Sunday, January 29, 2006

Ucapan

GONG XI FA CHAI
(cuti dari Ahad hingga Rabu..)

Sunday, January 22, 2006

Sebuah Sketsa Kehidupan

Assalamualaikum bang,
Nak derma tak? Atau beli tisu nie?.......
Aku menoleh ke arah suara itu. Di hadapanku, berdiri seorang lelaki (yang aku yakin seorang Melayu), berumur lingkungan 40-an. Berkaca mata hitam, memegang tongkat putih dan sebuah bag pinggang yang berisi tisu (juga wang).
Dan, mungkin ketika itu merupakan insan yang tidak bersyukur, lalu aku hanya mengeleng kepala sambil meneruskan bacaan akhbar yang baru kubeli.

Tanpa menunggu lama, lelaki tadi menyebut ayat yang sama kepada orang di sebelahku. Dia juga tidak mengendahkan lelaki tersebut.

Seketika, aku menoleh ke arah lelaki itu lagi. Sekadar ingin melihat gelagatnya. Aku perasan satu perkara. Dia hanya meminta derma hanya daripada orang yang berkulit sawo matang sepertiku. Ada beberapa kaum lain di situ, tidak dipedulikannya. Hanya yang berkulit sawo matang!!!

Salah? Tak salah apa-apa pun, tapi persoalannya, bagaimana dia 'nampak' orang yang ditemuinya itu adalah Melayu??

Manusia...

Friday, January 20, 2006

Sembilan Pengerusi JKKK Muka Baru Dilantik

BANDARAYA MELAKA, 19 Jan : Kerajaan Negeri Melaka hari ini telah menampilkan seramai 9 daripada 12 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang baru dilantik untuk menggantikan Pengerusi yang terdahulu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Md Yunos Husin berkata, perlantikkan ini adalah keputusan sebulat suara semasa Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan di kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka di Seri Bendahara, malam tadi.
Beliau berkata, antara muka baru Pengerusi yang dilantik adalah JKKK RIM, Hamzah Jalaini , JKKK Sempang Kerayong, Abd Wahab Sahid, JKKK Felda Kemendor, Lip Aman, JKKK Parit Keliling, Tan Chen Yia Fei @ Tan Ah Kau, JKKK Kemuning Alor Gajah, Mat Tob Awaluddin, JKKK Pondok Kempas Hilir Jasin, Borhan Hasan, JKKK Jasin Hilir, Rahim Mohd Yasin, JKKK Bukit Senggeh Barat, Abu Amin Mamat dan JKKK Kubu, Abd Rahim Alimat.
"Perlantikkan ini dibuat berdasarkan kegagalan JKKK mengemukakan profil kampung kepada kerajaan negeri dan terpaksa melakukan rombakan besar-besaran bagi menyahut hasrat kerajaan negeri sekaligus memastikan segala yang dirancang tercapai menjelang Melaka Maju 2010," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan nama-nama muka baru Pengerusi JKKK di sini, hari ini.
Sementara itu, Md Yunos berkata, hasil siasatan yang dilakukan terhadap tiga lagi Pengerusi lama mendapati mereka telah menghantar profil JKKK kepada Pejabat Daerah mengikut daerah serta Unit Pembangunan Desa (UPD) sebelum 31 Disember yang lalu adalah JKKK Baroh, Mohammad Jantan, JKKK Kampung Pengkalan Rama Tengah, Zaini Ismail dan JKKK Kampung Kelubi, Muhamad Wahab.
Menurutnya, berikutan daripada siasatan yang dijalankan kerajaan negeri melalui Mesyuarat Exco telah sebulat suara menangguhkan pemecatan mereka malah boleh meneruskan usaha mereka untuk membantu kerajaan negeri memajukan negeri selaras usaha dan dasar kerajaan. Md Yunos berkata, Pengerusi JKKK yang dipecat bukan tidak menjalankan tugas tetapi kerajaan negeri ingin memantapkan lagi usaha ke arah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa akan datang.

Masjid Lama Kampung Tanjung Minyak.. Kini Tinggal Sejarah


Setelah lebih 40 tahun masjid ini berkhidmat kepada penduduk Kampung Tanjung Minyak, kini ia bakal menjadi tinggalan sejarah. Ini kerana, sebuah masjid baru yang terletak bersebelahan masjid lama ini telah siap dibina. Ianya telah pun digunakan untuk kali pertamanya pada solat Aidiladha yang lalu. Dan Alhamdulillah, hari ini aku telah menunaikan solat Jumaat di masjid baru ini. Memandangkan minggu lepas aku berada di luar kawasan.
Masjid baru ini dikatakan bernilai RM2 juta. Ia merupakan sumbangan orang ramai dan kerajaan Negeri Melaka. Alhamdulillah, semoga mereka yang menyumbang akan senantiasa mendapat rahmat Allah s.w.t.
Apa yang lebih penting, penduduk tempatan perlu mengimarahkan masjid baru mereka. Ini kerana, keindahan masjid bukan terletak pada senibinanya sahaja, tetapi juga pada berapa kerap umat mengimarahkannya.

