Resolusi Perhimpunan Agung UMNO 2005 Diharap Mampu Memperkukuh Hala Tuju Dan Misi Parti Secara Positif
TARIKH 19 dan 23 Julai ini adalah tarikh penting bagi semua ahli UMNO kerana untuk selama seminggu perwakilan UMNO seluruh negara berkumpul di Dewan Merdeka untuk menyatukan minda mengumpul intipati perbahasan bagi mencari resolusi bermakna memperkukuh hala tuju parti.
Sebagaimana biasa, banyak yang akan diperbahaskan tetapi satu isu sahaja yang mungkin menjadi topik hangat iaitu isu politik wang yang akan diselang selikan dengan usul ekonomi, agama dan juga pendidikan.
Usaha UMNO membanteras politik wang dilihat sangat konsisten ketika ini dan ia dibuat dengan teliti ibarat ‘menarik rambut dalam tepung’.
Fungsi Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen terus diperakui sebagai satu mekanisme serius Majlis Tertinggi (MT) membanteras gejala tidak molek ini.
Ia diiring pula oleh penubuhan Lembaga Rayuan yang dipengerusikan oleh bekas peguam terkenal, Tan Sri Zuki Kamaluddin yang melaksanakan timbang tara adil serta telus kes-kes berkenaan.
UMNO peka bahawa ia sentiasa berada di bawah pemerhatian umum. Ia sentiasa mengawasi kedudukan dan aktivitinya. Sebenarnya setiap tahun ada saja perkara yang menarik perhatian umum dan ia adalah perkara-perkara positif yang sedang berlaku dalam UMNO.
Mengikut pandangan penganalisis politik, UMNO sedang berusaha menyesuaikan diri dengan zaman ketika mana rakyat menuntut para pemimpin UMNO terdiri di kalangan mereka yang boleh dicontohi dan diteladani.
Sudah ada bukti dan petunjuk bahawa UMNO mula hendak bergerak ke arah itu.
Usaha UMNO untuk membanteras amalan politik wang dilihat sebagai bukti sudah ada hala tuju jelas untuk mengembalikan kegemilangan itu. Sudah wujud perbincangan secara terbuka mengenai langkah-langkah yang harus diambil oleh parti untuk membanteras politik wang.
Perbincangan rancak ini berlaku di semua peringkat, baik di kalangan ahli biasa di kedai-kedai kopi mahupun di kalangan pemimpin bahagian dan nasional. Ia suatu yang sangat positif.
Veteran UMNO yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan sri Musa Hitam dalam satu wawancara dengan akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, keadaan ini baginya adalah satu turning point dalam sejarah UMNO sebagai sebuah parti politik yang memerintah.
Ketika perbincangan di kalangan ahli-ahli itu berjalan, atas nama UMNO juga tindakan-tindakan tegas sedang dilaksanakan oleh institusi yang juga ditubuhkan oleh UMNO iaitu Lembaga Disiplin.
Institusi ini menjalankan tugas dan tanggungjawab mengambil tindakan disiplin terhadap ahli-ahli dan pemimpin UMNO dari yang rendah serendah-rendahnya kepada yang tinggi setinggi-tingginya.
Ia tidak pernah terjadi dalam sejarah UMNO. Belum pernah sebegini ramai ahli dan pemimpin yang dikenakan hukuman. Sejak pemilihan yang lalu kita boleh melihat statistiknya.
Perkembangan ini menimbulkan berbagai pendapat yang positif dan negatif.
Ahli-ahli UMNO harus memutuskan sama ada mereka hendak rasa kasihan atas perikemanusiaan atau hendak mengambil tindakan yang tegas dan tidak berkompromi dalam soal rasuah politik ini.
Setakat ini UMNO mengambil tindakan ke atas pemberi rasuah tetapi tidak penerima. Apakah tidak seharusnya kedua-dua pihak dikenakan tindakan kalau UMNO benar-benar serius?
Tan Sri Musa berkata, kedua-dua pihak yang memberi dan yang menerima pada hakikatnya sama-sama bersalah.
“Tetapi pada pendapat saya apa yang terjadi sekarang ini adalah satu permulaan. Sebagai permulaan proses ini harus dilaksanakan dengan bukti-bukti yang lengkap.
“Saya percaya ada kes tertentu di mana penerima tampil memberikan bukti dan barangkali mereka itu diberikan perlindungan. Saya percaya Lembaga Disiplin berpendapat sekiranya saksi-saksi itu tidak dilindungi pada masa akan datang mungkin sukar untuk mereka mendapatkan bukti-bukti. Ini soal pengumpulan bukti.
“Dalam kebanyakan kes rasuah lazimnya mereka yang menerima selalunya tidak mahu mengaku. Saya percaya untuk mendapatkan bukti-bukti yang jelas Lembaga Disiplin terpaksa memanggil penerima yang sedia memberikan bukti.
Amalan memberikan perlindungan kepada saksi ini bukanlah sesuatu yang unik dalam proses pengadilan,” katanya.
