Wednesday, February 07, 2007

RM40 Billion Pinjaman Baru PKS Lulus

Oleh JOHARDY IBRAHIM
(Petikan Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Sebanyak RM40 bilion pinjaman baru kepada lebih 84,000 akaun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah diluluskan sepanjang tahun lalu, dengan RM5 bilion daripadanya melalui institusi perbankan Islam.
Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, ia menunjukkan komitmen kerajaan bagi memastikan PKS memperoleh akses kepada kemudahan pembiayaan menerusi pelbagai inisiatif.
Katanya, pembiayaan kewangan daripada institusi kewangan Islam kepada PKS telah menunjukkan trend menaik yang memberangsangkan iaitu tumbuh pada kadar purata tahunan 34.2 peratus bagi tempoh enam tahun dari tahun 2001 hingga 2006.
Sehingga akhir 2006, ujarnya, pembiayaan Islam telah mencecah RM10 bilion, mewakili 9.6 peratus daripada keseluruhan pinjaman yang dikeluarkan dalam sistem perbankan di negara ini.
Jumlah tersebut, kata beliau, adalah sangat besar dibandingkan pada akhir 2000, yang hanya berjumlah RM1.7 bilion atau 2.4 peratus daripada keseluruhan sistem perbankan.
Dalam konteks ini, menurutnya lagi, wujud potensi besar bagi institusi kewangan Islam untuk memainkan peranan lebih besar bagi menyediakan pilihan luas kepada PKS dalam memenuhi keperluan kewangan mereka.
‘‘Kini, PKS daripada pelbagai sektor memerlukan produk dan perkhidmatan khusus serta berlainan daripada yang biasa ditawarkan.
‘‘Oleh itu, institusi kewangan Islam perlu memahami keperluan mereka dan berupaya menawarkan bukan saja produk inovatif baru tetapi pakej pembiayaan yang menarik.
‘‘Pada masa yang sama, institusi tersebut perlu menggandakan usaha bagi mewujudkan kesedaran di kalangan PKS mengenai ciri-ciri unik produk dan perkhidmatan Islam,’’ katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama sempena pemeteraian perkongsian strategik Credit Guarantee Corporation Bhd, (CGC) dengan lapan institusi kewangan Islam tempatan.
Ia terdiri daripada Affin Islamic Bank Bhd., AmIslamic Bank Bhd., Bank Islam Malaysia Bhd., Bank Muamalat Malaysia Bhd., CIMB Islamic Bank Bhd., EONCAP Islamic Bank Bhd., Hong Leong Islamic Bank Bhd. dan RHB Islamic Bank Bhd.
Mengulas mengenai perkongsian strategik itu, Dr. Zeti berkata, ia adalah detik penting kerana ia memenuhi dua matlamat utama kerajaan iaitu meningkatkan akses PKS kepada pembiayaan dan mempromosikan pertumbuhan kewangan Islam.
Menurutnya, dalam tempoh lima tahun ini, industri perbankan Islam Malaysia telah berterusan mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 20 peratus setahun.
Malahan, ujar beliau, ia juga menjadi penyumbang penting kepada paras keuntungan yang kukuh dicatat oleh kumpulan-kumpulan perbankan.
‘‘Daripada segi aset, sektor perbankan Islam kini mewakili 12 peratus daripada keseluruhan sistem perbankan negara ini, dan disasar mencapai 20 peratus pada tahun 2010,’’ katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home