Tuesday, January 17, 2006

Pemilihan JKKK Dijangka Diketahui Rabu Ini

(petikan akhbar Melaka Hari ini)
SEMPANG KERAYONG,16 Jan : Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sempang Kerayong bersedia menerima sebarang keputusan mengenai perlantikan Jawatankuasa JKKK baru yang dijangka akan diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Rabu ini.
Jaafar Abdul Rahman, 43, yang memegang jawatan Setiausaha JKKK Sempang Kerayong sejak 2003 berkata, beliau bersedia menerima sebarang keputusan daripada Pengerusi JKKK baru yang akan dilantik itu nanti sama ada mengekalkan beliau atau sebaliknya.
Menurut Jaafar, beliau akan menerima sebarang keputusan dengan hati yang terbuka dan bersedia untuk melepaskan jawatan tersebut sekiranya diminta oleh Pengerusi JKKK yang baru kelak.
“Saya bersedia untuk menerima sebarang keputusan yang akan diumumkan oleh Pengerusi JKKK yang baru nanti sama ada mengekalkan atau memilih setiausaha yang baru selepas pengumuman pengerusi baru dibuat oleh Mohd Ali pada Rabu ini,” katanya.
Menurut Jaafar yang juga Setiausaha Umno Cawangan Kampung Sempang Kerayong dan Pengerusi SRA Jaim kampung itu, beliau juga bersedia untuk terus memberikan kerjasama sekiranya diperlukan oleh JKKK.
“Sekiranya saya tidak menduduki sebarang jawatan dalam barisan jawatankuasa JKKK ini, saya tetap bersedia untuk memberi sumbangan sekiranya khidmat saya masih diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Rim, Datuk Ramlah Abas berkata beliau berharap Pengerusi JKKK baru yang akan dilantik nanti akan dapat memilih senarai jawatankuasa yang mantap dan bersedia untuk membantu kerajaan membangunkan taraf kehidupan masyarakat kampung.
Menurutnya, beliau amat menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh Jaafar serta Pengerusi dan Setiausaha JKKK yang lain kerana mereka telah terbukti mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cemerlang.
“Saya berharap Pengerusi JKKK di DUN Rim yang akan dilantik nanti akan dapat memilih barisan jawatankuasa yang benar-benar boleh memberikan khidmat kepada masyarakat demi meningkatkan taraf kehidupan rakyat khususnya di DUN Rim ini,” katanya.
Pemecatan 12 Pengerusi JKKK di negeri ini oleh Mohd Ali baru-baru ini berikutan mereka gagal menyerahkan profil kawasan JKKK masing-masing membuatkan beberapa setiausaha dari kalangan JKKK terbabit turut bersedia untuk menerima sebarang keputusan yang akan diumumkan kelak.
*** Sebelum dapat jadi pemimpin macam-macam janji yang dibuat. Namun setelah dilantik, lain pula jadinya. Orang seperti ini tidak sewajarnya menjadi pemimpin.***

Saturday, January 14, 2006

Tragedi Musim Haji

12 Januari 2006 : Beratus jemaah haji terkorban dan ramai yang lain cedera dalam rempuhan akibat puluhan jemaah tersepak beberapa buah beg yang terjatuh di laluan jemaah yang menyerbu untuk mengerjakan ibadah melontar batu di Mina.

1 Februari 2004 : 244 jemaah terbunuh dan sejumlah kecil cedera dalam rempuhan ketika ibadah melontar batu.

5 Mac 2001 : 35 jemaah terbunuh dalam rempuhan ketika mengerjakan ibadah melontar batu.
9 April 1998: Kira-kira 180 jemaah terbunuh apabila keadaan panik menyebabkan jemaah terpijak sesama sendiri setelah beberapa orang terjatuh di satu laluan selepas mengerjakan ibadah melontar batu.

15 April 1997 : Kebakaran di beberapa buah khemah di Mina meragut nyawa lebih 340 jemaah dan mencederakan 1,500 orang yang lain. Pekerja bantuan dan diplomat menganggarkan angka kematian sekurang-kurangnya 500 orang.

23 Mei 1994 : 270 jemaah yang kebanyakannya dari Indonesia terbunuh dalam rempuhan apabila jemaah berasak-asak untuk ke hadapan bagi ibadah melontar batu.

9 Julai 1989 : Dua butir bom meletup di Mekah, mengorbankan seorang jemaah dan mencederakan 16 yang lain. Pihak berkuasa Arab Saudi menyalahkan rakyat Iran yang menyokong pengganas dan kemudian mengetuai 16 pengikut Syiah Kuwait melakukan pengeboman. Iran menafikan penglibatannya.

31 Julai 1987 : Lebih 400 orang kebanyakannya jemaah Iran terbunuh dan 649 cedera di Mekah apabila pasukan keselamatan bertempur dengan rakyat Iran yang melakukan tunjuk perasaan anti-Amerika Syarikat secara haram.

