Thursday, July 27, 2006

Teroka Perniagaan Di Internet

Oleh MOHD NAHAR MOHD ARSHAD

INTERNET telah mengubah cara hidup manusia dalam pelbagai aspek. Urusan pejabat, perbankan, perniagaan, penerbitan, pembelajaran dan sebagainya telah menjadi semakin mudah dan pantas kerana Internet.
Sejak adanya kemudahan Internet, ia turut menyediakan banyak peluang buat mereka yang kreatif dan bijak menggunakannya. Perniagaan secara dalam talian (online) misalnya, adalah inovatif baru natijah daripada kewujudan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT).
Penggunaan Internet yang semakin meluas, kemudahan pembayaran secara talian yang meyakinkan, kepantasan talian jalur lebar dan model perniagaan dotcom yang lebih baik merupakan antara faktor yang menjadikan perniagaan secara talian kembali rancak mutakhir ini.
Perniagaan secara talian pada hakikatnya telah memberikan pasaran baru yang begitu luas, terbuka dan bebas untuk dicuba oleh sesiapa sahaja.
Laman web seperti eBay (www.ebay.com atau www.ebay.com.my) merupakan satu syarikat dotcom gergasi yang menyediakan pasaran bagi mereka yang ingin membeli mahupun menjual apa sahaja di Internet. Di Malaysia, nama Lelong (www.lelong.com.my) adalah contoh syarikat dotcom yang turut menyediakan pasaran kepada sesiapa sahaja untuk membeli dan juga menjual barangan di Internet.
Hakikatnya, telah ramai yang menjadi kaya-raya dengan menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian. The eBay Millionaire oleh Amy Joyner merupakan sebuah buku yang menyingkap rahsia kejayaan mereka yang kini bergelar jutawan dengan menjalankan kegiatan perniagaan mereka di Internet menerusi eBay.
Pada tahun 2004 sahaja, pasaran eBay telah mencatatkan jumlah transaksi jualan yang mencecah nilai AS$34.2 bilion dan angka tersebut dianggarkan akan terus berkembang dengan kadar 45 peratus setahun. Kini dianggarkan terdapat lebih daripada 114 juga eBayers (pengguna eBay) yang aktif.
Peluang yang sama sebenarnya turut terbuka buat kita di Malaysia. Peluang menjalankan perniagaan secara dalam talian bukan sahaja memberikan kesempatan untuk kita menambahkan pendapatan dengan menjalankannya secara sambilan, malah, sudah ramai yang menjalankannya secara sepenuh masa dan meraih pendapatan yang lumayan.
Perniagaan secara dalam talian memerlukan ilmu dan pengetahuan serta pengalaman untuk berjaya.
Generasi muda terutamanya graduan yang menganggur wajar mengambil peluang ini untuk mencipta masa depan yang cemerlang dalam bidang perniagaan. Perniagaan secara maya adalah baik sebagai suatu langkah permulaan. Ini berikutan kos permulaan perniagaan di Internet adalah jauh lebih murah berbanding dengan perniagaan biasa. Di samping itu, jangkauan pasaran juga adalah sangat luas.

Wednesday, July 26, 2006

Dah Ada Tiga

Bismillah...
Sejak semalam, department aku dah ada 3 orang. Semalam budak baru masuk. Graduate dari Politeknik Port Dickson. Jurusan Kejuruteraan Awam. Ini mengingatkan aku zaman dulu2 yang mana aku juga pernah di sana.... hmmm...
Bulan ni, sales aku juga meningkat. Bestnya berniaga. Ingatkan tak best.. ehehe... Sikit demi sikit, aku belajar jumpa orang, promote barang aku. Hmm.. betul kata Dr.. sebenarnya, ais yang didepan kita itu, bisa dipecahkan. Tiada apa yang menghalang kita. Kita saja yang membentuk halangan tu. Namun, aku masih diperingkat awal, masih ada ketul2 ais yang perlu aku pecahkan...:)
Di suatu topik yang lain, EON pun buat VSS? wah! makin banyak yang offer VSS, betul la kata VGM, sekarang ni, zaman susah. Perlu berhati-hati buat keputusan. Namun, seorang rakan memberitahu (client sebenarnya), sekarang adalah zaman peralihan, setiap 10-15 tahun, kegawatan berlaku dan ianya akan berkembang semula. Aku rasa, client aku tu lebih positif terhadap ekonomi. VGM tu... aku rasa, sekadar nak bagi peringatan, supaya jangan letak jawatan.... VGM aku tu, aku kenal sangat dahh....
chow chin chawwww

