Monday, August 13, 2007

20 Maut, 9 Cedera Bas Ekspres Terjunam Ke Dalam Parit

Petikan Utusan Malaysia

TAIPING 13 Ogos - Seramai 20 orang terbunuh, manakala sembilan yang lain cedera dalam nahas bas ekspres paling buruk dalam sejarah negara, di KM 229 Lebuh Raya Utara-Selatan, di Bukit Gantang dekat sini hari ini.
Bas yang dalam perjalanan dari Melaka ke Butterworth dilaporkan sedang menuruni jalan berbukit sebelum terbabas merempuh penghadang jalan sebelah kiri lalu terjunam ke dalam sebuah parit sedalam lima meter kira-kira 4.30 pagi tadi.
Seorang lelaki rakyat Indonesia adalah antara yang terbunuh. Turut maut ialah pemandu bas berkenaan.
Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang belum dikenali, mengalami cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Taiping.
Turut cedera ialah dua warga Vietnam dan seorang rakyat Nepal.
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Raja Musa Raja Razak memberitahu pemberita, setakat ini, hanya 11 mangsa yang terbunuh, kesemuanya lelaki, berjaya dikenal pasti, manakala pengenalan sembilan yang lain, termasuk tujuh perempuan, belum diketahui kerana dokumen pengenalan diri mereka bertaburan di tempat kejadian.
Mereka yang telah dikenal pasti terbunuh ialah pemandu bas, Rohizan Abu Bakar, 38, dari Taman Seri Petaling, Kulim Kedah; rakyat Indonesia H. Abu Bakar yang berasal dari Medan; T. Krishnan, 46, dari Taman Haji Muslim, Kuala Ketil, Kedah; Fadliz Ahmad, 22, dari Jalan Penaga, Taman Maju, Jasin, Melaka; dan Josli Arshad, 22, dari Jalan Dang Merdu, Jembatan Duyong, Melaka.
Nazri Noordin, 35, dari Desa Baiduri, Bandar Baru Ayer Itam, Pulau Pinang; Pang Tee Min, 58, dari Jalan Ong Kim Wee, Melaka; dan Mohd Yazid Md Yusoh, 23, dari Jalan Kolam Air Utama, Fasa 4, Taman Maju, Jasin, Melaka.
Md Basri dari Kampung Pulai Darat, Merlimau, Melaka; dan Kamis Said, 62, dari Batu 22 1/2 Pasir Gembor, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka.
Kesemua mereka terbunuh di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa, Shahril Efendi, 22, dari Alor Star, mati di Hospital Taiping pada pukul 5 petang ini.
Selain kanak-kanak berusia tiga tahun ini, turut dirawat di ICU Hospital Taiping ialah pembantu pemandu bas itu, P. Veeraman, 36, dari Taman Sri Merbau, Sepang, Selangor.
Dua lelaki warga Vietnam yang cedera dan dirawat di Hospital Taiping ialah Quang Ngoi Hung dan Ngu Yeh Hui Vinh, 27.
Turut dimasukkan ke Hospital Taiping ialah Mohd Fauzi Hassan, 27; Zurina Rashid, 23; Mohd Zahidi Che Ahmad, 22; dan Siew Ken Meng (lelaki), 21.
Seorang lelaki warga Nepal, Chatrapati Eyam, 24, adalah mangsa tunggal yang mengalami kecederaan ringan dan telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan pesakit luar.
Raja Musa berkata, kebanyakan penumpang maut berikutan bas ekspres itu remuk dan bumbungnya tercabut, mengakibatkan ada penumpang tercampak dan sebahagiannya tersepit di dalam bas itu.
Katanya, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu berjaya mengeluarkan sebahagian penumpang yang cedera dan memberikan rawatan kecemasan sebelum menghantar mereka ke Hospital Taiping yang terletak kira-kira 20km dari tempat kejadian.
Bomba juga terpaksa menggunakan kren bagi mengangkat bas itu yang dalam keadaan senget untuk mengeluarkan mayat penumpang yang tersepit.
Menurut Pegawai Penguat Kuasa Balai Bomba Taiping, Mazlan Zainal, operasi mengeluarkan semua mayat yang terperangkap dalam bas itu mengambil masa kira-kira tiga jam.
Pasukan bomba mendapatkan bantuan kren untuk mengangkat bas sebelum mengeluarkan mayat yang tersepit dan terperosok.
Mazlan berkata, anggota bomba dari Taiping dan Kuala Kangsar tiba di tempat kejadian kira-kira 4.50 pagi.