Wednesday, January 11, 2006

Mempromosikan Cyber-Biz Kesidang Teguh Enterprise

Tuesday, January 10, 2006

Keistimewaan Aidiladha

MOHD SHAUKI ABD MAJID ialah Penolong Pengarah (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

KEISTIMEWAAN Hari Raya Aidiladha berbeza dengan Hari Raya Aidilfitri di mana ia dilakukan di seluruh dunia bersamaan waktunya dengan jemaah haji yang berkumpul di tanah suci melaksanakan rukun Islam yang kelima iaitu ibadah haji.

Syeikh Mahmud Syaltut menyatakan, bahawa serentak pada waktu yang bersamaan dilakukan dua perkara iaitu ibadah yang berlainan pada tempat yang berbeza.

Pertamanya ia dilakukan khusus di rumah suci Tuhan dan daerah sekitarnya di tempat-tempat yang suci dilakukan ibadah haji.

Jemaah haji yang merupakan wakil daripada seluruh dunia Islam mengerjakan tawaf di sekeliling Baitullah (Kaabah), berhenti wukuf di Mina dan mempersembahkan sembelihan-sembelihan haiwan (untuk fakir miskin) sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t.

Semuanya di dalam suasana perkenalan, saling bermusyawarah, bantu-membantu dan saling menghormati demi kebaikan dan kemajuan umat Islam seluruhnya.

Dan yang kedua ialah umum dilakukan oleh kaum Muslim di seluruh dunia yang jauh mahupun yang dekat.

Semenjak dari pagi fajar menyingsing, hari Arafah sehingga hari yang keempat mereka mengucapkan takbir (Allahu akbar).

Dengan semangat inilah mereka melahirkan rasa kebesaran nikmat Allah dan tiada sesuatu kekuatan atau kebesaran di hadapan mereka yang dapat menghalang mereka untuk mencapai kemuliaan dan kebesaran di dunia ini.

Mereka beramai-ramai menunaikan solat Aidiladha dan melakukan sembelihan haiwan untuk fakir miskin sebagai bukti ketaatan mereka kepada Allah dan memecahkan nafsu ego mereka untuk membantu sesama umat Islam dengan penuh keikhlasan.

Demikian Syeikh Mahmud Syaltut menggambarkan keistimewaan ibadah haji yang menjadi rukun Islam yang kelima.

Seolah-olah dunia seluruhnya dengan berpusat di tanah suci Mekah dan sekitarnya, diresapi oleh semangat iman dan teriakan Allahu akbar.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w disebutkan, ``Tidak pernah syaitan dilihat begitu kecilnya, hina, muram dan dibenci pada hari-hari haji, dimulai dari hari Arafah.''

Di dalam al-Quran surah al-Haj ayat 30, Allah berfirman yang bermaksud, ``Demikianlah sesiapa yang membesarkan hari-hari kehormatan Tuhan, maka adalah paling baik di sisi Tuhan.''

Pengorbanan melaksanakan ibadah haji mengandungi dua maksud iaitu pertama, ia berkaitan dengan pengorbanan serta usaha kita selama ini menyimpan wang atau bekalan secara sedikit-sedikit bagi mencukupi untuk mengerjakan ibadah haji.

Mengumpul wang selama bertahun-tahun untuk mengerjakan haji adalah satu perjuangan atau jihad.

Dengan jihad itu bukan sahaja dapat melaksanakan rukun Islam yang kelima yang menjadi fardu ain (wajib peribadi) bagi setiap Muslim dan Muslimah, tetapi pengorbanan atau jihad harta tersebut akan menghasilkan keuntungan berlipat ganda di akhirat kelak.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud, ``Nafkah mengerjakan ibadah haji adalah seperti nafkah pada sabilillah dengan mendapat pahala berlipat ganda sampai tujuh ratus.'' (HR Ahamad).

Kesulitan dan masalah sepanjang perjalanan juga merupakan satu pengorbanan apa lagi dengan peraturan yang bermacam-macam yang harus dilalui baik dari kerajaan Arab Saudi mahupun kerajaan kita sendiri.

Demikian juga suasana di tanah suci yang tidak biasa kita hadapi dengan sikap sesetengah manusia yang kasar seperti orang-orang Afrika yang menggunakan kekuatan badannya untuk berebut-rebut tempat bagi memperoleh keselesaan beribadah. Ini semuanya menuntut kesabaran dan pengorbanan yang setulusnya.

Kita amat bersedih dengan kematian empat jemaah haji dari negara kita akibat tragedi asrama runtuh di Mekah beberapa hari yang lepas.

Apatah lagi terutama keluarga mereka yang terlibat di mana kematian itu tidak berlaku di hadapan mereka.

Namun hakikatnya di sisi Allah, kematian mereka dinilai paling tinggi dan terhormat. Mereka akan disambut di akhirat nanti sebagai kekasih-kekasih Allah yang paling disayangi dan kedudukan mereka sejajar dengan para syuhada berdampingan dengan nabi-nabi dan para rasul.