Thursday, July 20, 2006

Hari Yang Penat

Bismillah...
Hari nie, pagi2 lagi dah berkejaran kat office. Distribute dokumen item baru. Lepas tu buat drawing lagi. Due date tinggal 2 hari je lagi. Tinggal 4 item tak siap lagi. Yang lelain, berezzzz..
Tapi yang 4 nie, sumer besar2 punya.. adohaii...
Badan rasa letih sangat2. Semlm tidur lewat. Siapkan rancangan perniagaan aku... isk.. sakitnya paler otak. Aku mesti submit minggu depan. Hari Sabtu nie, patut gi Kajang, kursus SYOB, tak pergi. Tak sembat nak sediakan apa-apa yang patut. Yang paling penting, tak sempat apply cuti. Seminggu tu kat sana... isk... 1 lagi peluang melebarkan network aku tak terlepas... Hmmm..
Hari ni nak tidur awal la, loteh badan den nie haaaa...

Monday, July 17, 2006

Dealova

aku ingin menjadi mimpi indah dalam tidurmu...
aku ingin menjadi sesuatu yang mungkin bisa kau rindu....
karena langkah merapuh tanpa dirimu...
ooohh..
karena hati tlah letih....

aku ingin menjadi sesuatu yang selalu bisa kau sentuh...
aku ingin kau tau bahwaku selalu memujamu....
tanpamu sepinya waktu merantai hati...
oh bayangmu seakan akan....

reff

kau seperti nyanyian dalam hatiku yang memanggil rinduku padamu..
ooohh
kau seperti udara yang kuhela kau selalu ada....

**hanya dirimu yang bisa membuatku tenang...
tanpa dirimu aku merasa hilang
..........dan sepi......

......................................................................

Best ek lagu ni? Puitis sungguh.. tak straight forward... ni la baru kata lagu...
best..best..best

Wednesday, July 12, 2006

Tekanan Di Tempat Kerja

Wah!! Hari ni kerja tension tol. Masa meeting VGM mintak aku siapkan projek baru pada 22hb nie? Aje giler.....
Ada dalam 15 item.. yang aku dah siapkan.. 9...10..11... oh!!! baru 2... iskh!! Jerut leher la kali nih. At the same time, kena lak tukar material untuk beberapa item. Reason??
SAVE COST
SAVE COST
SAVE COST
1 benda yang aku pelajari dari golongan yang pintar berniaga ni adalah, seboleh2nya cuba kurangkan kos. Kerja lebih sikit tak apa. Janji jimat. Bila jimat, untung lah!! hmm... aku cuba bandingkan syarikat ni dgn syarikat lama aku, sebuah teknokrat Melayu. Sungguh berbeza. Syarikat lama tak fikirkan soal kos sgt2. Tu yang kos jadi melambung2 tu. Then, tak untung (bila tak untung tu, rugi la..). Tapi golongan pintar berniaga ni mempunyai network yang besar. Setiap masa dia org akan dpt maklumat pasal harga untuk setiap barang. So, mereka boleh gunakan material yang rendah, pada masa itu. Yang tak dpt info tu, akan terus gunakan material yang mahal harganya (dan pasti, golongan yang tak dpt info nie adalah peniaga Melayu). Sedihkan??
Berbalik balik pada kerja aku... Tension memang tension. Tapi nak buat cam mana. Takkan tak nak buat. Tak nak buat kerja, berehenti lah.. kekekeke.. terkena seorang sahabat aku pagi tadi. Ambik ko!! Asyik malas je buat kerja!!
Hmmmm....

Tuesday, July 11, 2006

Promosi Prepaid SMS

Aku nak pelawa korang semua join Business Prepaid. Hanya guna SMS. Modal rendah. Boleh terus register kat group kita orang kat laman web berikut.

Hanya ikuti arahannya diberikan. Mudah bukan??
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang program nie, sila lawati
Gunakan handphone anda untuk tambah pendapatan... Cerah masa depan:)

Monday, July 10, 2006

Usahawan Jaya Bijak Perkasa Mental

Oleh : Datuk Mohd Nasir Ahmad (Berita Harian)

Pengurus berketahanan fizikal amat berguna mengendalikan perniagaanPEMBANGUNAN usahawan mendapat perhatian besar pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Satu daripada matlamat kerajaan ialah membangunkan 150,000 usahawan pelbagai peringkat dalam tempoh RMK-9.