Beliau berkata, pucuk pimpinan perlu membuktikan bahawa mereka bukan saja serius dalam deklarasi tetapi juga mengambil tindakan tegas. Orang mungkin bertanya kenapa A saja yang dikenakan tindakan tetapi B, C, D, E sampai Z tidak. Dalam masyarakat begitu juga; ada banyak pencuri, penyamun dan penipu tetapi tidak semuanya dapat ditangkap.
Kalau UMNO meneruskan tindakan tegas ini adalah diharapkan pada masa akan datang mereka yang memberi dan menerima rasuah politik akan berkurangan, sebaik-baiknya dihapuskan. Apabila makna rasuah politik itu difahami oleh ahli-ahli UMNO secara mendalam mereka akan jadi lebih takut melakukannya.
“Dalam beberapa tahun yang lepas saya berasa sangat khuatir kerana sense of values di kalangan golongan muda semakin menurun. Mereka tidak teragak-agak menerima wang yang berupa rasuah atau habuan selepas menjalankan tugas tanpa ada rasa malu.
“Persepsi dan budaya sudah bertukar. Mereka mengatakan ``apa salahnya terima wang'' malah mereka merasakan amalan memberi rasuah itu sudah menjadi tugas dan tanggungjawab orang yang mahukan undi.
“Saya harap tindakan yang diambil ini dapat mengingatkan mereka dan mematahkan mereka kembali kepada nilai-nilai benar yang berteraskan kepada slogan kepimpinan melalui teladan dan bersih cekap amanah yang telah ditonjolkan kepada masyarakat awal-awal dulu,” katanya.
Sebenarnya ahli-ahli akar umbi peringkat cawangan dan bahagian seluruh negara menyokong usaha pucuk pimpinan tertinggi parti mambanteras rasuah politik. Ahli-ahli UMNO harus bangga kerana parti mereka tidak mahu imejnya terjejas sehingga kepercayaan dan keyakinan rakyat merosot.
Tinjauan rambang UMNO-Online baru-baru ini mendapati, perasaan ahli akar umbi atau golongan veteran parti berasa yakin usaha ini akan berjaya juga walaupun terpaksa berdepan halangan.
Hanya dengan langkah yang tegas begini UMNO dapat menunjukkan kepada masyarakat bahawa ia sebuah parti yang serius sehingga sanggup mengambil tindakan termasuk terhadap pemimpin yang berjawatan tinggi.
Kalau kita takut atau malu kita tidak boleh mengambil tindakan ke atas sesiapa pun. Sesiapa pun boleh memberi dan menerima wang, dan kita hanya berbisik sesama sendiri. Inilah yang telah terjadi selama ini.
Ahli UMNO, tidak kira apa pangkat dan jawatan masing-masing dalam parti yang dikenakan tindakan amaran atau penggantungan keahlian dinasihatkan supaya jangan meragui ketelusan proses rayuan Lembaga Disiplin UMNO kerana proses yang dilaksanakan untuk tujuan itu dibuat dengan teliti serta adil.
Pengerusi Lembaga Rayuan, sayap kanan Lembaga Displin UMNO, Tan Sri Zuki Kamaluddin menegaskan bahawa proses semakan dan penelitian yang dilaksanakan oleh lembaga itu dibuat secara professional dengan memberi penekanan kepada aspek keadilan yang sebenar-benarnya.
Beliau berkata, dalam proses itu, mana-mana ahli UMNO yang dikenakan tindakan disiplin adalah dijamin hak mereka untuk mengemukakan rayuan untuk dipertimbangkan dengan seadil-adilnya.
“Proses rayuan ini dijamin sepenuhnya dengan tata etika yang adil atau saksama malah ia adalah satu peluang terbaik untuk mereka yang berdepan tindakan disiplin mengemukakannya.
“Kita menyemak dan meneliti dengan seadil-adilnya malahan jika katakanlah seseorang itu dikenakan tindakan oleh panel A sebagai contoh, panel A itu tidak akan terlibat untuk memproses rayuan itu. Ia dibuat secara adil dan bebas daripada sebarang kemungkinan berlakunya tindakan berat sebelah dan sebagainya.
“Saya tegaskan di sini bahawa proses rayuan yang dikendalikan ini mengutamakan keadilan sepenuhnya untuk mana-mana ahli UMNO yang dikenakan tindakan disiplin,” katanya untuk UMNO-Online.
UMNO-Online difahamkan, Lembaga Disiplin UMNO sedang merangka satu sistem penghakiman yang lebih kemas termasuk mewujudkan dua mahkamah keadilan dan lembaga rayuan untuk membicarakan ahli yang melanggar peraturan parti.
Satu pasukan penyiasat menyerupai pasukan polis akan ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan terhadap seseorang ahli itu.
Satu badan pendakwaan yang bertindak seperti timbalan pendakwa raya di mahkamah sivil juga akan ditubuhkan untuk mendakwa pihak yang tertuduh.
Pada masa ini prosedur untuk menghukum seseorang ahli yang dituduh melanggar peraturan seperti politik wang kurang tersusun.
“Jika tidak ada halangan mungkin sistem yang menyerupai sistem penghakiman negara ini dapat dilaksanakan tahun depan.