Pengorbanan lain diajarkan sebagaimana kerelaan Nabi Ismail a.s. mengikuti perintah Allah. Kedua-duanya, Ibrahim dan Ismail a.s. mematuhi perintah Allah ini (iaitu ayah menyembelih anaknya berdasarkan perintah Allah), semata-mata dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah (taqarrub ila `llah).

Dan ini adalah cermin ketakwaan.

Dapatkah kita memperkuatkan takwa kita dengan pengorbanan yang kita lakukan? Dapatkah kita mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah haji? Tentunya kita tidak ingin sekadar mendapat yang lahir sahaja dari ibadah ini.

Justeru, kita harus ingat bahawa korban yang kita lakukan pada hari-hari sekitar Aidiladha ini dengan menyembelih kambing atau biri-biri hendaknya akan menambahkan takwa kita kepada Allah s.w.t.

Firman Allah yang bermaksud, ``Daging-daging unta dan darahnya sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaanlah yang dapat mencapainya.'' (Surah al-Haj, ayat 37).

Sesungguhnya Islam tidak menginginkan pelaksanaan ibadah-ibadah yang wajib dan yang sunah itu sekadar ritual dan formaliti. Tetapi yang penting adanya roh dalam ibadat itu, roh yang ikhlas dan takut kepada Allah yang menjadi syarat diterimanya ibadah tersebut seperti firman Allah yang bermaksud, ``Dan mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama yang lurus.'' (Surah al-Baiyinah ayat 5).

Sesungguhnya Islam mensyariatkan ibadah-ibadah itu dengan memberi hikmah-hikmah dan kerahsiaan yang boleh membawa manfaat dan kebaikan jiwa dan kebersihan hati dengan kemuliaan-kemuliaan akhlak.

Syeikh Mahmud Istanbuli menyatakan bahawa, ``Ibadah haji merupakan sumbangan Islam yang paling positif bagi melahirkan manusia-manusia ideal yang bersatu hati dan bersatu amal yang semuanya itu diidam-idamkan oleh para ahli falsafah sejak dari zaman Plato atau al-Farabi sehinggalah ke zaman ini.

Perhatikanlah bagaimana seluruh umat Islam yang berbeza warna kulitnya serta tingkah laku berkumpul di tanah suci yang satu.
Hilang segala perbezaan dan keasingan, semuanya berkenalan, bersaudara bagaikan mereka daripada keluarga yang satu, tubuh yang satu yang sama merasakan sakit dan senang serta gembira.

Mereka memiliki semangat persaudaraan yang cukup tinggi. Semangat persaudaraan inilah yang perlu dimiliki dan dihayati oleh umat Islam seluruh dunia dalam apa jua saat dan ketika.

Monday, January 09, 2006

Ucapan...

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA
10.01.2006

Sunday, January 08, 2006

Tahun Baru..

Assalamualaikum...

Rasanya tak terlambat aku nak wish Happy New Year 2006 kepada semua. Semoga segala azam akan tercapai. Juga didoakan agar semuanya di bawah rahmat Allah. Semoga umat Muhammad akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang..amin

Aku percaya, ramai orang mula membuat azam apabila menjelangnya tahun baru. Namun tidak ramai yang berjaya mencapai apa yang diazamkannya menjelang akhir tahun. Dan salah seorang dari mereka adalah AKU. Tapi aku sebenarnya, tidak pernah mencipta azam. Natijahnya, apa yang aku gapai hanyalah pencapaian insan biasa.

Menjelang usia 30, aku mula memikirkan untuk menjadi insan LUAR BIASA. YA!! Azam tahun 2006 aku adalah untuk membentuk kejayaan luar biasa. Aku tahu, ramai yang tidak percaya bahkan mentertawakan aku. Namun itulah hakikatnya. Aku ingin buat sesuatu yang penuh risiko. Jika kita tidak memulakannya, sampai bila-bila ianya takkan tercapai. Dan perkara paling sukar dalam hidup adalah memulakan sesuatu.

Kehidupan yang aku lalui sejak kebelakangan ini terlalu mengikut rendak alam sekeliling. Ditiup ke kiri, ke kiri la aku, di tiup ke kanan, ke kanan la aku. Dan aku mula sedar, jika ini terus berlaku, sampai bila-bila pun aku takkan maju. Terlalu mengikut. Dan bagi aku, ianya terlalu mudah. Kini aku ingin cabaran baru. Mencipta sesuatu yang membolehkan aku bertindak mengikut cara aku sendiri. Dan biar orang lain pula yang mengikut rentakku. Sebab Eleanor Roosevelt pernah berkata..

Dapatkan apa yang diingini dalam hidup, nescaya tiada siapa yang boleh menjadikan anda berasa rendah diri tanpa persetujuan anda...

Semoga segalanya berjalan dengan lancar. Ya Allah! Berkatilah usahaku....

