Seminar
Tempat : MITC, Ayer Keroh, Melaka
Anjuran : Majlis Tindakan Ekonomi dan Sosial Bumiputera, Jabatan Ketua Menteri Melaka
Seminar hari ini mengenengahkan 3 kertas kerja
- Membudayakan Perniagaan Dalam Masyarakat Melayu
- Memotivasikan Pemikiran Masyarakat Melayu Dalam Bidang Perniagaan
- Peluang dan Bantuan Kerajaan Untuk Membantu Usahawan Bumiputera Dalam RMK-9
Ulasan
Setelah dijajah lebih 400 tahun oleh bangsa asing, kaum Melayu telah dibentuk sebagai suatu bangsa yang tidak mampu membina jati diri dalam bidang ekonomi. Ini kerana, penjajah yakin sekiranya bangsa Melayu diberi peluang ekonomi, mereka akan menggunakan kuasa ekonomi tersebut untuk mengusir penjajah. Oleh yang demikian, acuan ini kekal sehingga hari ini. Bangsa Melayu menjadi bangsa yang takut untuk berniaga malah menganggap menjadi peniaga, seseorang Melayu tidak akan mampu menyara keluarganya sendiri. Mereka juga acapkali diberi penghinaan oleh bangsanya sendiri.
Bangsa Melayu bekerja hanya untuk menyara keluarga dalam jangka masa yang singkat. Ini bermakna mereka tidak memikirkan nasib anaknya dikemudian hari. Mereka bekerja semata-mata untuk meneruskan kehidupan mereka anak beranak di samping melunaskan segala hutang piutang yang dibuatnya. Seringkali kita mendengar keluhan bangsa Melayu yang mereka tidak berani hendak berhenti kerja kerana menanggung hutang. Walaupun tidak suka akan pekerjaannya tetapi dia terpaksa bekerja kerana memikirkan yang dia hendak menampung kehidupan. Seolah-olah jika dia tidak bekerja di situ, segala kehidupannya akan berakhir.
Bagi kaum Cina, mereka bekerja untuk mencipta kejayaan yang lebih cemerlang di masa hadapan. Sebagai contoh, seorang anak cina bekerja sebagai mekanik dengan gaji RM300 sebulan. Namun setelah mahir mengenai selok belok membaiki keenderaan, dia akan berhenti kerja dan membuka bengkelnya sendiri. Dalam pada masa yang sama, bekas taukeynya tidak menaruh perasaan dendam atau terasa seperti terancam kerana lahirnya pesaing yang baru. Mereka hanya membiarkan perkara itu berlaku kerana, itulah budaya mereka, berniaga. Tidak seperti bangsa Melayu. (cerita ini aku ambil ketika seminar seminar perniagaan runcit dalam RMK-9) Ketika sessi soal jawab seorang peserta telah bangun untuk menyatakan ‘nasib malangnya’. Beliau merupakan pengusaha kedai kek di negeri Melaka. Di samping mempunyai pekerja tetap, beliau juga melatih beberapa orang graduan lepasan sebuah IPTA yang tidak bekerja menjadi seorang usahawan untuk beberapa tahun. Setiap tahun, ‘pelajarnya’ keluar dan membuka kedai kek juga. Sehingga la tahun lepas, beliau memberi amaran kepada ‘pelajarnya’ supaya mengadakan usahasama dengannya jika mahu membuka kedai kek. Rupa-rupanya usahawan kek ini merasa terancam dengan anak didiknya yang membuka kedai kek. Kerana dia menganggap yang pelajarnya itu adalah pesaingnya dan pelajar ini mampu membunuh perniagaannya. Apakah wajar seorang guru takut dengan anak didiknya sendiri? Bukankah ular yang menyusur akar takkan hilang bisanya? Namun inilah usahawan Melayu.
Ekuiti bumiputera hari ini adalah dalam lingkungan 18% sahaja. Jika dikaji secara mendalam hampir keseluruhan hasil ekuiti ini adalah kerana bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan melalui pelbagai agensinya seperti MARA, bank Pembangunan dan sebagainya. Jika tiada usaha-usaha yang digerakkan oleh kerajaan, maka bangsa Melayu sebenarnya tidak mempunya sebarang asset dalam ekonomi negara. Namun begitu, acapkali kita dengar, apabila kerajaan membantu seseorang usahawan, maka usahawan itu dilemparkan dengan pelbagai tuduhan. Kononnya usahawan ini kroni YB ini, usahawan ini serah ini pada YB ini dan macam-macam lagi. Tuduhan-tuduhan ini bukan dilemparkan oleh orang Cina, tetapi dilemparkan oleh orang Melayu sendiri.
Sampai bilakah scenario sebegini akan terus berlaku?Kesimpulannya adalah, jika kita mahu bangsa Melayu menguasai ekonomi negara sendiri, anjakan perdana perlu dilakukan. Anjakan ini perlu didahulukan dengan mengubah sikap bangsa Melayu sendiri, bukan orang lain. Orang lain tak pernah kacau kita, gertak barangkali adalah.....
Nota tapak kakiku
Semua ceramah yang di sampaikan hebat-hebat belaka. Berkobar-kobar kami dibuatnya. Tapi disebalik pengucapan yang berapi-api itu, yang pastinya penceremah-penceramah tersebut adalah penjawat awam. 2 Pengarah dan 1 Penolong Pengarah. Yang menerima gaji bulanan. Tiada risiko, malah tiada sebab untuk tidak mendapat gaji/gaji lewat. Fahamkah mereka jiwa dan raga usahawan?
0 Comments:
Post a Comment
<< Home