Bismillah...
Membaca akhbar Berita Harian dalam talian hari ini...
500,000 pemilik Proton dijangka dapat manfaat daripada "Janji Tingkap Kuasa"
2011/10/17
SHAH ALAM: Kira-kira 500,000 kereta Proton dijangka mendapat manfaat daripada waranti sepanjang hayat tingkap kuasa yang baharu "Janji Tingkap Kuasa" oleh pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata skim waranti yang baharu itu terpakai bagi kesemua model Proton yang berdaftar mulai dari 1 September dan model Proton semasa yang masih berada di bawah waranti pengeluar yang bermula pada tarikh sama.
Katanya, waranti itu boleh digunakan hanya bagi model kereta yang dijual di dalam pasaran domestik, sama ada milik persendirian atau syarikat besar yang memiliki banyak kereta.
"Ia meliputi empat komponen utama yang berkaitan mekanisme tingkap kuasa kenderaan itu, iaitu pengatur tingkap kuasa, motor tingkap kuasa, suis dan "run channel."
"Sebaik menerima tuntutan dari pelanggan yang layak dan bergantung kepada pematuhan terma dan syarat waranti Sepanjang Hayat Tingkap Kuasa, waranti itu akan dilaksanakan oleh Proton secara percuma, yang termasuk kesemua kos buruh dan alat ganti komponen tingkap kuasa," katanya di sini, hari ini.
Tekal dengan standard automotif global, Syed Zainal Abidin berkata waranti itu terhad kepada 250,000km atau 10 tahun dari tarikh pendaftaran kenderaan, yang bergantung kepada yang mana berlaku dulu.
Sambil Proton telah melakukan usaha signifikan untuk menambah baik kualitinya seperti yang ditunjukkan di dalam kenderaan jenerasi baharunya, katanya sesetengah persepsi negatif jenama itu terus wujud sehingga hari ini.
"Langkah membetulkan persepsi itu walau pun mencabar adalah satu tugas yang perlu. Waranti ini adalah salah satu daripada inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi mengekang persepsi itu.
"Pesanan kami mudah sahaja, jika anda membeli kereta Proton hari ini, sila ketahui bahawa tingkap kuasa boleh digunakan dan jika tidak, sila tukarnya secara percuma," katanya. - BERNAMA
...
Kebelakangan ini, Bahasa Melayu (atau Bahasa Malaysia?) kelihatan 'agak janggal' apabila menterjemahkan perkataan khususnya yang bersifat teknikal. Apabila Bahasa Inggeris menyebut Power Window, apakah wajar kita menterjemahkannya sebagai Tingkap Kuasa? Apakah badan yang bertanggungjawab terhadap keseragaman tidak prihatin dalam hal sebegini. Mungkin juga pekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka sudah kekeringan idea untuk mencipta istilah teknikal dalam bahasa kebangsaan.
Mengapa perlu menggunakan perkataan waranti, walhal perkataan jaminan sudah ada bagi menterjemahkan perkataan warranty dalam Bahasa Inggeris. Manakala perkataan jenerasi sepatutnya ditulis generasi.
Standard automotif global (nama khas? - tidak menggunakan huruf besar di awal perkataan?) adalah istilah Bahasa Inggeris. Jika ianya suatu nama khas yang tidak perlu diterjemahkan, sepatutnya penulis artikel ini menggunakan pembuka/penutup kata seperti yang digunakan untuk istilah "run channel".
Akhbar merupakan wadah bahasa yang signifikan dengan masyarakat. Salah satu cabang fungsi penerbitan akhbar adalah mendaulatkan bahasa kebangsaan. Bagaimana masyarakat (yang rata-ratanya kini menggunakan bahasa rojak) mahu menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul jika medium utama bahasa iaitu akhbar arus perdana sendiri dilihat tidak serius untuk memartabatkan bahasa itu.
Tepuk dada, tanya minda_