Kebanyakan manusia GAGAL dalam hidup bukan kerana mereka tidak mampu menghadapi cabaran tetapi disebabkan manusia itu sendiri yang takut dan lari daripada menghadapi cabaran..

Saturday, January 07, 2006

Sembang Sabtu: Tan Sri Abdul Aziz Tapa

PROFIL
Tarikh lahir: 13 Jun 1923
Tempat lahir: Kampung Rim, Jasin.
Isteri: Puan Sri Maznah Lasim
Anak : Sembilan, 35 cucu dan empat cicit
Pendidikan:
Sekolah Melayu Jasin
Kelas Khas Melayu di High School Malacca
Sultan Idris Training College (SITC) kini UPSIKerjaya:
Askar sukarela (1940)
Guru (1945-1975)
Kerjaya dalam politik:
Bendahari Umno cawangan Merlimau (1955)
Timbalan Ketua Umno Bahagian Jasin (1974-1979)
Naib Ketua Umno Bahagian Jasin (1982-1986)
Bendahari Umno (1955-1973)Jawatan dalam kerajaan:
Ahli Dewan Negara (Senator) (1975-1977)
Speaker Dewan Undangan Negeri (1978-1982)
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nyalas (1978-1982)
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) (1982-1986)
Jawatan lain:
Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan Kebangsaan (1976)
Timbalan Pengerusi Majlis Amanah Balai Seni Lukis Negara (1974)
Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (1978)
Penasihat Projek Cahaya dan Bunyi
Ahli Jawatankuasa Perbadanan Muzium Melaka
Pakar rujuk Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep)
Timbalan Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA)
Anugerah dan Darjah Kebesaran:
Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri
Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira
Darjah Kurnia Setia Jasa (DKSJ) yang membawa gelaran Datuk
Kesatria Mangku Negara (KMN)
Ahli Mangku Negara (AMN)
Pingat Jaksa Kebaktian (PJK)
Jaksa Pendamai (JP)
Tokoh Guru Kebangsaan
Penghargaan Khas Permuziuman Malaysia 2002
Anugerah Tokoh Budaya Negeri Melaka 2003
Pinjam Ceti Cari Sumber Kewangan Parti
"Orang dahulu berjuang,
pertama hilang,
kedua terbilang,
tetapi orang sekarang berjuang,
pertama cari menang
,sudah menang cari wang,
dapat wang jatuhkan orang,
hidup di awang-awang,
akhirnya jatuh terlentang".
ITULAH antara kata-kata sinis, intipati ucapan veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa sebagai perwakilan Melaka ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno pada 1978.
Walaupun diucapkan 27 tahun lalu, namun ungkapan itu tetap relevan. Bagi ahli Umno yang cintakan parti ungkapan itu boleh dijadikan teladan.
"Jika saya inginkan kekayaan, saya boleh memilikinya melalui parti. Bayangkan saya menjadi bendahari Umno di peringkat cawangan, bahagian dan negeri selama 18 tahun".
"Bagaimanapun ramai tidak tahu suka duka dan pahit getir ketika hendak menghidupkan Umno, satu-satunya parti yang dimiliki orang Melayu," kata veteran Umno itu.
Menyertai Umno sejak 1955, Aziz dilantik sebagai bendahari cawangan Umno Merlimau dan ketika itu bertugas sebagai guru di Sekolah Melayu Merlimau.
Ketika itu, ketuanya, Allahyarham Datuk Ahmad Isnin, abang kepada Datuk Seri Abu Zahar (bekas Ketua Menteri Melaka) dan setiausahanya Allahyarham Cikgu Osman Abdullah.
"Saya ni jadi bendahari cawangan Merlimau. Masa tu, nak cari duit, nak jalankan Umno. Zaman itu, Umno masing-masing cari duit, ada yang jual surat khabar, ada jual pakaian terpakai, pendek kata macam-macam dilakukan untuk nak cari duit, nak pergi mesyuarat agung Umno".
"Saya ni tadi, berpakat bertiga mencari sumber kewangan Umno cawangan Merlimau. Kebetulan ketika itu wayang Siput Sarawak ada masuk Merlimau, jadi sewalah dewan, tapi nak bayar sewa tak ada duit".
"Oleh kerana tiada pilihan lain, pinjamlah duit daripada ceti RM75. Cetak tiket dan bayar sewa dewan. Ketika itu, saya pun turut berlakon, lupa apa wataknya... juallah tiket untuk mendapatkan wang," katanya.
Aziz berkata, kebetulan petugas yang menjual tiket itu adalah anak jati Merlimau.
"Apa lagi, saudara mara dia masuk percuma. Tiket habis, duit tak dapat. Kami hanya dapat kumpul antara RM40 hingga RM50 saja. Duit itu kemudian dibayar balik kepada ceti berkenaan".
"Oleh kerana jumlahnya tidak mencukupi, kami terpaksa berhutang dengan ceti sebanyak RM30 termasuk bunganya sekali. Dua tahun baru habis bayar. Tukang bayarnya ialah bendahari, yang lain lepas tangan... Itulah satu peristiwa yang tak dapat saya lupakan hingga ke hari ini," katanya.
Aziz berkata, lebih melucukan apabila ceti datang ke rumah mencarinya ketika beliau keluar mengajar.
"Orang rumah kata apa kau hendak. Ceti jawab, cikgu ada hutanglah... Apa hutang? Wah orang rumah saya dah marah, bawa penyapu, lintang pukang ceti tu lari..."
Kemudian ceti tu jumpa saya, apalah kau punya bini, banyak garanglah... Ayaa datang rumah apa buat, bukan saya selalu ada di pekan, cakap sama sayalah... Habis engkau tarak (tidak) bayar. Saya ada bayar... Ceti jawab, bunga ada bayar, pokok tarak bayar..."
"Lain kali jangan pergi tau. Lepas tu saya bayar sedikit-sedikit melalui duit gaji RM3 sebulan dan akhirnya dua tahun baru selesai."Ini Umno dulu, Umno sekarang macam mana?. Sebab itu saya kata dulu lain, sekarang lain," katanya ketawa mengenang peristiwa itu.
Sepanjang pembabitannya dalam bidang politik, beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama dua penggal, selain sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) dan Speaker Dewan Undangan Negeri.
Kepemimpinannya dalam Umno digerakkan ke arah memajukan orang Melayu khususnya dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, agama dan kebajikan ahli.
Gaji 4 Sen Gali Batas Keledek
Sedih kenang kesusahan rakyat Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua
TIAP kali membuka bicara, tokoh budayawan dan politik veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa akan menggunakan ungkapan atau pantun. Begitulah ketika memulakan perbualan dengan Berita Harian, beliau bermula dengan pantun empat kerat;

