Monday, March 26, 2007

Jawapan Kepada Persoalan

Bismillah..
Aku dapat soalan ni dari seorang teman blog, Su Purple
Nak tanya sikit boleh, adakah disebabkan sikap Phd orang melayu atau sikap melayu suka mengikut orang lain yang menyebabkan melayu jadi mundur. Suka mengikut orang maksudnya kalau jiran sebelah jual nasi lemak, maka orang lain pun jual juga nasi lemak.

Soalan ni sungguh menarik. Tapi jawapan ni adalah pandangan aku sahaja. Mungkin ramai orang tak bersetuju. Walaubagaimanapun, aku akan menerima segala pandangan pembaca dengan hati terbuka.

Perniagaan makanan merupakan perniagaan typical orang melayu. Seringkali kita melihat dalam sesuatu kawasan kampong atau taman perumahan, terdapat beberapa warung nasi lemak atau warung goreng pisang/kuih muih. Malah jika diteliti, kesemua konsep warung-warung ini adalah sama. Sebagai contoh, jika menjual goreng pisang/kuih muih, sudah pasti, tiada meja kerusi disediakan. Ini bermakna, kuih tersebut akan dibawa pulang oleh pelanggan. Rupa warungnya pula adalah sekadar meja kecil untuk meletak produk jualan, payung dan kerusi untuk si tauke. Manakala, jenis produknya juga hampir sama. Goreng pisang, karipap, popia, tauhu sumbat dan lain-lain lagi. Begitu juga dengan gerai nasi lemak. Kedudukan meja dan kerusi yang tidak stabil, bekas air basuh tangan yang kosong pada tekonya tapi penuh pada takungannya dan fenomena tisu habis. Produknya pula, nasi lemak lauk sambal ikan bilis, kacang goreng dan telur goreng serta hirisan timun.
Perniagaan sebegini menjadi ikutan di kalangan orang melayu. Kebanyakan warung orang melayu, inilah rupanya. Kalaupun yang teratur sedikit, kita boleh lihat di medan-medan selera. Keadaannya agak teratur dan bersih.
Apabila seseorang memulakan perniagaan sedemikian di sesuatu kawasan, sudah pasti beliau mampu menarik ramai pelanggan. Ini kerana hanya dia sahaja yang menjalankan perniagaan tersebut. Tetapi apabila banyak permintaan, maka timbullah perasaan ingin membuka perniagaan yang sama oleh orang lain. Di sinilah kelemahan kebanyakan orang Melayu. Mereka tidak mencipta sesuatu yang baru. Perniagaan mereka sama sahaja sedangkan dalam perniagaan, keunikan merupakan perkara penting untuk menawan hati pelanggan. Jika perniagaan mereka tidak mendapat sambutan, mulalah timbul perasaan hasad dengki di dalam hati mereka. Maka akan timbul la cerita kedai si polan tu kena tabur nasi basi, tauke kedai kena penyakit misteri dan macam-macam lagi. Sikap ini wujud kerana orang kita tidak berani menghadapi persaingan. Walhal, persaingan itu adalah sangat baik dimana kita dapat mempertingkatkan kualiti produk dan perkhidmatan kita.
Dengan adanya perasaan hasad dengki ini, sampai bila pun kaum kita tak akan maju. Mana taknya, ada 2 peniaga nasi lemak, sorang mati kena santau. Timbul lagi sorang, sorang pulak jatuh bankrupt, timbul lagi sorang, sorang lagi dah tak berniaga sebab warung kena tolak dik pihak berkuasa tempatan sebab bina warung haram. Yang seorang tu maintain, tapi perniagaan dok takuk tu juga, tak kembang-kembang. Jadi, bila kita nak maju?
Tak salah kalau kita berniaga bersebelahan dengan pesaing kita. Yang paling penting, kita mesti tau apa kelemahan dan kekuatan pesaing dan diri kita sendiri. Barulah wujudnya persekitaran perniagaan yang sihat dan harmoni. Pernah tengokkan bagaimana mamak berniaga? Kedai mereka sebelah-menyebelah, tapi tak der pun nak gaduh-gaduh kan? Berapa pula keuntungan mereka? Makanan mereka? Sama jeee… ayam masak madu sedap, kan? J
Walauapapun perniagaan yang dijalankan, persaingan merupakan sesuatu yang harus ditempuhi. Pesaing-pesaing ini boleh dijadikan rakan perniagaan sebenarnya. Contohnya, jika masing-masing nak buka warung kuih, pakat-pakat la. Agih-agihkan jenis kuih yang hendak dijual. Kau jual pisang goreng, aku jual karipap. Barulah pelanggan boleh buat pilihan. Dan peniaga, sama-sama dapat untung. Namun, sesungguhnya, dalam perniagaan, keuntungan tak dating sekelip mata.