Berdasarkan perancangan ini, negara ingin menyaksikan kelahiran 30,000 usahawan setiap tahun bagi tempoh lima tahun akan datang. Untuk mencapai sasaran ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengatur beberapa strategi meliputi bantuan pembiayaan, latihan keusahawanan serta galakan pemasaran dalam dan luar negara.
Sama ada matlamat menjana bilangan usahawan ini tercapai bukan bergantung kepada kesungguhan kerajaan semata-mata. Anggota masyarakat sendiri perlu tampil merebut semua peluang, galakan dan bantuan disediakan agar sasaran RMK-9 dapat dipenuhi.
Namun, lebih penting daripada menepati sasaran bilangan usahawan ialah kualiti usahawan diwujudkan nanti. Untuk menggerakkan ekonomi, negara memerlukan masyarakat usahawan berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan.Cabaran dunia perniagaan memang hebat, tetapi ia tidak menghalang ramai orang mencuba nasib sebagai usahawan kerana sedar perniagaan mampu menjadi sumber rezeki lumayan jika berjaya diurus dengan baik.
Bagaimanapun, kita tahu semua usahawan perlu melalui zaman sukar dan mencabar sebelum dapat meraih kejayaan seperti dihajatkan. Tidak ada usahawan berjaya serta-merta. Jika ditanya kepada usahawan berjaya, mereka akan menceritakan bagaimana mereka pernah gagal atau hampir gagal sebelum berjaya.
Kecuali perniagaan peringkat mikro, secara umumnya perniagaan mengambil masa sebelum meningkat maju dan mencatat keuntungan. Setiap perniagaan biasanya memerlukan dua hingga tiga tahun sebelum dapat meraih keuntungan dan berkembang. Tempoh dua atau tiga tahun pertama dalam perniagaan adalah tempoh kritikal. Perancangan untuk tempoh ini harus dibuat dengan teliti berdasarkan andaian realistik. Untuk itu, usahawan atau peniaga harus berusaha memahami sepenuhnya perniagaan dicadangkan.
Memandangkan perniagaan terpaksa melalui tempoh tanpa untung pada peringkat awal, setiap usahawan perlu merancang bagaimana membina daya tahan sepanjang tempoh itu. Usahawan baru khususnya harus menyemak semula cadangan perniagaan jika mendapati perniagaan dicadangkan boleh mencatat untung pada tahun pertama.
Adalah penting bagi semua usahawan memahami perniagaan mengambil masa untuk maju dan berjaya. Kemungkinan besar ramai usahawan Melayu tidak memahami hakikat ini menyebabkan mereka tidak dapat bertahan dalam perniagaan. Kesilapan pertama bagi seseorang bakal usahawan ialah jika menganggap perniagaan adalah jalan singkat kepada kekayaan. Memang benar perniagaan boleh memberi kekayaan, tetapi ia memerlukan masa dan usaha gigih secara berterusan.
Semua bakal usahawan memang mengetahui selain modal kewangan, mereka perlu membuat persediaan diri secara rapi. Antara lain mereka harus mendalami bidang perniagaan ingin diceburi serta membina kemampuan dalam kemahiran pengurusan.
Persediaan mencukupi dari segi modal kewangan dilengkapi pengetahuan dan kemahiran pengurusan serta persediaan lain untuk melalui peringkat awal yang sukar seharusnya memberi peluang kepada usahawan untuk berjaya.
Dengan pelbagai pendedahan dan latihan berkaitan keusahawanan pada masa ini, semakin ramai usahawan baru didapati lebih bersedia mengharungi dunia perniagaan. Namun begitu, ada satu aspek persediaan diri sering diabaikan usahawan baru.
Persediaan dimaksudkan ialah dari segi ketahanan mental dan fizikal usahawan, khususnya ramai usahawan gagal membuat jangkaan mengenai tahap ketahanan fizikal diperlukan apabila memulakan perniagaan. Kebanyakan usahawan tahu mereka perlu bekerja untuk tempoh agak lama setiap hari. Tetapi ramai tidak bersedia secara fizikal untuk bekerja sekian lama setiap hari. Bergantung kepada jenis perniagaan, usahawan mungkin perlu bekerja antara 10 hingga 16 jam sehari.
