Monday, January 08, 2007

Pengisytiharan Majlis Perbandaran Jasin 15 Jan Ini


JASIN, 7 Jan : Hanya tinggal seminggu sahaja lagi Majlis Pengisytiharan Menaik Taraf Majlis Daerah Jasin (MDJ) kepada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) akan berlangsung di Stadium Jasin, di sini.
Majlis tersebut akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob pada 15 Januari ini.
Untuk tujuan tersebut, semua pihak khususnya, jabatan-jabatan, agensi kerajaan serta penduduk di daerah Jasin sudah mula membuat persiapan sebelum berdepan dengan hari yang penuh bersejarah itu.
Sejak diumumkan selaku Majlis Perbandaran pada 1 Januari 2007, daerah Jasin sudah pun menampakkan pembaharuan dari pelbagai sudut termasuklah kepesatan pembangunan, infrastruktur dan keceriaan kawasan persekitaran.
Antara pelaksanaan yang perlu dibanggakan oleh penduduk di daerah Jasin ialah dengan tertubuhnya Akademi Pelancongan Melaka (APM) dan pembinaan 4,000 unit rumah di Taman Kesang Impian.
MDJ dinaiktaraf kepada MPJ ekoran daripada daerah berkenaan mencakupi lima kriteria utama yang ditetapkan kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk bergelar Majlis Perbandaran.
Nota Tapak Kakiku
Selepas dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran, sudah pastinya daerah Jasin menawarkan pelbagai peluang untuk direbut, khususnya kaum bumiputera. Banyak taman perumahan, kawasan perdagangan dan perindustrian bakal didirikan bagi merancakkan perkembangan ekonomi daerah ini. Adalah malang bagi kita jika sekadar melihat tanpa merebut peluang yang terbentang luas.
Ini adalah salah satu faktor penyebab aku beralih bidang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home