So, itulah jawapan aku. Aku bukanlah hebat sangat dalam perniagaan. Masih lagi belajar. Kadangkala, wujud juga perasaan phD tu, tapi, kena balik pada matlamat asal, berniaga untuk apa? Kerana Allah, kan?

Memang benar, dunia perniagaan tak semudah yang disangka. Banyak cabarannya. Sekarang ni pun, aku sendiri menghadapi beberapa masalah. Tapi Insyaallah, aku akan cuba bertahan. Dunia perniagaan memerlukan orang yang cekal. Tapi aku tak secekal yang aku sangkakan. Pokok pangkalnya, kemahuan.....

11 Comments:

Blogger Purpleheart said...

SEMUA orang Melayu tidak perlu terperanjat atau tersentak dengan pendedahan yang dibuat oleh Utusan Malaysia tiga hari lalu bahawa peniaga Melayu cuma menguasai 10 peratus unit hartanah (ruang niaga) komersial di seluruh negara.

Justeru bangsa kita sebenarnya masih lagi merangkak-rangkak dalam dunia perniagaaan ketika bangsa lain sudah meluncur laju meninggalkan kita jauh di belakang.

Ini diburukkan lagi dengan sikap orang Melayu sendiri yang biasanya tidak senang melihat bangsanya maju.

Pandangan seorang ahli korporat, Datuk Sulaiman Samat yang mengatakan orang Melayu berperasaan hasad dengki sesama sendiri memang ada kebenarannya.

Sebenarnya sifat-sifat negatif orang Melayu inilah yang menjadi batu penghalang untuk orang Melayu mampu bersaing dengan kaum lain dalam dunia perniagaan.

Kejayaan bangsa sendiri selalu dilihat dengan penuh prasangka buruk dan ada kalanya diperlekehkan sedangkan kehebatan kaum lain terus dikagumi.

Ketika kaum lain bersepakat dan tolong menolong sesama sendiri untuk memajukan perniagaan masing-masing, kita pula lebih senang dengan cara kita sendiri membawa haluan masing-masing demi keuntungan sendiri.

Ketika mereka bertungkus lumus membantu rakan mereka yang baru hendak belajar berniaga, kita pula sibuk memikirkan siang malam cara bagaimana hendak melumpuhkan perniagaan rakan kita yang baru hendak naik - takut menggugat perniagaan kita pula nanti!

Ketika Dewan Perniagaan kaum lain berhempas pulas memikirkan cara terbaik untuk mewujudkan lebih ramai lagi tauke-tauke di kalangan mereka, mengukuhkan lagi dana mereka supaya dapat disalurkan kepada peniaga-peniaga mereka yang memerlukan bantuan; Dewan Perniagaan Melayu pula membuang masa bercakaran sesama sendiri memikirkan soal jawatan itu dan ini daripada mengambil tahu tentang nasib rakan-rakan mereka yang mungkin perlukan bantuan modal dan nasihat.

Tidak ada sesiapa yang dapat menafikan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah berupaya menelurkan ramai usahawan Melayu dan juga beberapa kerat tokoh korporat Melayu yang boleh kita banggakan pada hari ini. Paling penting dapat juga memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi yang wujud antara kaum sebelum DEB diperkenalkan.

Begitu juga penubuhan Mara misalnya telah memberi peluang yang lebih luas kepada orang Melayu yang menghadapi masalah modal untuk berniaga - begitu juga bantuan dari segi nasihat dan kepakaran malah ruang niaga juga turut disediakan oleh Mara.

Di kawasan bandar, UDA pula memainkan peranan mendapatkan tapak-tapak ruang niaga untuk disewakan atau dibeli oleh orang Melayu yang hendak berniaga. Begitu juga bank-bank khususnya seperti Bank Bumiputra dan Bank Pembangunan, Bank Pertanian ditubuhkan khusus untuk memberi kemudahan kredit kepada Melayu yang ingin berniaga.