Mengikut cadangan Lembaga Disiplin, sistem penghakiman itu akan mewujudkan dua mahkamah menyerupai mahkamah tinggi dan rendah yang akan membicarakan sesuatu kes mengikut tahap keseriusannya.
Selepas dijatuhi hukuman, kata beliau, pesalah akan dibenarkan membuat rayuan di lembaga rayuan.
Oleh kerana perkara itu masih di peringkat cadangan, menurut beliau, pihaknya belum dimaklumkan calon yang akan dipilih untuk menjadi hakim sama ada daripada kalangan ahli UMNO atau pihak luar.
Lembaga Disiplin UMNO tidak akan tunduk pada mana-mana tekanan atau kritikan berunsur kecewa atau marah tetapi akan lebih tegas, pantas dan tersusun dalam tindakannya selepas ini.
Penyusunan semula seperti mana ditegaskan sendiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak itu membabitkan usaha memberi ‘taring’ dan meningkatkan kredibiliti lembaga itu khususnya memperkemas system pengadilan/pendakwaannya.
Zuki berkata, sebarang kritikan yang berunsur kemarahan dan kekecewaan akibat dikenakan tindakan tidak akan dilayan malah tidak mustahil pula mereka yang berkenaan akan terus dipantau bagi mengelak timbul masalah berbangkit.
Menurutnya, Lembaga Disiplin UMNO berpendapat mengkritik dengan niat marah dan mahu merendah-rendahkan kredibiliti lembaga itu adalah suatu pengkhianatan terhadap kewibawaan UMNO membanteras amalan politik wang.
“Kita menyediakan proses rayuan dan mana-mana pihak yang dikenakan tindakan tatatertib oleh Lembaga Disiplin UMNO dan tidak puas hati boleh mengemukakan rayuan.
“Kita tetap akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap rayuan-rayuan itu…bukanlah dengan mengkritik, menghentam dengan menggunakan surat khabar seolah-olah mereka yang dikenakan hukuman ini dikhianati…tidak diberi keadilan dan macam-macam lagi.
“Malah sepanjang proses siasatan dan pendengaran kes-kes, kita sentiasa ingatkan mereka supaya menyediakan bukti-bukti pembelaan diri..mereka mendapat keadilan sewajarnya.
“Jika bersalah, kita tetap lah akan kenakan hukuman berpandukan tahap kesalahan itu serta berpandukan garis panduan ditetapkan parti..jadi apabila bertindak mengadukannya kepada surat khabar..ia bukanlah tindakan bijak.
“Lembaga Disiplin UMNO yang ditubuhkan atas restu Majlis Tertinggi, diberi kuasa oleh pemimpin utama parti dan bermotifkan memelihara kepentingan ahli-ahli parti tidak akan sekali-kali tunduk dengan tekanan seperti itu malah kita akan lebih tegas selepas ini,” katanya semasa dihubungi.
Beliau mengulas tindakan beberapa ahli Umno yang digantung keahlian kerana politik wang mempertikaikan hukuman serta cara penyiasatan yang dijalankan oleh Lembaga Disiplin, dengan ada yang mendakwa tidak langsung dipanggil memberi keterangan membela diri.
“Jangan cuba berdolak-dalik dengan alasan atau andaian tidak sepatutnya kerana lembaga bertindak mengikut undang-undang tatatertib parti dan kita akan lebih tegas lagi selepas ini,” tegas beliau.
Beliau bagaimanapun terus mengingatkan mereka yang dikenakan hukuman oleh lembaga itu mengemukakan rayuan secara rasmi secepat mungkin dan menghentikan tindakan menggunakan akhbar sebagai medan ‘melepas perasaan’..
“Dalam hal ini, pihak akhbar juga janganlah terlalu ghairah untuk mensensasikan berita seperti ini kerana dalam banyak perkara, mereka tidak faham prosedur dan tindakan yang diambil oleh pihak Lembaga Disiplin UMNO.
“Ada perkara tertentu yang kita terpaksa rahsiakan, ada yang kita perlu hebahkan dan ada yang mesti kita sembunyikan mengikut tatacara undang-undang…jadi jika terlalu mensensasikan berita hanya mengeruhkan suasana…bagi mereka yang marah dan tak puas hati kenapa tidak kemukakan rayuan rasmi?” katanya.
Ada penganalisis politik berpendapat, apabila seseorang itu berkuasa terlalu lama ia mewujudkan keadaan yang disebutkan power corrupts and absolute power corrupts absolutely. Ini satu kenyataan.
Apabila kita sudah berkuasa terlalu lama kita merasakan kita boleh buat apa saja kerana kita berkuasa. Orang merasakan apa guna berkuasa kalau tidak dapat menggunakan kuasa yang ada.
Mentaliti ini sudah wujud beberapa lama dalam UMNO. Mentaliti ini membayangkan nilai dalam UMNO yang semakin lama semakin menurun. Harus ada tindakan yang tegas dan teratur yang diambil untuk membendungnya.
Adalah diharapkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2005, dapat ditubuhkan satu jawatankuasa yang diberikan tanggungjawab untuk mencari jalan yang terbaik untuk mengatasi gejala politik wang ini.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home