Juga bergantung kepada bidang perniagaan, tanggungjawab usahawan mungkin memerlukan banyak penggunaan tenaga fizikal. Beberapa jenis perniagaan bidang peruncitan umpamanya memerlukan penggunaan tenaga fizikal usahawan sendiri untuk beroperasi dengan berkesan.
Jika usahawan tidak bersedia secukupnya dari segi mental dan fizikal, mereka mungkin menghadapi kejutan budaya apabila memulakan perniagaan, lebih-lebih lagi jika mereka tiada pengalaman dalam bidang perniagaan yang dimulakan. Dalam banyak keadaan, didapati ramai usahawan tidak menyangka ketahanan fizikal diperlukan adalah begitu tinggi.
Untuk memastikan mereka dapat bertahan secara mental dan fizikal, usahawan perlu bijak merancang cara mereka akan melaksanakan bekerja. Keperluan menggunakan pekerja tambahan harus dirancang dari awal supaya pengagihan kerja dapat dibuat dengan baik.
Satu daripada masalah sebahagian besar usahawan ialah perasaan kurang yakin kepada kemampuan orang lain. Oleh itu, mereka ingin selesaikan sendiri semua kerja walaupun sebenarnya lebih wajar disempurnakan orang lain. Sikap ini pasti membebankan mereka secara mental dan fizikal.
Walaupun mengurangkan pekerja menjimat kos, usahawan perlu tahu mencari perseimbangan supaya tenaga kerja minimum dapat digunakan dengan memberi tahap kecekapan maksimum. Semua ini harus dirancang dengan mengambil kira kemampuan usahawan sendiri dari segi masa dan fizikalnya.
Cara untuk usahawan mengurangkan beban pembabitan secara terperinci dalam kebanyakan urusan ialah dengan membina kemampuan menjadi pengurus yang cekap. Kebijaksanaan mengurus akan memastikan usahawan tidak hilang kawalan ke atas perniagaannya walaupun tidak melakukan semua perkara dengan sendiri.
Usahawan perlu tahu bagaimana mengawal tahap pembabitan peribadi dalam pelbagai aspek operasi perniagaannya. Jika usahawan tidak pandai melakukan ini, dia akan mendapati dirinya cuba melakukan terlalu banyak perkara dan ia boleh menjejas kesihatan dirinya.
Sebagai peneraju utama perniagaannya, usahawan tidak boleh memandang ringan masalah kesihatan diri. Usahawan dirundung masalah kesihatan boleh memberi kesan negatif kepada operasi perniagaan. Usahawan sihat sudah pasti lebih berguna kepada perniagaannya.
NOTA KAKI
Keusahawanan memerlukan minat yang mendalam. Bukan sekadar untuk mencari keuntungan atau tiada pekerjaan lain sahaja. Ia lebih dari itu. Aku memilih keusahawanan adalah kerana bangsaku (cewaahhh..!!!). Sungguh! Tidak ramai orang Melayu yang menjadi usahawan kelas menengah. Ini menyebabkan penguasaan ekonomi bangsaku amat lemah. Tak perlu pusing KL, pusing je Jasin town nie, berapa kerat sangat la kedai Melayu. Memang ada, tapi boleh dikira dengan jari. Namun, ada peningkatan. Alhamdulillah. Sebelum aku keluar merantau (zaman sekolah la) hanya ada 1-2 sahaja kedai Melayu, tu pun kedai makan (melayu ke mamak???). Tapi sejak bangunnya Jasin 2 dan Jasin 3, dah ramai dah orang Melayu berniaga. Ada kedai kain, kelas tuisyen, barangan pengantin dan lain2 lagi. Alhamdulillah.... Di sebabkan inilah, aku rasa terpanggil untuk menukar bidang. Aku sedar, aku tak mengaji tinggi, tapi nak harapkan bebudak yang mengaji tinggi tu memilih keusahawanan sebagai kerjaya pilihan, entah bila2 ntah. Tapi tak boleh salahkan mereka juga. Mereka juga harus menimba pengalaman dan membina jaringan sebelum terjun ke dalam bidang yang selalunya tak jadi mimpi indah pada peringkat awal.... Sungguh!!! mimpiku juga tak seindah yang diharapkan.... Bidang ini memerlukan ketahanan, mental dan fizikal... Namun aku yakin, sampai suatu masa, aku pasti lena dalam mimpiku sendiri.....