Agensi-agensi yang terbabit untuk membantu orang Melayu berniaga juga sentiasa menganjurkan program-program latihan kepada peniaga Melayu untuk melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu dan kemahiran supaya dapat bertahan dalam sepak terajang dunia perniagaan.

Di peringkat pembangunan wilayah pula, pelbagai usaha telah dilakukan untuk membantu orang Melayu supaya mampu memiliki tanah sendiri.

Felda, Felcra, Dara , Kejora , Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan banyak lagi rata-ratanya ditubuhkan khas untuk memastikan bahawa ekonomi orang Melayu tidak terus jauh ketinggalan berbanding dengan kaum yang lain. Dan di setiap pembangunan wilayah berkenaan, kerajaan memberi peluang kepada orang Melayu untuk membangunkan sendiri bandar-bandar yang bakal menjadi pusat kegiatan ekonomi penduduk tempatan.

Di Dara, misalnya kita ada Bandar Tun Razak dan juga Bandar Jengka di LKWJ. Apa jadi dengan bandar-bandar itu setelah dua puluh tahun diamanahkan kepada orang Melayu untuk menjadikannya sebagai sebuah pusat bandar yang rancak kegiatan ekonominya?

Tidak keterlaluan untuk saya mengatakan bahawa bandar itu ibarat hidup segan mati tak mahu.

Saya secara kebetulan sempat ke Bandar Tun Abdul Razak, Keratong Pahang baru-baru ini - amat menyedihkan setelah dua puluh tahun cuma ada gerai-gerai dan warong-warong kecil sahaja yang bertapak di situ - rumah kedai jauh sekali?

Namun begitu, pengalaman saya berkhidmat beberapa tahun di Jengka benar-benar membuka mata saya akan belang sebenar orang Melayu dalam perniagaan. Kegagalan Bandar Jengka untuk muncul setanding dengan bandar-bandar yang dikuasai oleh orang bukan Melayu berpunca daripada sikap orang Melayu juga. Amat menghairankan sebuah bandar yang hampir seratus peratus dikelilingi oleh orang Melayu tidak boleh dibangunkan - sedangkan dalam masa yang sama sebuah pekan kecil yang terletak tidak jauh dari situ yang dihuni oleh cuma sebilangan kecil komuniti Cina mampu menjadi sebuah bandar kecil yang boleh menawarkan pelbagai bentuk barangan dan kemudahan malah hingga kepada perniagaan jualan kereta sekalipun! Anehnya masyarakat Felda lebih seronok bertumpu di pekan Sungai Jerik ini daripada sama-sama menyumbangkan peranan mereka sebagai kuasa beli untuk membangunkan Bandar Jengka.

Cuma sejak kebelakangan ini, ekoran daripada munculnya UiTM, hospital, bank-bank, kegiatan ekonomi di Bandar Jengka sudah agak rancak dan dengarnya sudah ada usahawan Melayu yang mampu memiliki pasar rayanya sendiri.

Nah, apa lagi yang tidak dibuat oleh kerajaan untuk memberikan peluang kepada orang Melayu menceburkan diri dalam dunia perniagaan? Pada saya bukan faktor modal dan bukan juga faktor kemahiran dan kepakaran yang menjadi batu penghalang kepada kegagalan orang Melayu dalam bidang perniagaan kini.

Ia sebenarnya berkaitan dengan soal sikap orang Melayu sendiri yang kaya dengan hasad dengki, mementingkan diri sendiri dan tidak bersatu padu untuk membantu sesama sendiri.

Justeru, untuk memastikan survival orang Melayu dalam bidang ekonomi amalan-amalan yang merugikan bangsa - menikam dari belakang, memijak kepala orang lain untuk naik, menjadi enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis sama sekali.

Ambillah iktibar daripada kejayaan kaum lain yang boleh berdiri di atas kaki sendiri hasil daripada kekukuhan permuafakatan mereka, kerana tidak selamanya kita harus dilihat sebagai kaum yang suka bergantung kepada orang lain.

AHMAD KAMIL MOHAMED, Pensyarah Pusat Bahasa, UiTM, Segamat.



