informasi dan kebenaran kandungan iklan.

Pengabaian prinsip ini jelas dalam masalah rumah terbengkalai di negara kita. Ketidakadilan ke atas para pembeli rumah menuntut perhatian segera pihak berwajib.
Seterusnya, para peniaga mesti mengambil kira kepentingan masyarakat dalam menjalankan perniagaannya. Sikap mementingkan diri sendiri seperti amalan membuang sisa pencemaran ke dalam sungai sebagai langkah mengurangkan kos adalah salah di sisi Islam.

Selain itu, mengenakan caj yang tinggi dalam keadaan masyarakat terdesak dan memerlukan barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan, juga merupakan suatu amalan yang tidak bermoral dan membelakangkan kepentingan masyarakat.

Hanya setelah mengambil kira ketiga-tiga perkara di atas, barulah persoalan `memaksimumkan' keuntungan boleh dipertimbangkan. Jelas, amalan perniagaan dalam Islam tidak hanya melihat pada keuntungan material sempit yang hanya menguntungkan sesetengah pihak.

Perniagaan yang mengambil kira prinsip-prinsip di atas akan menghasilkan bukan sahaja nilai tambah material, malah turut menjana nilai tambah spiritual dan moral dalam masyarakat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home