Wednesday, July 05, 2006

Di Sebalik Jaringan Buluh

Oleh MEGAT MOHD. HISEMUDIN (Utusan Malaysia)


SAYA bergerak aktif selama hampir 10 tahun dalam persatuan bekas siswazah universiti yang ditakrifkan sebagai persatuan Cina. Kini saya terjun secara sepenuh masa dalam keusahawanan yang meniru cara perniagaan orang Cina.
Oleh itu saya akan cuba untuk memperincikan apa yang dimaksudkan dengan ‘jaringan pohon buluh’ dan bagaimana ia terbentuk dan berkembang. Di samping itu ditekankan beberapa ciri-ciri struktur perniagaan dan rahsia kejayaan orang-orang Cina dalam perniagaan untuk panduan kita bersama.
Dalam membincangkan perkara ini, kita memfokuskan kaum Cina’sebagai mereka yang telah berhijrah keluar daripada negara China sejak sekian lama dan menjadi warganegara tempat mereka bermastautin serta keturunan mereka.
Dalam erti kata yang luas kaum Cina adalah ‘Cina seberang laut’ atau dalam bahasa Cina disebut sebagai Hua Chiao. Oleh yang demikian, kita perlulah menoleh ke belakang sejarah penghijrahan kaum Cina itu sendiri dan struktur pembentukan kelompok-kelompok imigran ini yang banyak berasaskan kedaerahan atau wilayah dari mana tempat asal mereka.
Sebenarnya orang-orang Cina telah pun berdagang dan bertapak di Tanah Melayu sejak sekian lama tetapi gelombang penghijrahan besar-besaran adalah pada sekitar tahun 1850 - 1910 yang mewakili golongan buruh atau pekerja. Mereka ini tergolong dalam lima kumpulan kaum terbesar yang bertutur dalam bahasa daerah yang berlainan.
Apabila orang Cina ini datang dan bekerja di Tanah Melayu, mereka yang bercakap dalam dialek yang sama atau datang dari daerah yang sama atau mempunyai nama keluarga yang sama akan membentuk puak-puak atau persatuan-persatuan.
Sesungguhnya keperluan untuk mendapatkan bantuan dan keselamatan daripada puak-puak yang sama merupakan satu perkara yang amat penting bagi setiap pendatang Cina itu. Ini adalah kerana setiap puak akan menjaga kepentingan puak-puak mereka sendiri.
Kewujudan persatuan-persatuan ini merupakan satu struktur masyarakat yang unik dalam membentuk jalinan atau jaringan terutamanya pada peringkat awal. Jalinan perhubungan ini disebut sebagai ‘guanxi’.
Sesungguhnya asas rangkaian kerja di kalangan orang-orang Cina telah bermula setibanya mereka di Tanah Melayu lebih 150 tahun yang lalu.
Manfaatkan jaringan dalam persatuan, kaum Cina terutamanya para peniaga Cina telah mengambil kesempatan daripada jalinan ‘guanxi’ bagi mengumpul dana-dana untuk mengembangkan perniagaan sesama mereka terutamanya sebelum dan selepas Perang Dunia II.
Jual beli dilakukan melalui cara-cara atau perjanjian yang tidak formal seperti di meja mahjung atau pertemuan sosial. Ikatan perjanjian jual beli lebih berteraskan kepada xing yong atau kepercayaan antara satu sama lain.
Sesungguhnya guanxi dan xing yong adalah dua elemen teras yang membentuk jalinan lebih besar dipanggil jalinan pohon buluh.
Bangsa Cina yang terdiri daripada rakyat negara China sendiri, Taiwan, Hong Kong dan orang-orang Cina seberang laut kebanyakannya adalah berketurunan bangsa ‘Han’ atau ‘Han Ren’. Sejak 2500 tahun yang lalu, falsafah dan budaya orang-orang Cina ditunjangi oleh fahaman Konfucianisme.
Dalam ajaran Confucian, terdapat lima asas perhubungan antara manusia yang menjadi teras bagi orang-orang Cina. Maka dalam perniagaan juga, unsur-unsur ini turut memainkan peranan dalam pembentukan hubungan dan jaringan atau struktur atau model pengurusan mereka.
Lima asas perhubungan antara manusia itu dimulai dengan pembentukan diri sendiri dan kemudiannya kepada keluarga, daripada keluarga kepada pemerintahan negara.
Dalam masyarakat Cina, keluarga adalah unit asas yang menjadi tunjang kepada struktur masyarakat. Sesungguhnya ia telah menjadi satu kuasa pentadbir yang bersifat ‘menegak’ iaitu mengikut hierarki dari atas ke bawah.
Dalam hal ini, bapa adalah ketua keluarga yang biasanya mempunyai kuasa mutlak terhadap perkara-perkara berkaitan dengan keluarga dan harta benda. Manakala anak-anak dikehendaki menghormati ketua keluarga dan orang-orang yang lebih tua.