--------------------------------------------------------------------------------
© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my


Tergugatkah budaya membaca kerana IT? (20 Jun 2000)
Oleh: AHMAD KAMIL MOHAMED
KETIKA berkunjung ke sebuah kedai buku di Johor Bahru baru-baru ini, saya sempat membelikan buku cerita bahasa Inggeris terbitan Ladybird untuk anak saya yang berusia lapan tahun yang memang minat membaca.

Saya tertarik apabila terdapat juga versi CD-ROM bagi buku-buku tersebut, selaras dengan zaman teknologi maklumat sekarang. Lantas, saya membeli kedua-duanya sekali. Tujuan saya hendak menguji minat anak saya - buku atau CD.

Selepas dia selesai menikmati buku cerita kegemarannya, saya tunjukkan pula versi CD dan menikmatinya pula melalui skrin komputer. Terpegun dengan persembahan grafik yang menarik dan penuh warna-warni agaknya, ditambah pula dengan suara penyampai yang memikat dan kesan bunyi yang hebat saya lihat anak saya lebih asyik dan seronok berdamping dengan komputer daripada berulit dengan buku lagi. Sejak dari itu, buku cerita dalam bentuknya yang konvensional sudah tidak menarik minatnya lagi. Begitulah kuatnya pengaruh 'buku elektronik' dewasa ini khususnya pada kanak-kanak. Inilah senario yang mewarnai dunia pembacaan kini.

Ledakan teknologi maklumat yang berasaskan elektronik dilihat memang boleh mengganggu kerancakan penerbitan buku-buku dan sekali gus mengubah gaya dan minat pembaca.

Penerbit-penerbit buku terpaksa bertarung dengan teknologi baru ini untuk memastikan buku akan terus menjadi pilihan orang ramai khususnya kanak-kanak atau pun terpaksa berdepan dengan kenyataan - bahawa e-reading akan mengambil alih peranannya lantas membiarkan buku-buku tinggal usang diselaputi habuk, kuning dimamah usia?

Di Barat umpamanya, para penerbit sudah mula dibayangi ketakutan buku terbitan mereka tidak mendapat tempat di hati masyarakat pembaca khususnya kanak-kanak yang kini lebih tertarik dengan cerita-cerita dan pelbagai bentuk maklumat yang boleh diperoleh dengan mudah melalui komputer. Dengarnya ada para penerbit hebat seperti Ladybird sudah menutup kilang percetakannya kerana kecundang dalam persaingan dengan teknologi baru ini.

Di zaman elektronik ini, kaedah membeli buku secara on-line juga memaksa kedai-kedai buku untuk gulung tikar.

Sudah ada kecenderungan di kalangan peminat-peminat buku yang lebih tertarik untuk memesan buku-buku melalui online! Begitu juga sekarang ini kita tidak perlu mencari masa dan tempat yang sesuai untuk menikmati cerita yang kita minati kerana sambil memandu untuk ke tempat kerja pun kita sudah boleh mendengar cerita yang ditulis oleh penulis-penulis terkenal disampaikan melalui pemain kaset kereta kita. Kita juga tidak perlu bersusah payah merujuk kamus yang tebal-tebal kerana kerja ini akan lebih mudah dilakukan melalui kamus-kamus elektronik yang kian popular sekarang.

Melihat perkembangan drastik yang berlaku dalam teknologi maklumat sekarang, timbul persoalan bagaimanakah nasib dan masa depan buku-buku konvensional? Mungkinkah tabiat atau budaya membaca akan terus lenyap di kalangan masyarakat kita - kerana sekarang ini pun rakyat negara ini memang sudah dikenali sebagai rakyat yang kurang membaca?

utusan online..

10:52 AM  
Blogger Purpleheart said...

Alamak tercopy pasal budaya membaca sekali..

Topik yang menarik untuk dihujah. Saya buat pemerhatian di kawasan Kelana Jaya tempat saya bekerja, ada lebih dari 5 gerai nasi lemak yang boleh dikira hampir sama aje. Belum lagi kes gerai baru dan tutup secara tiba2 oleh usahawan mak indon yang buat nasi lemak yang tak berapa lemak tu.