Buah beluru, buah belerang,
Buah dedalu atas bukit;
Lain dulu lain sekarang,
Jauh beza bukan sedikit.
“Saya memang mengagumi pemimpin negara yang mampu merancang pembangunan negara sehingga menjadi seperti sekarang. Ini semua demi rakyat,” katanya ketika ditemui di kediamannya, Jalan Rim, Jasin, baru-baru ini.
Mengenang keadaan sebelum Perang Dunia Kedua dan zaman Jepun, beliau mengesat air mata kerana teringat kesusahan rakyat Tanah Melayu ketika itu yang hanya makan ubi kayu kerana ketiadaan beras.
Lebih malang, jika ada kematian, jenazah hanya dibaluti dengan tikar mengkuang atau guni kerana ketiadaan kain kafan.
Jika diserang penyakit, rata-rata hanya bergantung kepada akar kayu atau bahan lain yang boleh digunakan untuk menyembuhkannya.
"Ketika zaman Jepun, saya pernah mengalami deman kura (Malaria) selama tiga bulan. Pelbagai ikhtiar dilakukan untuk menyembuhkannya".
"Usaha terakhir ialah dengan memarut daun ati-ati dan dicampur dengan arang para serta air untuk dijadikan ubat."
"Selepas minum, perut rasa bagaikan nak terbalik kerana pahit tetapi ternyata mujarab kerana selepas itu penyakit saya sembuh," katanya.
Ketika zaman Jepun pada 1945, Aziz bekerja dengan Jepun membuat batas keledek dengan bayaran gaji empat sen sehari.
Melalui upah itulah, beliau membeli beras untuk menyara keluarga dan dua adiknya yang lain.
Selepas itu, Jepun memanggilnya untuk menjadi guru dan dari situ, beliau berpeluang mempelajari bahasa Jepun.
Ketika bertugas sebagai guru, beliau turut mengambil kesempatan menjual pakaian terpakai untuk menambah pendapatannya.
"Ketika zaman Jepun, saya fasih berbahasa Jepun sebab setiap hari berdepan dengan mereka, Namun kini sudah terlupa, hanya ingat dua tiga patah perkataan saja sebab lama tidak menggunakannya," katanya.
Selepas British mengambil alih pemerintahan apabila Jepun menyerah kalah pada 1946, beliau diberi peluang mengajar budaya Melayu kepada Pegawai Daerah Jasin ketika itu.
"Oleh kerana saya dapat menguasai bahasa Inggeris sebelum perang, jadi tidak ada masalah berkomunikasi dengan pegawai Inggeris berkenaan. Dia dapat menerima budaya Melayu dengan baik," katanya.
Aziz berkata, pada 1947 dan 1948, beliau menyambung pengajiannya di Sultan Idris Training College (SITC) kini Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sebelum itu tertangguh akibat Perang Dunia Kedua.
Ketika di maktab, beliau menunjukkan bakat dalam bidang pidato dan sering mengambil bahagian dalam pertandingan perbahasan anjuran maktab. Beliau pernah menyandang johan dalam pertandingan perbahasan pada 1947.
Melalui Ikatan Persuratan Melayu (IPM) yang ditubuhkan di Melaka bersama Allahyarham Yusof Harun dan Allahyarham Samad Ahmad (Asmad) pada 1950, beliau menggerakkan perkembangan kebudayaan Melayu melalui kegiatan penulisan dan rekaan senibina, penerbitan dan pertemuan badan kebudayaan dan persuratan dari seluruh Tanah Melayu.
IPM adalah sebuah badan bahasa dan kebudayaan yang ditubuhkan di Melaka pada 17 November 1950 dan Aziz adalah tokoh yang memainkan peranan aktif dalam menggerakkan kegiatan IPM termasuk menganjurkan Kongres Kebudayaan Melayu pertama pada akhir Disember 1957.
Menceritakan bagaimana beliau berminat dengan budaya, Aziz berkata, ketika kecil bapanya menghantarnya mengaji al-Quran di rumah guru agama setiap malam.
Namun jika ada joget pada hujung minggu, beliau ponteng kelas mengaji kerana mahu mendengar pantun yang diutarakan penari joget.
"Bermula dari sini, saya mula tertarik dengan pantun Melayu dan mula menghafalnya," katanya.
Bagaimanapun, minatnya tidak disukai oleh bapanya yang cukup tegas dalam soal pendidikan anak-anak terutama mengenai pendidikan agama.
Katanya, pada suatu hari, guru al-Quran mengadu ketidakhadirannya di kelas al-Quran yang membuatkan bapanya berang lalu merotannya.
"Mulai saat itu, saya tidak lagi ponteng kelas al-Quran walaupun hati membara untuk mempelajari pantun Melayu," katanya sambil ketawa.
Pengalamannya yang luas dalam bidang kebudayaan menyebabkan beliau diberi kepercayaan menjawat pelbagai jawatan dalam badan dan institusi berkaitan budaya.
Kini Aziz menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan berkebun di sekeliling rumah selain memenuhi jemputan memberi ceramah sama ada dalam bidang politik, sejarah dan kebudayaan.
"Lazimnya sebelum menyambut Hari Kemerdekaan, jadual saya agak padat kerana pelbagai undangan diterima untuk berceramah di sekolah dan pusat pengajian tinggi (IPT)".
"Saya cukup seronok jika dapat berkongsi pengalaman dengan orang lain terutama generasi muda selepas merdeka yang memerlukan bimbingan dan nasihat yang sewajarnya".
"Kalau tak boleh jadi pohon rendang tempat musafir tumpang berteduh atau mengambil buahnya, jadilah seperti rumput untuk menahan tanah supaya tidak runtuh," katanya mengakhiri perbualan.