Kemudiannya, model kuasa dan hierarki ini diterjemahkan kepada perniagaan keluarga. Dalam hal ini bapa akan memainkan dua peranan iaitu sebagai bapa di rumah dan ‘bos’ dalam perniagaan keluarga. Perlu diingatkan bahawa hampir 80 peratus daripada perniagaan orang-orang Cina di Asia Tenggara diasaskan daripada perniagaan keluarga. Sesungguhnya struktur hierarki inilah yang menjadi rahsia kejayaan perniagaan kaum Cina.
Seperti yang telah dijelaskan di atas, bahawa keluarga adalah unit asas kepada struktur masyarakat Cina. Manakala kekeluargaan adalah pembesaran daripada unit keluarga.
Ini diterangkan dengan perhubungan ‘melintang’ ataupun perhubungan sama rata. Ia meliputi hubungan antara abang dengan adik dan diperluaskan kepada hubungan antara kawan dengan kawan.
Asas-asas inilah antara elemen terpenting membentuk struktur masyarakat Cina hari ini yang telah dianjurkan oleh Confucian sejak lebih 2,500 tahun yang lalu.
Apabila orang-orang Cina tiba di Asia Tenggara, kelangsungan kehidupan dan keselamatan adalah perkara mutlak.
Keperluan untuk keselamatan dan perhubungan sosial ini akhirnya telah membentuk satu jaringan yang amat berguna untuk tujuan ekonomi.
Kemudiannya gabungan ini yang biasanya disebut association atau dalam bahasa Cina gong hui atau hui guan telah menjadi satu entiti yang amat penting dalam struktur masyarakat Cina sehingga ke hari ini. Contoh-contoh yang dapat kita lihat adalah seperti Fujian Hui Guan’ atau Fujian Association yang berasaskan wilayah Fujian, Lee Shi Hui Guan atau persatuan yang berasaskan nama keluarga Lee. Mereka yang datang dari daerah yang sama akan membentuk persatuan yang dinamakan tongxiang hui.
Dalam perniagaan pula, mereka membentuk gabungan yang mempunyai jenis perniagaan yang sama atau gabungan peniaga setempat. Dari sekecil-kecil perniagaan seperti persatuan peniaga kedai kopi, persatuan pemborong binaan sehinggalah kepada persatuan yang mengendalikan perniagaan berjuta-juta ringgit.
Sesungguhnya ikatan dan kesepakatan dalam ‘Gong Hui’ inilah yang merapatkan serta menjadi benteng kekuatan kepada peniaga-peniaga kaum Cina dalam memperjuangkan kepentingan ahli-ahlinya.
Ciri-ciri pembentukan masyarakat dan perniagaan bagi orang-orang Cina seberang laut banyak dipengaruhi oleh sejarah datuk nenek mereka semasa memulakan penghidupan baru di rantau Asia Tenggara.
Sesungguhnya kedatangan orang-orang Cina ke Tanah Melayu ketika itu adalah disebabkan oleh kemiskinan dan ketidakstabilan politik di negara Cina. Oleh kerana kebanyakan daripada mereka itu datang dengan hanya berbekalkan tulang empat kerat dan tambang pelayaran mereka juga hanya akan dibayar selepas mereka ditempatkan di lombong-lombong bijih atau ladang-ladang milik orang-orang Inggeris atau tauke-tauke Cina, maka permulaan penghidupan mereka bolehlah dikatakan amat daif sekali. Dalam bahasa Inggeris, mereka digelar coolies dalam bahasa Melayu disebut kuli, tetapi dalam bahasa Cina ‘ku li’ (dibaca khu li) bermakna bekerja keras. Nilai-nilai ku li inilah yang menjadi salah satu ciri-ciri kuat bekerja dalam masyarakat Cina terutamanya dalam perniagaan mereka.
Sebenarnya yang membuatkan orang-orang Cina suka berniaga bukanlah lahir daripada ajaran Confucian yang asal. Ini adalah kerana dalam sistem sosial Confucianisme, golongan sarjana dan ilmuwan menduduki hierarki yang paling tinggi dalam masyarakat.
Manakala golongan peniaga tidak dihormati dan tidak mendapat kedudukan yang sewajarnya kerana mereka dianggap suka mengambil untung yang berlebihan dan menindas.
Setelah ajaran Confucian ditafsirkan semula maka ia telah mencetuskan satu semangat baru yang menjurus kepada pembentukan kapitalisme Cina.
Berniaga adalah satu kerjaya yang amat mulia dan golongan peniaga menjadi satu simbol kejayaan dan kekayaan bagi seseorang serta sering diangkat sebagai pemimpin masyarakat.
Tradisi orang Cina adalah untuk memperkayakan keluarga dan segala harta benda akan diwarisi oleh anak cucu. Hanya dengan berniaga sahaja maka perniagaan tersebut akan diwarisi oleh generasi seterusnya.