Seperti kata ezad, dah jadi kebiasaan dengan susun meja, tisu yang selalu tak ada, hari ni datang tak ada, esok pun tak ada,datang lusa pun tisu masih tak ada. Belum masuk kes sudu garfu yang tak rupa sudu garfu lagi.

Kesimpulannya, kalau nak berniaga tak ada salahnya. Tapi kenalah buat perbezaan tersendiri, PR yang baik dan kualiti yang berpatutan. Selalunya kedai makan milik orang melayu akan dikaitkan dengan layanan yang tak seberapa. Mengapa jadi macam tu? Kalau dibanding dengan restoran mamak, belum duduk dah tanya nak makan apa. Sepatutnya orang melayu kena banyak mengambil iktibar dari kejayaan orang lain, bukan fikirkan bagaimana hendak untung semata2..

sori ya, komen panjang sangat..

11:11 AM  
Blogger Ezad said...

ha.. menarik tu. pernah terfikir pasal kopitiam? sebuah 'warung' yang menyediakan kopi, roti bakar dan telur setengah masak. tapi konsepnya cukup canggih. minum kopi dalam bilik ber air-cond. ada tak org melayu nak buat makan nasi lemak, roti canai & teh tarik dalam suasana kopitiam?

9:24 PM  
Blogger Purpleheart said...

Buat masa ni tak ada kopitiam melayu, banyaknya Ah Ling kopitiam dan Madam Lee kopitiam je yang ada.. tapi ramai orang melayu join.

9:12 AM  
Blogger Ezad said...

purpleheart
rasanya ada kopitiam mlayu kat kl. area bangsar ke... mana ntah. ada masuk paper tak lama dulu

8:49 PM  
Blogger shimahz said...

masalah org melayu dr dulu sampai skrg sama je.. kekadang teringin gak nak meniaga tp mcm tak yakin.
tp perasan tak, kalau dulu kite bleh beli nasik lemak tepi jln tanpa rasa was2 tp skrg kene jaga2 sbb makcik2 indon pun dah pandai buka langkah jual nasik lemak..

10:50 PM  
Blogger Purpleheart said...

Betul tu, sekarang ramai mak indon jual nasi lemak, walaupun tak de lah lemak mana pun. Pernah dapat email pasal makcik indon ni jual daging ba** bersama2 dengan nasi lemak dan lauk2 yang sewaktu dengannya.

Pernah kat area Kelana Jaya nie, ada makcik indon buat gerai haram kat tepi kawasan tapak pembinaan. Lauknya murah2, nasi dengan lauk ayam dan sayur cuma rm2. Tapi kawasan tempat menjualnya sungguh memualkan. Hidung ni asik terbau bau2an yang agak.. (mual). Yang herannya ramai orang melayu membeli.

11:48 AM  
Blogger shimahz said...

eee... gaknye org skrg asal murah je.. bedal je la kot.. eee
fenomena mcm ni adaa baik ngan buruknye.. tp yg nampak jelas ialah yg buruknye je

11:13 PM  
Blogger Ezad said...

purpleheart
tu la.. dia org nak yg lain dari yang lain. membeli di tempat yang baunya memualkan.. hehe..
tapi tu la, kenapa org lain berniaga boleh untung, kita tak leh??

shimahz
sebagai pengguna, memang la kita cari yang murah. tapi tengok gak kualitinya, kan?
masing2 punya citarasa

9:03 PM  
Blogger Purpleheart said...

Kesimpulannya, kita sebenarnya boleh maju sekiranya pemikiran masyarakat melayu kita pun berkembang maju seperti kaum lain yang berjaya. Sedangkan orang luar yang tak tahu apa2 pun boleh maju inikan pula kita sebagai kaum bumiputera yang berasal dari negara ini. Ayat pertama Al-Quran pun menekankan tentang ilmu pengetahun. Jadi dengan ilmulah masyarakat maju dan dengan ilmulah satu2 kaum itu dipandang tinggi oleh kaum lain.

Sedangkan negara Jepun yang suatu ketika dahulu lumpuh akibat peperangan telah menjadi sebuah negara yang paling maju..

sori pepagi dah melalut..

10:40 AM  
Blogger Ezad said...

purpleheart
tak pe.. melalut pada kita, ilmu pada org lain. ilmu pd kita, melalut pd org

9:42 PM  

Post a Comment

<< Home