Monday, January 02, 2006

Negara memerlukan masyarakat usahawan Melayu

SELAMAT Tahun Baru 2006. Setiap kali menyambut tahun baru, sudah menjadi kelaziman kita menilai semula pencapaian mereka setahun lalu. Pada masa sama, kebanyakan kita juga membuat pelbagai azam dan rancangan untuk dicapai sepanjang tahun baru nanti.
Peredaran masa memperlihatkan perubahan demi perubahan berlaku dalam banyak perkara. Naluri manusia sentiasa inginkan pembaharuan dan kemajuan dengan matlamat memperbaiki kehidupan diri dan masyarakat. Ini mendorong daya kreatif menghasilkan perkara baru.
Manusia wujud sejak ribuan tahun dan melalui pelbagai zaman. Cara hidup berubah dari semasa ke semasa. Pastinya, cara hidup hari ini berbeza dengan cara hidup terdahulu. Manusia akan terus berusaha mempermudahkan cara hidup mereka.
Melalui peredaran masa, kita saksikan bagaimana bangsa dan negara tertentu menjadi maju dan mempengaruhi dunia. Kita juga dapat melihat betapa ada bangsa dan negara yang pernah kuat dan berpengaruh sudah hilang kekuatan dan pengaruh mereka.
Kemajuan dan kegemilangan sesuatu bangsa atau negara sebenarnya bergantung kuat kepada usaha bangsa dan rakyat negara itu sendiri. Sesuatu bangsa menjadi kuat dan maju apabila mampu membina budaya dan nilai baik di kalangan mereka.
Negara kita masih dalam usaha mencari kecemerlangan dan kegemilangan supaya dapat menjadi bangsa dan negara terbilang. Untuk mencapai wawasan menjadi negara maju, kita sebagai rakyat perlu melipatgandakan usaha menjadi modal insan yang cekap dan berkesan.
Kita perlu membina kekuatan dan kemampuan untuk berjaya dan maju supaya tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dunia. Lawan kepada kemajuan ialah kemunduran. Kita perlu maju supaya tidak tergolong sebagai negara mundur yang miskin dan penuh masalah.
Negara sudah banyak mengalami perubahan, terutamanya sejak dua dekad lalu. Banyak kemajuan membanggakan berkaitan ekonomi dicapai. Statistik menunjukkan ekonomi negara terus tumbuh dan berkembang. Laporan ekonomi terbaru untuk suku tahun ketiga 2005 mengesahkan ekonomi negara berkembang lebih baik daripada jangkaan.
Di kalangan anggota Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), kita dianggap antara negara maju dan berjaya. Banyak negara membangun dalam NAM ingin mencontohi cara kita mengurus ekonomi. Di kalangan negara Islam pula, kita dibanggakan sebagai negara Islam progresif yang boleh menunjuk jalan kepada negara Islam lain.
Kemajuan negara sehingga kini dengan kedudukan dihormati di kalangan negara membangun tentu membanggakan. Tetapi, kita tidak boleh berpuashati dan berpeluk tubuh. Dunia sedang melalui proses globalisasi yang mana sempadan negara bukan lagi halangan kepada semua urus niaga. Persaingan semakin hebat menjadikan kecekapan dan produktiviti amat penting.
Dalam kegembiraan melihat pencapaian ekonomi negara, masyarakat Bumiputera, khususnya orang Melayu perlu juga menganalisis sejauh mana pembabitan dan sumbangan mereka dalam setiap kemajuan, pencapaian dan statistik yang diumumkan.