Monopoli

Konsep perniagaan orang Cina adalah mudah, mereka akan menumpukan satu-satu perniagaan itu terlebih dahulu. Setelah ia berjaya dan kadang-kadang menjadi monopoli, maka barulah ia mengembangkan kepada perniagaan yang lain.
Manakala di antara peniaga-peniaga Cina, mereka suka lengkap melengkapi sesama mereka dan sedaya mungkin mengelak berlakunya pertembungan atau lebih tepat perniagaan yang sama.
Justeru, ia mewujudkan satu kitaran. Jika seseorang peniaga itu telah menjual sesuatu barang, maka orang-orang lain akan cuba menjual barang atau perniagaan yang tidak ada kena-mengena dengan perniagaan kawannya itu. Jika terpaksa menjual barang yang sama atau hampir sama, mereka akan menggunakan pendekatan yang lain pula dalam persaingan.
Persaingan digalakkan dalam masyarakat perniagaan Cina, ini adalah kerana melalui persaingan ia akan meningkatkan kecekapan, produktiviti, kemahiran dan kreativiti.
Dalam persaingan tentu ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang tidak semestinya dapat membolot segala-galanya, manakala yang kalah tidak hilang segala-galanya. Sebaliknya mereka akan bekerjasama dalam satu situasi menang-menang dan segala faedah akan dinikmati bersama.
Dalam masyarakat perniagaan Cina jarang terdapat perasaan hasad dengki seperti apa yang sering kita lihat dalam masyarakat Melayu.
Mereka percaya seseorang peniaga itu tidak boleh wujud tanpa mengambil kira peranan peniaga lain terutamanya untuk mendapat bekalan daripada peniaga lain dan memelihara hubungannya dengan para pelanggan.
Mereka membantu antara satu sama lain dan sering mewujudkan satu komuniti yang berteraskan kepercayaan antara ahli-ahli perniagaan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang melanggar etika perniagaan, biasanya mereka akan dihukum dan dipulaukan terutamanya dalam mendapatkan bekalan.
Dalam terjemahan yang ringkas, ‘guanxi’ bermakna ‘perhubungan’ atau ‘connections’. Tetapi dalam konteks praktikalnya, ia didefinisikan sebagai satu sistem perhubungan sosial dan komersial yang berteraskan kepada ‘xingyong’ atau kepercayaan antara satu sama lain.
Perlu ditekankan bahawa ‘guanxi’ adalah perhubungan peribadi yang diasaskan kepada perhubungan kawan dan kawan seperti yang telah dianjurkan oleh Confucian.
‘Guanxi’ berperanan untuk membina perhubungan peribadi dan dalam masa yang sama ‘guanxi’ juga digunakan untuk membina perhubungan jaringan yang lebih besar dikenali sebagai ‘guanxiwang’. Dalam bahasa Cina ‘wang’ bermakna jaring atau jaringan.
Biasanya ‘guanxi’ yang paling rapat ialah di kalangan ahli keluarga sendiri kerana ia percaya kepada keluarganya atau elemen ‘xingyong’ lebih diutamakan.
Sebab itulah orang-orang yang di luar ‘quanxiwang’ adalah begitu sukar untuk menembusi benteng yang telah dibina sekian lama oleh orang-orang Cina sama ada di kalangan mereka sendiri ataupun dengan pihak birokrasi.
‘Guanxi’ yang lebih lebih besar dikenali sebagai atau ‘jaringan pohon buluh’. Tidaklah dapat dipastikan mengapa ia dikenali sebagai “bamboo networks”, tetapi mengikut tafsiran saya ia mungkin berasaskan kepada dua fakta:
i. Buluh adalah pokok yang paling hampir dengan masyarakat Cina. Buluh menjadi inspirasi pelukis Cina yang sering dicoretkan di atas kanvas. Sejak dari asal huruf dicipta, orang-orang Cina menulis di atas buluh. Buluh juga menjadi asas untuk membuat kertas oleh orang-orang Cina. Manakala setiap waktu makan, orang-orang Cina akan menggunakan chopstick yang diperbuat daripada buluh.
ii. Atas sifat buluh itu sendiri ia tumbuh menjadi perdu yang besar, yakni membiak sebagai keluarga yang besar. Ciri-ciri ketahanannya memang diakui kuat. Manakala setiap ruas buluh disambungkan dengan sendi-sendi (atau buku) iaitu melambangkan jalinan yang padu antara satu sama lain. Ia bertepatan dengan istilah ‘quanxi’.
Kewujudan Bamboo Networks yang melangkaui batas-batas kenegaraan lebih ketara semasa era Deng Xiao Peng kerana polisinya membuka bahagian persisiran selatan negara China untuk menerima pengaliran modal dalam bentuk kapitalis. Sejak itu ramai Cina seberang laut terutamanya dari Asia Tenggara, Taiwan dan Hong Kong melabur ke negara Cina. Melalui jaringan dan peluang yang tersedia, ramai di kalangan Cina seberang laut ini juga telah membentuk usaha sama antara satu sama lain.
Begitu juga bagi peniaga-peniaga kaum Cina di Malaysia, mereka telah lama membuat jalinan dengan rakan-rakan mereka sama ada di Taiwan, Hong Kong, Singapura ataupun negara Cina.
Selain daripada memiliki persamaan budaya dan bahasa, mereka telah menjalin hubungan ‘guanxi’ sebagai bangsa serumpun walaupun ia dari negara-negara yang berlainan.
Jalinan ini juga telah teruji dapat membantu para usahawan Cina keluar daripada kemelut ekonomi tahun 1997 sedangkan ramai peniaga atau usahawan Melayu gulung tikar.
Sebagai kesimpulannya, tidaklah mudah bagi orang-orang Melayu untuk meniru bulat-bulat ‘jaringan pohon buluh’ seperti yang diamalkan oleh peniaga Cina. Kerana di sebalik terdapat elemen sejarah, budaya, bahasa, pemikiran, kefahaman, kepercayaan, struktur masyarakat dan sebagainya yang agak berlainan dengan orang-orang Melayu.
Oleh itu kita haruslah memikirkan apakah model yang sesuai untuk orang Melayu di samping tidak meminggirkan elemen-elemen murni tertentu dalam ‘jaringan pohon buluh’.
Bagaimanapun saya optimis bahawa akan terdapat interaksi antara kelompok-kelompok masyarakat perniagaan Cina dan Melayu dan saling tolong menolong antara satu sama lain.
Nota Kaki
Aku amat tertarik dengan artikel ni. Budaya niaga masyarakat Cina sewajarnya dicontohi oleh masyarakat Melayu. Antara intipati yang penting bagi aku adalah wujudnya semangat saling melengkapi antara satu sama lain. Semangat inilah yang tiada dalam diri usahawan Melayu. Ambil sahaja perniagaan paling mudah, gerai nasi lemak. Di Dalam sesebuah kampung, kita pasti ternampak beberapa gerai nasi lemak. Suasana ini sebenarnya tidak menguntungkan. Yang lebih menguntungkan adalah jika seorang jual nasi lemak, orang lain supply beras, ikan bilis, cili, telur dan lain-lain. Ini tidak, sudah lah bersaing sesama sendiri, wujud pula hasad dengki, iri hati dan sebagainya. Jika ini terus berlaku, malanglah bangsa Melayu......:(

