Monday, April 24, 2006

Belasungkawa: Negarawan sejati, tak jemu berbakti

TUN Ghafar Baba, negarawan yang dikenali kerana kesetiaannya kepada negara seperti pahlawan Melayu ‘Hang Tuah’, sudah meninggalkan kita semua, apabila menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana penyakit asma di Pusat Perubatan Intan Gleneagles di sini kerana komplikasi jantung, paru-paru dan buah pinggang, kira-kira jam 7.34 pagi semalam.
Ghafar yang menyambut hari lahirnya ke-81, 18 Februari lalu, menghabiskan hampir keseluruhan zaman dewasanya memperjuangkan apa yang penting untuk Melayu menerusi Umno.
Perjuangan beliau yang tidak pernah kenal erti kegagalan menjadi satu model terbaik untuk diikuti masyarakat negara ini.Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai 10 orang anak hasil perkahwinannya dengan Allahyarham Toh Puan Asmah Alang dan seorang anak perempuan, Kartika Sri hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri keduanya, Heryati Abdul Rahim.
Ghafar yang dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, adalah anak kampung yang dibesarkan dalam kemiskinan tetapi beliau tidak pernah menjadi kekurangan itu penghalang untuknya berjaya dalam kehidupan.
Dibesarkan dalam serba kekurangan, beliau menyaksikan adik bongsunya meninggal dunia hanya beberapa hari selepas dilahirkan gara-gara kekurangan makanan berzat. Abangnya pula menyusul ketika berusia empat tahun. Begitu juga tiga saudara perempuannya yang turut meninggal ketika usia masih muda.
Kesengsaraan dalam kehidupan antara pemimpin ulung negara itu tidak berakhir di situ, apabila ibunya meninggal dunia apabila Ghafar baru berusia enam tahun.
Kepahitan hidup cukup menginsafkan Ghafar, anak keenam daripada sepuluh beradik (enam perempuan dan empat lelaki), betapa perlunya dia harus keluar daripada belenggu kemiskinan yang melingkari kehidupannya.
Ketika berusia 14 tahun, beliau menjadi pemungut bola tenis dengan upah 10 sen sehari di Kelab Golf milik penjajah Inggeris, di Kuala Pilah.
Beliau pernah menjadi pemungut bola tenis kepada Yang di-Pertuan Agong pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan takdir menentukan, 20 tahun selepas itu, Ghafar berjaya duduk semeja dengan Tuanku Abdul Rahman apabila beliau yang ketika itu menjadi Ketua Menteri Melaka, menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.
Kerjaya politiknya yang bermula sekitar 1940-an apabila beliau seawal usia 15 tahun bertindak menganggotai Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1948) sebelum diharamkan British dan menyertai Umno pada 1951.
Beliau yang kemudian bertugas sebagai guru, mula dikenali kerana komitmen, dedikasi, pengorbanan serta kesetiaan tidak berbelah bagi kepada Umno.Pada pilihan raya 1955, ketika berusia 29 tahun, beliau memenangi kerusi Ahli Parlimen Melaka Luar dan empat tahun kemudian, pada usia 34 tahun, beliau mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka.
Beliau menjawat sebagai pentabdir utama Kerajaan Melaka selama lapan tahun (Jun 1959-Ogos 1967) dan dilantik sebagai senator selama setahun (Januari 1968-Mei 1969).
Niat tulus Ghafar untuk memajukan orang Melayu terbukti apabila beliau sanggup meninggalkan jawatan Ketua Menteri 1967 untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas Pengerusi Mara yang disandangnya pada 1966.
Di bawah pimpinannya, Mara membuat pelbagai langkah drastik untuk meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu dengan pengenalan Amanah Saham Mara, Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara), Maktab Sains Mara dan sebagainya.
Dua tahun Tunku Abdul Rahman (ketika itu Perdana Menteri) memujuknya mengambil tempat sebagai Menteri Persekutuan tetapi beliau menolak.
Hinggalah Tunku terpaksa melantiknya menjadi Menteri Tidak Berportfolio pada 1967 ketika Ghafar berada di luar negara.
Pada 1969, beliau dilantik Menteri Pembangunan Luar Bandar sebelum bertukar ke Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar pada 1974.
Sepanjang kerjaya politiknya, beliau adalah pemegang rekod sebagai calon paling lama bertanding dalam pilihan raya umum dan memenangi semua pilihan raya bermula pada 1955 hingga 1999.
Beliau juga mewakili Parlimen Jasin untuk lima penggal berturut-turut dari 1978 hingga 1995. Ghafar pernah menjadi Pengerusi Umno Melaka, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah.
Beliau seterusnya menjawat beberapa jawatan penting termasuk Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dan Naib Presiden Umno mulai 1962 hingga April 1987 dan jawatan terakhir beliau dalam kerajaan ialah sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar sebelum melepaskan jawatan itu pada 1993.
Jawatan tertingginya adalah Timbalan Presiden Umno disandangnya pada 24 April 1987 selepas mengalahkan Datuk (kini Tan Sri) Musa Hitam dengan majoriti 40 undi. Beliau kemudian dilantik Timbalan Perdana Menteri pada 7 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993. Sebelum itu, beliau menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada 1990.
Bagaimanapun, Ghafar melepaskan jawatan Timbalan Presiden Umno pada 1996 apabila terpaksa menarik diri dan memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam Barisan Nasional (BN), Ghafar menjadi Setiausaha Agung sejak 19 September 1974 sehingga 25 Oktober 1993.
Sebagai orang dihormati semua pihak, Ghafar sering muncul sebagai orang tengah seperti krisis membataskan kuasa Raja-Raja Melayu (1983), kepemimpinan MCA (1984), kepemimpinan Parti Bersatu Sabah - PBS (1985) dan krisis kepercayaan kepemimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (1987).
Bagi menghargai jasanya kepada negara, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dianugerahkan gelaran Tun sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada 1995.
Kehilangannya akan dirasai tetapi segala jasanya akan kekal dalam lipatan sejarah tanah air sebagai individu meletakkan kepentingan negara dan bangsa melangkaui segalanya.
Al-Fatihah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home