Kita tidak mahu keadaan yang mana orang Melayu turut bersorak tanpa menyedari kampung sudah tergadai. Apabila negara jadi cemerlang, gemilang dan terbilang, biarlah orang Melayu dan Bumiputera lain juga sebahagian besar daripada kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan itu.
Usahawan Melayu khususnya, perlu sedar bahawa secara keseluruhan mereka masih dalam keadaan lemah. Bilangan usahawan Melayu yang cemerlang dan terbilang masih terlalu kecil. Pegangan usahawan Melayu dalam kemewahan ekonomi negara masih sedikit dan tidak setanding dengan jumlah mereka sebagai majoriti penduduk.
Sama ada usahawan Melayu dapat bertahan dalam senario ekonomi negara dan dunia sangat bergantung kepada bagaimana mereka menangani suasana kemajuan dunia hari ini. Masih banyak sektor perniagaan dalam negara sendiri sukar ditembusi orang Melayu. Jadi bagaimana hendak menembusi kegiatan ekonomi antarabangsa?
Usahawan Melayu perlu sedar bahawa dunia perniagaan banyak berubah dan akan terus berubah. Proses globalisasi tidak dapat dibendung. Kita tiada pilihan melainkan ikut sama beroperasi dengan kaedah menepati suasana dunia tanpa sempadan.
Ciri penting dalam era globalisasi ialah kemampuan berhubung dengan pantas hasil kemajuan pesat industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kemajuan ICT pula membantu memajukan pelbagai teknologi lain, sekali gus meningkatkan kecekapan mengurus maklumat, menjimat masa operasi dan kos serta menambah produktiviti.
Hampir semua negara kini mengutamakan isu ekonomi dan sedia bekerjasama untuk tujuan ekonomi walaupun berbeza fahaman politik. Ini mempercepatkan serta meluaskan proses globalisasi dan meningkatkan persaingan dalam dunia perniagaan.
Kewujudan berterusan usahawan Melayu dalam senario ekonomi negara sangat penting untuk kesejahteraan negara. Tetapi kewujudan ini tidak dapat dijamin jika usahawan Melayu gagal mempertingkatkan kemampuan menyesuaikan diri dengan perubahan bagi membina kelebihan bersaing.
Kunci kepada semua kemajuan ialah ilmu pengetahuan yang diamalkan. Kita tidak dapat bersaing tanpa ilmu pengetahuan. Apabila sudah ada ilmu, kita dapat mencuba sesuatu dan ini memberi kita pengalaman yang diperlukan untuk menambah daya saing dan daya maju.
Usaha mencari ilmu adalah berterusan. Usahawan Melayu mesti berusaha menguasai semua cabang ilmu supaya dapat kekal bersaing. Orang Melayu juga perlu bersedia berkongsi ilmu dan pengalaman untuk kebaikan bersama.
Langkah pertama untuk memajukan diri dan masyarakat ialah kesediaan mengakui kelemahan sendiri. Usahawan Melayu perlu ikhlas mengakui setiap kelemahan dan berusaha memperbaikinya. Ramai orang mampu mengatasi kelemahan peribadi tetapi tidak berusaha mengatasi kelemahan sebagai satu masyarakat.
Ketahanan masyarakat Melayu dalam kegiatan ekonomi akan terjejas jika tiada kesediaan untuk bekerjasama dan bergerak sebagai satu masyarakat. Semua bangsa maju dan kuat mampu berbuat demikian kerana mereka saling membantu dan sedar pentingnya kejayaan sebagai satu bangsa dan bukan secara individu.
Segelintir usahawan Melayu yang sudah cemerlang, gemilang dan terbilang wajib membantu usahawan sebangsa untuk melahirkan masyarakat perdagangan Melayu berkesan dan berjaya. Kita perlukan kewujudan usahawan Melayu sebagai satu masyarakat, bukan sekadar beberapa kerat individu.