Beliau berkata, pasukan itu telah mengeluarkan mangsa yang cedera daripada bas sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Taiping.
Syarikat pengendali Lebuh Raya Utara Selatan, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) turut menutup lorong sebelah kiri lebuh raya bagi membolehkan operasi mengeluarkan mangsa dijalankan.
“Ini kemalangan paling buruk dalam sejarah negara,” kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy kepada pemberita sejurus selepas melawat tempat kejadian dan menziarah mangsa kemalangan yang dirawat di Hospital Taiping.
Pada November 2003, 14 orang maut dan 28 lagi cedera apabila dua buah bas bertembung di Jalan Kuala Lipis-Merapoh di Pahang.
Chan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan hari ini dipercayai akibat kecuaian manusia.
“Punca kejadian daripada siasatan awal adalah kecuaian manusia tetapi ia belum dapat dipastikan.
“Siasatan terperinci telah dimulakan oleh semua jabatan dan agensi terbabit seperti polis, bomba dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan),” katanya.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan bagi mengetahui aspek kesihatan pemandu yang kemungkinan keletihan, mengantuk atau membabitkan penggunaan dadah.
Siasatan terperinci itu turut melibatkan keadaan struktur bas dan reka bentuk jalan, katanya.
Chan berkata, bas yang terlibat dengan nahas itu didaftarkan pada 1987 dan dimiliki Syarikat Kenderaan Bukit Gantang Sdn Bhd dari Taiping.
“Bas ini sudah berusia 20 tahun. Bas telah diperiksa dan mendapat kelulusan Puspakom pada Mei lepas,” katanya.
Chan berkata, bas berkenaan berlepas dari Melaka kira-kira 10.30 malam tadi dan telah melakukan perjalanan kira-kira 400 kilometer.
Rangka bas itu telah ditarik ke Balai Polis Daerah Taiping.
“Bas ini mempunyai pemandu dan pembantu pemandu. Kita akan siasat sama ada pertukaran pemandu telah dilakukan, kerana mengikut peraturan, pertukaran perlu dibuat selepas perjalanan lebih dua jam,” katanya. - Bernama
.......................................
Selepas kejadian sebegini, akan terdendanglah pelbagai langkah, peraturan yang akan dilaksanakan yang kebiasaannya hanyalah 'hangat-hangat tahi ayam'. Bas ekspres wajib ada pemandu kedua, bas perlu berhenti 2 kali, perlu hantar PUSPAKOM, perlu itu, perlu ini. Hanya berkokok seketika sahaja. Selepas itu, perlaksanaannya hanyalah ibarat melepaskan batuk di tangga,
Tak percaya?.. tunggu dan lihat. Percaya ataupun tidak, perkara ini akan berlarutan sehingga musim perayaan yang bakal menjelang tak lama lagi. Lepas tu, mereka-mereka ang berkokok itu hanya akan mengais-mengais tanah untuk menjaga perut masing-masing
Dengan13 saman, dan 2 waran tangkap, tak mampukah pihak berkuasa memberkasnya lebih awal? Tak cukup kakitangan atau sememangnya tak buat kerja?

7 Comments:

Blogger Noushy Syah said...

Al-Fatihah untuk mereka yang terkorban.

SO sad...

3:11 AM  
Blogger cepotet said...

Al fatihah..

huwaaa! baru plan nak balik tepeng by bus this week. tergugat kejap jiwa!

12:21 PM  
Anonymous Anonymous said...

terover hot plk ezad hari ni, ek? takziah utk mangsa2 yg terlibat!

1:06 PM  
Blogger Ezad said...

noushy
al-fatihah. semoga roh-roh mereka dicucuri rahmat

erni
naik dan tawakal lah

nor ash burn
maunya tak geram. dah jadi baru masing2 sibuk itu ini. sibuk la ungkit mcm2 kesalahan pemandu

9:15 PM  
Anonymous Anonymous said...

alfatihah.. semoga Allah mencucuri rahmat keatas mangsa nahas dan menguatkan semangat keluarga mereka semua...

6:44 PM  
Blogger Ezad said...

anonymous
insyaallah

9:34 PM  
Anonymous Anonymous said...

Amiable dispatch and this post helped me alot in my college assignement. Say thank you you seeking your information.

12:44 AM  

Post a Comment

<< Home