Wednesday, July 20, 2005

Pendedahan AP: Apa signifikannya kepada rakyat?

SENARAI pemegang permit import (AP) sudah didedahkan. Ada yang terkejut tetapi ada juga yang sudah menjangkanya.
Walaupun dinafikan, terbukti dakwaan bahawa sebahagian kecil syarikat menerima terlalu banyak AP adalah benar, dengan lebih separuh daripada 67,158 permit yang dikeluarkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, diberikan kepada tiga pihak yang berlainan.
Tiga datuk; Datuk Seri Syed Azman Syed Ibrahim, Datuk Mohd. Haniff Abdul Aziz dan Lt. Jen (B) Datuk Azzuddin Ahmad menjadi penerima terbanyak dengan 15,759 AP.
Selain Azzuddin, nama Syed Azman dan Mohd. Haniff merupakan rahsia terbuka dalam industri sebagai penerima utama permit itu sejak dua tahun lalu. Dan terbukti ketiga-tiga datuk ini sudah melangkaui tahap Raja AP yang dikenali ramai sebelum ini, Tan Sri Nasimuddin SM Amin, yang jatuh ke tempat kedua dengan 12,524 permit.
Pihak ketiga ialah sebuah syarikat pengedar kenderaan Hyundai, Hyumal Motor Sdn. Bhd., dengan 8,573 AP. Ia menimbulkan sedikit isu apabila Tan Sri Vincent Tan disenaraikan sebagai salah seorang pemegang saham, selain Berjaya Group Bhd. dan Sime Darby Bhd., sedangkan AP ini sepatutnya diberikan kepada syarikat dengan sekurang-kurangnya 70 peratus pegangan bumiputera.
Nasib baik semalam Hyumal menerangkan bahawa sudah berlaku perubahan dalam pegangan sahamnya dengan Sime Darby memegang 51 peratus kepentingan dan selebihnya dikuasai oleh individu serta syarikat bumiputera.
Ketelusan seperti ini memang amat dialu-alukan, tetapi apa yang lebih mahu diketahui ialah apa signifikannya kepada rakyat?
Terbukti, sistem AP memang bersandarkan naungan politik. Memang benar semua orang boleh memohonnya, tetapi hanya mereka yang teristimewa yang mendapatnya.
Ada 35 buah syarikat yang menerima AP francais manakala 76 buah syarikat lain menerima AP terbuka.
Daripada nama-nama yang disenaraikan, ada yang berulang-ulang. Nama dua daripada tiga datuk itu, sebagai contoh, dicatat dalam enam buah syarikat yang memegang AP francais.
Nama-nama bagi AP terbuka bagaimanapun lebih menyeluruh, dengan nama-nama yang `familiar' dalam dunia politik. Jumlah AP yang diterima oleh mereka juga adalah jauh lebih kecil berbanding penerima AP francais. Ada yang menerima 22 AP sahaja.
Antara penerima AP terbuka ialah bekas Pengerusi Tetap UMNO, Allahyarham Tun Sulaiman Ninam Shah; Menteri Pelancongan, Datuk Dr. Leo Toyad; bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah dan bekas Ahli Parlimen Limbongan, Wan Mohd. Najib Wan Mohamad.
Turut tersenarai ialah Datuk Yaakub Muhamad atau Yamud, bekas Ketua UMNO Bahagian Machang yang menjadi perhatian bulan lalu selepas pencuri memasuki rumahnya dan melarikan wang serta barang kemas bernilai RM1.4 juta.
Penerima AP francais pula sebahagiannya terdiri daripada ahli perniagaan yang dikenali umum, seperti Datuk Abdul Hamid Ibrahim daripada Torino Motor Industries yang mengedar Fiat, Syed Hussain Syed Mohammad dari Sisma Auto yang mengedar Jaguar serta penerima AP yang pertama sekali `diumum', walaupun hanya mendapat 95 AP, iaitu Datuk Mokhzani Tun Dr. Mahathir yang bertanggungjawab terhadap edaran kereta Porsche.
Sebahagian lagi agak sukar untuk ditentukan status mereka. Ahli perniagaankah? Ahli politikkah? atau kerabat-kerabat dirajakah?
Antaranya ialah Muhammad Fadhil Ahmad dan Zahari Jaffar yang menerima sehingga 1,807 AP untuk Competitive Supreme dan bersama Razak Al-Malique Hussain, mendapat 1,080 AP lagi untuk Brooklands Motor.
Begitu juga Tunku Datuk Zainol Tengku Izham dan Ramzia Arshad dari Amazing Tempo yang menerima 2,025 AP.
Syed Azman dan Mohd. Haniff, juga tidak kurang misterinya. Kedua-duanya dikatakan bekas pegawai di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, masih muda dan baru sahaja menceburkan diri dalam perniagaan beberapa tahun lalu. Tentunya mereka ada kelebihan kerana menerima jumlah AP terbanyak.
Namun, memandangkan nama-nama penerimanya sudah didedahkan, sekarang, timbul pula persoalan mengenai langkah seterusnya dalam isu AP ini.
Rungutan utama Tun Dr. Mahathir Mohamad, selain kemasukan berlebihan kereta-kereta import melalui sistem AP ini, ialah syarikat-syarikat pemegang permit membuat pengisytiharan harga kereta masing-masing di bawah nilai, sehingga merugikan kerajaan ratusan juta, mungkin berbilion ringgit, akibat hasil yang tidak dapat dikutip.
Kastam Diraja Malaysia menyatakan akibat peraturan perdagangan, mereka tidak boleh berbuat apa-apa selain menerima harga yang diisytiharkan oleh pemegang AP.
Oleh itu, bagi tahun lalu, mereka hanya mengutip cukai berjumlah RM849.52 juta daripada kira-kira 67,000 kereta yang dibawa masuk menggunakan AP.
Secara mudah, ia bermakna setiap kereta yang dibawa masuk menggunakan AP dikenakan cukai purata RM12,679 setiap satu. Logikkah?
Dipercayai hampir semuanya adalah kereta mewah, tetapi yang dikutip cuma RM12,679 sahaja.
Bermakna harga yang diisytihar adalah jauh lebih rendah daripada nilai purata itu memandangkan Malaysia mengenakan cukai dan duti antara 140 peratus hingga 300 peratus terhadap kereta-kereta import.
Memandangkan senarai sudah diteluskan, tentunya tidak sukar untuk memburu mereka yang membuat penipuan harga ini.
Hentikan kebocoran atau ketirisan ini segera. Sekiranya ia dilakukan secepat mungkin, lebih banyak hasil dapat disalurkan untuk faedah rakyat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home