Saturday, July 01, 2006

Rasa Nak Nyanyi

Petang2 nie, rasa nak nyanyi lak:D...
So, lagu pilihan petang ini adalah....

Biarlah Rahsia

pernahkah kau bermimpi
seketika berada di tempat ku
membayangkan pahit manis berlaku
tak siapa yang tahu

mungkin nanti kau jua
merasakan berdepan dengan kata
menyesatkan tak kan ku melupakan
tiada pertimbangan

keheningan malam membalutkan
kepayahan jiwa meluahkan
andai kau jujur memahami
tiadaku menjauhi

dan kisahku yang masih panjang
menambahkan berat yang memandang
lantasku pendam ku putuskan
biarlah rahsia

semakin aku hitung dalam cinta
tiada kuasa mampu menghalangnya
hentikan kata-kata bertulangkan dusta

keheningan malam membalutkan
kepayahan jiwa meluahkan
andai kau jujur memahami
tiada ku menjauhi

dan kisahku yang masih panjang
menambahkan berat yang memandang
lantas ku pendam ku putuskan
biarlah rahsia

oooooo

dan kisah ku yang masih panjang
menambahkan berat yang memandang
lantas ku pendam ku putuskan
biarlah rahsia

pernahkah kau bermimpi seketika berada di tempatku...



Kenapa aku pilih lagu nie ek? Sebab beberapa rakan kat offfice dah sibuk bertanya kebenaran sama ada aku akan resign ke tak? hmmmm.... pernahkah kau bermimpi.. seketika berada di tempatku....hmmmmm